Destinasi Percutian Keluarga Terbaik di Australia Barat

Pengalaman mesra keluarga bersama anak-anak yang tidak harus dilepaskan

Merancang percutian – khususnya ke luar negara  – sememangnya mencetuskan keterujaan baik kepada anak-anak mahupun ibu bapa. Jika anda inginkan destinasi yang menawarkan pengembaraan mendebarkan, keindahan alam yang mempesona dan lokasi yang cukup menarik untuk berehat dan meluangkan masa berharga bersama keluarga, anda tidak perlu lagi tercari-cari kerana semuanya ada di Australia Barat.

Hanya lima jam perjalanan melalui penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Perth, Australia Barat adalah negeri yang kaya dengan khazanah landskap indah dan kepelbagaian hidupan liar, yang terpelihara dalam keunikan budayanya. Untuk kanak-kanak, mereka berpeluang mengenali pelbagai hidupan liar dan semua yang ditawarkan oleh alam semula jadi dengan penginapan ladang; manakala pelancong dewasa pula boleh berjalan-jalan meneroka keindahan pemandangan desa atau menyertai lawatan mencuba wain sebelum menikmati pelbagai hidangan enak di Lembah Swan (Swan Valley).

Antara yang wajib dimasukkan ke dalam agenda anda ialah menjejak pantainya yang bersih atau flora dan fauna di Pulau Rottnest (Rottnest Island) – cara yang bagus untuk menyelitkan sedikit pembelajaran di luar sekolah untuk anak-anak ketika bercuti – dan meneroka pulau yang kaya dengan sejarah budayanya ini.

Teruja, bukan? Teruskan pembacaan, berikut adalah tiga set pengalaman berbeza yang boleh anda rasai daripada percutian di Australia Barat iaitu:

Bertemu Mesra dengan Hidupan Liar Australia Barat

Destinasi Percutian Keluarga Terbaik di Australia Barat

Kredit gambar: Tourism Western Australia

Anak-anak anda mungkin biasa melihat haiwan asli Australia yang ditonton atau dibaca dalam rancangan TV, dokumentari atau buku kegemarannya, dan inilah sebabnya percutian ke Australia Barat tidak akan lengkap tanpa bertemu dengan hidupan liar di negeri ini.

Pengembaraan mengenali hidupan liar boleh dimulakan di Caversham Wildlife Park. Taman milik keluarga ini menempatkan koleksi hidupan liar persendirian yang terbesar di Australia Barat. Bawalah anak-anak anda untuk merasai pengalaman bertemu haiwan paling unik dan menarik di Australia. Anda dan anak-anak akan menerima layanan istimewa dari penjaga hidupan liar yang berdedikasi di sini.

Usah lepaskan peluang untuk bertemu haiwan paling gembira di dunia – quokka – di Pulau Rottnest (Rottnest Island). Tidak dinafikan, inilah haiwan yang paling ikonik di Australia Barat, jadi pastikan anda merakamkan kenangan ‘swafoto quokka’ dengan mamalia marsupial yang sentiasa tersenyum ini. Selain bertemu quokka, ada banyak lagi aktiviti menarik untuk dilakukan di pulau ini tanpa kereta dengan 63 pantai dan 20 teluk untuk diteroka. Anda boleh menyewa e-basikal dan bersantai menjelajah pulau menaiki bas ronda.

Hidupan liar di Australia Barat bukan sekadar di darat, tetapi di laut juga. Negeri ini terkenal sebagai salah satu lokasi terbaik di dunia untuk melihat ikan paus, dan berbangga kerana di sinilah berlakunya migrasi ikan paus terbesar di hemisfera selatan. Bawalah keluarga anda mengikuti  lawatan melihat ikan paus untuk menyaksikan sendiri paus biru, orca, humpback atau southern right secara lebih dekat.

Aturkan aktiviti khas untuk anak-anak yang lebih besar dengan Perth Wildlife Encounters supaya mereka boleh berenang bersama ikan lumba-lumba Bottlenose di Rockingham. Bahkan dengan bersnorkel, anak-anak anda boleh menyaksikan persembahan ikan lumba-lumba yang menyeronokkan.

Jika masih belum puas mengenali hidupan liar di Australia Barat, ada satu lagi lokasi terbaik untuk anda sekeluarga kunjungi iaitu Zoo Perth. Zoo ini menempatkan lebih 1,300 haiwan dan menjadi pusat konservasi haiwan. Di sini, anak-anak anda akan merasai pelbagai pengalaman – daripada berada dekat dengan haiwan, kepada melihat haiwan diberi makan dan mendengar rancangan bual bicara mengenai haiwan.

