Kempen For Your Sweetheart melancarkan buku elektonik (e-book) “Simple Healthy Cooking” yang menampilkan 10 resipi lazat, menyihatkan dan sesuai bagi pesakit Diabetes
Petaling Jaya, 23 September 2022 – Memahami kesulitan yang dialami pesakit diabetes dan juga penjaga mereka dalam menyediakan hidangan harian yang bersesuaian, Kempen For Your Sweetheart bekerjasama dengan Chef Selebriti, Nik Michael Imran yang popular menerusi rancangan Masterchef Malaysia 2011 bagi mencipta satu siri resipi terdiri daripada hidangan fusion dan tempatan yang boleh disediakan dalam tempoh kurang daripada 20 minit. Resipi ini dicipta dengan hasil rundingan bersama Cik Poh Kai Ling atas kapasitinya sebagai Ahli Majlis Diabetes Malaysia (DM) serta bekas Ahli Jawatankuasa Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia (MDES).
Membongkar Mitos Diet Diabetes
Adalah penting untuk memahami semua fakta tentang diabetes supaya pesakit dan penjaga boleh membuat keputusan yang tepat tentang pemakanan sihat bagi pesakit diabetes. Beberapa mitos yang wujud terutamanya bagi pesakit dan penjaga yang baru didiagnosis termasuklah melewatkan waktu makan bagi mengawal paras gula darah yang turun naik, pengambilan produk ‘bebas gula’ atau digantikan dengan gula gantian, serta mengelakkan diri dari pengambilan kentang, keledek, labu dan jagung.
Cik Poh berkata, “Melewatkan waktu makan atau kurang makan tidak semestinya membantu dalam mengurangkan paras gula dalam darah. Adalah dinasihatkan untuk makan bila terasa lapar, dan bila badan memerlukannya. Mengabaikan tanda-tanda kelaparan hanya akan meningkatkan selera makan yang bertambah hingga menyukarkan bagi individu tersebut untuk mengawal pengambilan makanan dalam hidangan berikutnya. Membaca label makanan juga penting bagi memahami kandungan nutrisi dengan lebih baik, kerana tidak semua produk bebas-gula adalah bebas-karbohidrat.”
Kentang, keledek, labu dan jagung adalah sebahagian daripada kumpulan makanan karbohidrat. Memang benar, pengambilan karbohidrat akan meningkatkan paras gula dalam darah. Walau bagaimanapun, sayur-sayuran berkanji ini juga sangat berkhasiat dan mengandungi pelbagai vitamin, mineral, antioksidan dan serat yang penting untuk tubuh kita. Pengambilan makanan jenis ini tidak sepatutnya dielakkan. Yang penting adalah mengawal saiz hidangan.
Jadi.. pesakit diabetes boleh makan apa?
Menurut Cik Poh, diet bagi pesakit diabetes tidak perlu terlalu ketat, membosankan dan sukar untuk dinikmati. Menghidap diabetes tidak semestinya mengehadkan pilihan makanan seseorang. Pemakanan sihat untuk penghidap diabetes tidak banyak bezanya dengan yang lain. “Apa yang penting ialah makan dalam jumlah yang terkawal dan hanya mengambil sebahagian hidangan yang kaya dengan karbohidrat. Salah satu caranya ialah dengan mengambil tahu Indeks Glisemik (GI) makanan tersebut. GI ialah nilai bagi mengukur kadar seberapa cepat karbohidrat dalam makanan mampu meningkatkan glukosa dalam darah. Secara ringkasnya, makanan yang GI rendah (antara 0-55) dianggap karbohidrat yang baik dan makanan GI tinggi (70-100) dianggap karbohidrat yang tidak baik. Semakin tinggi nilai GI, semakin besar kesan ke atas paras gula dalam darah. Memahami GI makanan boleh membantu kita dalam mengawal diabetes dan secara serentak dapat mengira pengambilan karbohidrat.
