Destinasi yang Perlu Dilawati, Aktiviti yang Perlu Dilakukan dan Makanan yang Wajib Dicuba Pada Tahun 2022: Terokai Malaysia dengan Panduan Pelancongan Airbnb yang Pertama

Kuala Lumpur, 27 Mei 2022 — Syarikat hospitaliti antarabangsa Airbnb hari ini melancarkan Panduan Pelancongan edisi Malaysia yang pertama. Ini bersempena dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa yang telah lama dinantikan.

Panduan Pelancongan Airbnb 2022: Edisi Malaysia bertujuan untuk memberi inspirasi kepada pelancong antarabangsa dan domestik untuk meneroka semula negara ini dengan melawati destinasi yang terkenal dan semakin popular dan permata tersembunyi yang tidak diketahui oleh kebanyakan penduduk tempatan, semuanya disyorkan oleh Airbnb. Panduan ini juga menyerlahkan aktiviti yang mendebarkan, keistimewaan hidangan yang lazat dan penginapan Airbnb yang paling luar biasa di seluruh negara.

Amanpreet Bajaj, Pengurus Besar Airbnb untuk Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan, berkata, “Sejajar dengan persiapan kami untuk mengalu-alukan pengembara kembali ke Malaysia selepas pembukaan semula antarabangsa negara ini, Airbnb teruja untuk melancarkan Panduan Pelancongan Airbnb 2022: Edisi Malaysia yang pertama. Panduan ini menonjolkan pelbagai permata tersembunyi tempatan di sekitar Malaysia, dan bertujuan untuk menyediakan sumber inspirasi perjalanan dan membangkitkan keinginan dalam kalangan pengembara tempatan dan luar negara untuk meneroka negara ini dengan selamat dan bertanggungjawab.”

5 Destinasi Paling Popular yang Kurang Diketahui Ramai di Airbnb: Merancang percutian unik yang jauh daripada tempat tumpuan pelancong biasa? Airbnb mendedahkan 5 destinasi paling kurang diketahui ramai di Malaysia – Pulau Timba-Timba yang indah dengan hidupan laut yang berwarna-warni; Pulau Kudat di Sabah yang mempunyai perairan bioluminesen yang unik; Sarikei yang kaya dengan budaya di Sarawak; Sungai Lembing yang menempatkan “Air Terjun Pelangi” yang menakjubkan; dan Hutan Hujan Belum, salah satu hutan hujan tertua di dunia.

5 Penginapan Airbnb Paling Luar Biasa: Kami telah meneroka negara ini untuk membawa anda lima penginapan yang sangat unik – daripada chalet tepi pantai terpencil yang indah menghadap Laut China Selatan hingga percutian yang menakjubkan yang dibina di tebing gunung. Terokai lebih banyak penginapan yang menakjubkan termasuk rumah kawasan desa  unik yang diperbuat daripada buluh semula jadi, chalet Belanda gaya kolonial yang abadi di Melaka, dan kabin pantai Terengganu yang selesa di mana tetamu boleh tidur dan bangun dibelai bunyi ombak.

5 Pengalaman Airbnb Paling Unik: Jadikan percutian anda sebuah pengalaman yang tidak dapat dilupakan dengan pengalaman istimewa yang dianjurkan oleh pakar tempatan yang bersemangat! Berkayak di tanah paya dengan naturalis dan ahli sejarah tempatan, pelajari semua tentang teknik canting dan pewarnaan batik, cuba menoreh getah, ikuti kelas silat bersama ahli silat, dan sertai penjelajahan malam di hutan Langkawi.

5 Hidangan Hebat Terbaik untuk Pencinta Makanan: Malaysia terkenal dengan pelbagai jenis masakan yang lazat merentasi pelbagai budaya, dan Airbnb menampilkan 5 makanan terbaik yang mesti dicuba termasuk hidangan asli Kadazandusun; hinava, hidangan istimewa perayaan Gawai Dayak; manok pansoh dan hidangan Peranakan seperti ayam buah keluak yang membangkitkan selera.

Tip Pelancongan Airbnb Paling Popular: Untuk perjalanan yang selamat, lakukan ujian COVID-19 sebelum mengembara, dan sediakan beberapa kit ujian aliran COVID-19 untuk ujian yang kerap. Bersedia untuk aktiviti luar dengan membawa air dan barangan pelindung seperti semburan serangga mesra alam, pelindung matahari dan peti pertolongan cemas asas. Akhir sekali, sokong lokal dengan menikmati keseronokan tempatan dan libatkan komuniti tempatan. Anda mungkin akan mendapat beberapa rakan baharu setelah semuanya selesai!

Layari https://news.airbnb.com/airbnb-travel-guide-2022-malaysia/ untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai panduan pelancongan Airbnb.

© 2023 BlackButterfly DesignArts