Bersatu dengan Alam

Destinasi Percutian Keluarga Terbaik di Australia Barat

Kredit gambar: Tourism Western Australia

Jika inginkan sesuatu yang lebih mencabar, pergilah berjalan-jalan di Law Walk di Kings Park and Botanic Garden. Bersebelahan dengan Swan River (Sungai Swan), salah satu taman dalam bandar yang terbesar di dunia, denai mesra keluarga sepanjang 2.5 kilometer ini menyusuri lereng Gunung Eliza (Mount Eliza), di mana anda akan disambut oleh hutan belukar yang menyejukkan mata di Kings Park. Untuk memahat memori indah, datanglah pada bulan September untuk melihat keunikan pemandangan kawasan seluas lebih 400 hektar ini yang menyajikan limpahan warna bunga daripada 3,000 spesies bunga liar yang mekar menyerikan seluruh taman.

Penuhi keinginan kembara anda untuk melihat pemandangan matahari terbenam yang cukup mengasyikkan di Australia Barat dengan mendaki trek di Air Terjun Lesmurdie.  Pemandu pelancong terlatih dan berpengalaman dari Off The Beaten Track WA akan mengemudi perjalanan anda ke puncak, dan anda sekeluarga akan dapat menikmati  pemandangan bandar Perth dan lembah Mundy Regional Park.

Jauh dari kesibukan Perth, susuri trek Swan Coastal Plain di Yanchep National Park dan nikmati biodiversitinya yang menakjubkan. Ambillah peluang berehat dengan berkelah bersama anak-anak anda sambil melihat kanggaru western grey  – dan menemui ikon Australia di laluan Koala ketika anda berada di sana.

Suntikkan keseronokan dalam penerokaan alam semula jadi anda dengan mengunjungi Giants at Mandurah yang dicipta oleh artis kitar semula, Thomas Dambo. Pada kemunculan pertama mereka di Australia ini, anda boleh mencuba permainan mencari arca istimewa yang menarik dan mengembara ke tanah orang Bindjareb Noongar sambil anda dan anak-anak mengesan kedudukan Gergasi rahsia yang terakhir.

Jika anda ingin menjelajah ke tanah rendah, bawalah anak anda untuk meneroka gua-gua di Sungai Margaret (Margaret River). Malah anda juga boleh meneroka Leeuwin Naturaliste Ridge melalui pelbagai lawatan berpandu yang mudah dan melihat sendiri keunikan hiasan asli gua batu kapur yang cukup mengagumkan.

Aktiviti yang Mengeratkan Keluarga

Destinasi Percutian Keluarga Terbaik di Australia Barat

Kredit gambar: Tourism Western Australia

Selain keajaiban hidupan liar dan alam semula jadinya, Australia Barat juga menawarkan  pelbagai aktiviti unik yang boleh disertai oleh seisi keluarga.

Lembah Swan (Swan Valley) yang hanya 25 minit dari Perth, mempunyai banyak ladang anggur dan pastinya menghidangkan pemandangan ladang anggur yang menenangkan jiwa. Salah satu ladang anggur untuk disinggahi ialah Grapes on Swan, di mana anda boleh memetik anggur terus dari ladang. Di sinilah anak-anak anda boleh mengutip pengalaman menarik selain belajar dan menghargai cara pokok anggur tumbuh.

Satu lagi aktiviti keluarga yang menyeronokkan ialah melawat 70 bangunan bersejarah dari seluruh dunia dan bermain kereta api model berskala di Amaze Miniature Park. Taman ini mempunyai koleksi mercu tanda mini dari seluruh dunia, termasuklah Menara Eiffel, Taj Mahal dan banyak lagi.

Cara terbaik untuk meneroka lebih banyak landskap, budaya dan tarikan yang cantik di negeri ini ialah melalui kembara jalan raya. Sama ada pemanduan ke destinasi yang dekat dengan bandar atau merancang perjalanan untuk beberapa hari, kembara jalan raya adalah peluang terbaik untuk anda mencipta memori indah bersama keluarga yang akan dikenang sepanjang hayat. Bagi membantu anda merancang kembara anda ini, Tourism Western Australia melancarkan sebuah panduan untuk kembara jalan raya ke seluruh negeri ini. Apa yang anda perlu lakukan hanyalah memilih satu dan mulakan pemanduan anda.

Satu penceritaan tidak cukup untuk berkongsi betapa banyaknya aktiviti yang boleh dilakukan di Australia Barat, jadi apa kata anda terbang ke sana dan merasai pengalaman itu sendiri. Siapa tahu, anda mungkin ada senarai ‘mesti dilakukan dan mesti dilawati’ yang tersendiri sebaik tiba di sana, maka Australia Barat sewajarnya menjadi destinasi baharu untuk anda sekeluarga.

Bagi mendapatkan butiran lanjut dan inspirasi destinasi untuk percutian keluarga anda yang seterusnya, sila kunjungi laman web Tourism Western Australia di https://www.westernaustralia.com.

© 2023 BlackButterfly DesignArts