Kerjasama antara Chef Nik dan Cik Poh dalam penyediaan resipi e-book Simple Healthy Cooking ini adalah bagi memastikan hidangan disediakan untuk pesakit diabetes bukan sahaja menyeronokkan dengan pelbagai variasi untuk citarasa berbeza, tetapi ia juga ringkas, mudah disediakan malah sesuai untuk penghidap diabetes. Hasilnya, pelbagai resipi yang seimbang dimana pesakit diabetes dapat menikmati hidangan ala restoran yang lazat lagi menyihatkan, dengan kadar GI yang bersesuaian. “Saya telah mencuba kesemua 10 resepi dan ianya sungguh lazat. Tahniah Chef Nik! Hidangan kegemaran saya ialah Pasta Perang Alla Puttanesca, Krep Kalapa dan Tenzaru Soba,” tambah Cik Poh.
Berkongsi pengalamannya dalam menghasilkan perlbagai resipi untuk kempen ini, Chef Nik berkata, “Ia merupakan satu perjalanan yang amat bermakna bagi saya secara peribadi. Ayah saya, seorang chef yang sukakan makanan yang lazat, baru-baru ini dia telah didiagnosis menghidap diabetes. Saya memahami perasaan para penjaga yang pasti ingin memberikan yang terbaik buat orang tersayang yang menghidap diabetes. Itulah yang mendorong saya untuk mencipta sepuluh resipi ini. Saya cuba mengekalkan rasa yang sedap sambil mengubah suai pengambilan nutrien mereka tanpa membuatkan pesakit merasakan mereka tiada pilihan lain dalam diet mereka. Saya harap ramai orang akan mencuba resipi ini dan menikmati detik istimewa bersama orang tersayang semasa mencubanya .”
Apa yang kecoh sangat dengan diet diabetes?
Kajian menunjukkan bahawa 1 daripada 5 orang dewasa di negara ini² menghidap diabetes, satu penyakit kronik jangka panjang yang memerlukan penjagaan dan pengurusan jangka panjang. Tahap glukosa yang tidak sihat dalam darah boleh menyebabkan komplikasi kesihatan jangka panjang dan pendek, di mana akan menjejaskan jantung dan buah pinggang. Itulah sebabnya Cik Poh kini berusaha untuk mendidik dan membongkar mitos tersebut, kerana pemakanan yang betul boleh membantu dalam mengurangkan risiko komplikasi berkaitan diabetes seperti penyakit jantung dan buah pinggang.
Adakah Malaysia Berkemungkinan Bebas daripada Diabetes?
Malaysia kini mencatatkan kadar diabetes tertinggi di Asia, iaitu 17.5% dengan lebih 3.5 juta rakyat Malaysia hidup dengan keadaan ini. Manual Pendidikan Diabetes 2020 yang diterbitkan oleh MDES melaporkan bahawa berdasarkan trend semasa, dianggarkan tujuh juta orang dewasa Malaysia berkemungkinan menghidap diabetes menjelang 2025¹.
Melihat pada statistik ini, impian Malaysia untuk bergelar negara yang bebas-diabetes nampaknya sudah tersasar jauh. Maka, trend inilah yang mendorong Kempen For Your Sweetheart diteruskan sejak 3 tahun yang lalu. Sebarang usaha untuk memperlahankan trend ini adalah lebih baik daripada tiada langsung. Kempen ini menggalakkan semua rakyat Malaysia untuk ‘Think Diabetes Think Heart’ dan salah satu inisiatifnya adalah menerusi pengesanan awal.
Rakyat Malaysia yang berisiko tinggi atau mempunyai sejarah keluarga yang pernah menghidapi diabetes digalakkan untuk menjalani ujian pengesanan awal, Kempen For Your Sweetheart menyediakan Pemeriksaan Diabetes HbA1c PERCUMA di klinik yang mengambil bahagian di seluruh negara. Usaha Pemeriksaan Diabetes Percuma ini disokong oleh Boehringer Ingelheim dengan kerjasama Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS), Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia (MDES) dan Persatuan Diabetes Malaysia (PDM).
Layari https://www.foryoursweetheart.my untuk mendapatkan Saringan Diabetes Percuma anda hari ini. Saringan Diabetes HbA1c PERCUMA For Your Sweetheart kini sedang berlangsung sekarang sehingga 31 Disember 2022. Resipi Chef Nik boleh dimuat turun di sini.