Doktor Gigi Anda, Kawan Anda

Doktor Gigi Anda, Kawan Anda

Membenci pemeriksaan gigi adalah perkara biasa, tetapi mengelak dari melakukannya boleh menyebabkan kesihatan mulut menjadi lemah. Membina hubungan yang positif dan berkekalan adalah kunci untuk mengubah keadaan tersebut, kata Profesor Seow Liang Lin, Dekan Fakulti Pergigian IMU University.

Semua orang tahu mereka perlu mendapatkan pemeriksaan gigi sekurang-kurangnya setahun sekali, tetapi berapa ramai yang melakukannya? Lagi pun, jika gigi tidak sakit, tiada keperluan pun untuk melakukannya, bukan?

Malangnya, terlalu ramai yang merasakan begitu sehingga menyebabkan masalah kecil menjadi isu yang lebih besar. Akhirnya, apabila kebanyakan orang dewasa terpaksa berjumpa doktor gigi, mereka sebenarnya sudah dalam kesakitan yang teramat atau berhadapan masalah untuk berfungsi. Masalah-masalah itu memerlukan tindakan pemulihan yang terperinci, yang lazimnya menyebabkan kesakitan yang lebih teruk dan kos yang lebih besar. Selain kerosakan gigi, penyakit gusi juga lazim di kalangan orang dewasa, termasuklah orang yang lebih tua yang membawa kepada gigi menjadi longgar dan seterusnya kehilangan gigi. Sebab itulah, persepsi bahawa berjumpa doktor gigi seringkali menyakitkan dan tidak menyenangkan semakin buruk, jelas Dekan Fakulti Pergigian IMU University, Profesor Seow Liang Lin.

Doktor Gigi Anda, Kawan Anda
Dekan Fakulti Pergigian IMU University, Profesor Seow Liang Lin

“Ramai orang dewasa yang mewariskan fobia pergigian mereka kepada anak-anak sendiri. Ini menjadikan kitaran itu berlanjutan dan boleh memudaratkan kesihatan mulut di kalangan semua peringkat usia,” kata Profesor Seow.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, beliau berkata, karies awal kanak-kanak (ECC) adalah sesuatu yang biasa di kalangan bayi dan anak-anak kecil. Begitu juga isu gigi rosak di kalangan kanak-kanak lebih berusia dan remaja, yang lebih cenderung makan makanan diproses, kudapan dan minuman bergula. Semua itu menyumbang kepada kerosakan gigi, terutama apabila mereka kerap mengudap sehingga meningkatkan pengeluaran asid di dalam mulut. Di Malaysia, karies awal kanak-kanak menjadi cabaran utama di kalangan kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun. Dalam tinjauan kesihatan mulut kebangsaan terakhir yang dijalankan pada tahun 2015 terhadap kanak-kanak pra-sekolah, kekerapan berlakunya karies adalah 71.3%. Satu lagi kajian menunjukkan 63.4% daripada kanak-kanak pra-sekolah mempunyai sekurang-kurangnya satu gigi yang rosak. [1]

Berikut adalah cara untuk mengubah keadaan.

Mulakan sedari awal

Kanak-kanak mula mendapat gigi ketika berusia dalam enam bulan. Ibu bapa sepatutnya sudah mula membiasakan anak mereka berjumpa doktor gigi ketika mereka berusia satu tahun. Ada beberapa sebab kenapa perkara ini perlu dilakukan.

“Pertama, anak-anak kecil tidak berupaya berkomunikasi dengan kita jika mereka mengalami sakit gigi atau gusi. Apabila mereka meragam dan menangis, apa yang lazimnya terlintas di kepala kita adalah mereka kelaparan atau kolik. Oleh itu, ibu bapa tidak dapat mengaitkan tingkah laku tersebut dengan sakit gigi atau gusi dan tidak terfikir pun untuk memeriksa mulut anak mereka,” jelas beliau. Perkara ini akan membawa kepada kesakitan yang tidak perlu kepada si anak dan menjadikan masalah bertambah buruk.

“Kedua, apabila berjumpa doktor gigi menjadi sesuatu yang rutin dan biasa, doktor gigi dapat menegaskan kepada ibu bapa mengenai penjagaan gigi yang betul yang diperlukan untuk mengekalkan kesihatan gigi dan gusi anak mereka. Ia turut membantu mengesan dengan lebih awal kemungkinan masalah dan campur tangan awal boleh menyelamatkan anak daripada kesakitan yang teruk, ketidakselesaan dan sebarang masalah seperti *maloklusi gigi,” terang Profesor Seow. (*Maloklusi gigi adalah keadaan di mana berlakunya keabnormalan pada jajaran gigi iaitu gusi dan gigi tidak sejajar)

Apabila anak semakin membesar, Profesor Seow berpesan kepada ibu bapa untuk menggunakan perkhidmatan pergigian yang ada di sekolah untuk melakukan pemeriksaan dan kemas kini tetap terhadap kesihatan mulut anak mereka. 

Jadilah seorang yang proaktif

Bagi orang dewasa, tidak terlambat untuk memulakan perjalanan ke arah kesihatan mulut yang lebih sihat, kata Profesor Seow. Jika selama ini anda menjauhkan diri dari pemeriksaan gigi, cubalah bawa sekali seorang kawan yang dapat memberikan sokongan atau mungkin merancang untuk memberi ganjaran kepada diri sendiri usai berjumpa doktor gigi. Ini dapat membantu menjadikan perjumpaan dengan doktor gigi sebagai sesuatu yang anda nanti-nantikan.

Profesor Seow turut mengingatkan orang dewasa untuk lebih proaktif dengan menjadikan pemeriksaan gigi sebagai satu tabiat gaya hidup. Ini kerana keadaan yang kronik dan faktor-faktor lain akan memberikan kesan kepada kesihatan mulut dan kebarangkalian memerlukan perjumpaan yang lebih kerap.

Ini termasuklah:

  • Merokok, yang mengurangkan bekalan darah kepada gusi. Ia memburukkan masalah gusi dan membuatkan perokok lebih kerap kehilangan gigi.
  • Kencing manis/Diabetes, yang memberi kesan kepada keupayaan penyembuhan. Akibatnya, individu penghidap diabetes lebih berkemungkinan mengalami kesihatan gusi yang buruk. Sementara itu, kesihatan gusi yang baik terbukti mempunyai kaitan dengan kawalan lebih baik dalam pengambilan gula di kalangan pesakit kencing manis.
  • Penyakit kardiovaskular, seperti yang dapat dibuktikan dari kajian epidemiologikal yang menunjukkan hubungan positif di antara penyakit gusi (periodontitis) dan penyakit jantung koronari. Penyelidikan menunjukkan hubungan rapat di antara jangkitan kronik dan tindak balas keradangan gusi dalam periodontitis, dengan risiko yang lebih tinggi untuk berlakunya kesan buruk kardiovaskular.[2]
  • Pengambilan penyekat saluran kalsium, sejenis ubat yang biasa untuk pesakit darah tinggi yang membawa risiko berlakunya pertumbuhan gusi dikenali sebagai hiperplasia gingival. Keadaan ini akan menjadikan lebih sukar untuk memflos dan memberus gigi dengan berkesan, lalu menyebabkan sisa-sisa makanan terperangkap dan menyumbang kepada kerosakan gigi dan penyakit gusi.
  • Rawatan radioterapi yang digunakan untuk merawat kanser kepala dan leher, memberi kesan kepada kelenjar air liur. Air liur memgandungi kalsium dan kalsium karbonat yang bertindak menghalang kesan asid yang dihasilkan oleh bakteria. Akibatnya, kurangnya pengeluaran air liur akan mengurangkan perlindungan terhadap hakisan, lalu menyebabkan gigi lebih terdedah kepada kerosakan.
  • Menjalani beberapa rawatan untuk penyakit berbeza dan faktor usia yang meningkat juga boleh menyumbang kepada kurangnya pengeluaran air liur.

Melabur dalam perhubungan

Sepanjang kerjayanya, Profesor Seow sudah berjumpa pelbagai jenis pesakit. Ada yang begitu gerun untuk melakukan pemeriksaan gigi sehinggakan dia memerlukan seluruh ahli keluarganya untuk hadir memberikan sokongan emosi dan ada juga yang giginya sudah menunjukkan tanda-tanda terhakis disebabkan sengaja muntah kerana menderitai gangguan pemakanan, bulimia.

Dalam kes-kes begitu, hubungan yang baik di antara doktor gigi dan pesakit dapat membantu mereka menjadi lebih selesa untuk jangka masa yang panjang. Pengalaman keseluruhan mereka akan menjadi lebih menyenangkan dan dapat menggalakkan pesakit untuk datang melakukan pemeriksaan gigi secara tetap. Namun begitu, untuk membina kepercayaan itu akan mengambil masa, kata Profesor Seow.

Akhirnya nanti, adalah penting untuk mencari doktor gigi yang anda boleh percayai dan membuat anda berasa selesa, ujar beliau. Seiring masa, ketakutan dan kebimbangan pesakit akan dapat ditangani melalui pendidikan dan komunikasi yang kerap. Mereka akan lebih mudah menerima bimbingan selepas itu.

Selanjutnya, beliau menasihati ibu bapa untuk “menjadi suri teladan kepada anak-anak dan berusaha untuk menangani sebarang trauma peribadi yang menghalang anda dan anak anda daripada mendapatkan pemeriksaan gigi.”  

Akhir sekali, Profesor Seow berkata, “Ingatlah yang kerosakan gigi dan penyakit gusi tidak berlaku sekelip mata. Pada peringkat awalnya, kerosakan gigi dan masalah gusi boleh dipulihkan. Dengan menjadi proaktif, anda boleh membantu menahan dan menterbalikkan pola penyakit tersebut dan memulakan perjalanan ke arah kesihatan mulut yang lebih baik. Seterusnya, kesihatan dan kesejahteraan anda akan menjadi lebih baik juga.”


[1] Lee, Z.L., Gan, W.Y., Lim, P.Y. et al. Associations of nutritional status, sugar and second-hand smoke exposure with dental caries among 3- to 6-year old Malaysian pre-schoolers: a cross-sectional study. BMC Oral Health 20, 164 (2020). https://doi.org/10.1186/s12903-020-01152-0

[2] Sanz, M., Marco del Castillo, A., Jepsen, S., et. al. Periodontitis and cardiovascular diseases: Consensus report. Journal of clinical periodontology, 47(3), 268-288(2020). https://doi.org/10.1111/jcpe.13189  

Doktor Gigi Anda, Kawan Anda – RAMARAMA
© 2024 BlackButterfly DesignArts