Inisiatif di seluruh negara merentasi 131 sekolah menyampaikan kepentingan pencegahan denggi di kalangan pelajar dan komuniti
KUALA LUMPUR, 9 Oktober 2019 – Pencegahan denggi adalah tanggungjawab bersama, dan menerusi inisiatif enam bulan Dengue Patrol 2019, para pelajar dari 131 sekolah rendah dan menengah bertungkus-lumus untuk meningkatkan kesedaran dan menanam semangat advokasi dan penglibatan dalam memerangi denggi.
Dengue Patrol, sebuah kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Sanofi Pasteur, diperkenalkan pada tahun 2011 dan melibatkan beribu-ribu pelajar setiap tahun untuk mengisi peranan sebagai Ahli Patrol Denggi di sekolah masing-masing dengan menerajui aktiviti dasar dan digital yang melangkaui dinding sekolah ke masyarakat sekeliling.
Sewaktu Majlis Pengiktirafan Dengue Patrol 2019, Timbalan Menteri Pendidikan Yang Berhormat Puan Teo Nie Ching, diwakili oleh Puan Faridah Yang Razali, Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Murid), Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia, mengiktiraf usaha semua sekolah dan Ahli Patrol Denggi yang berdedikasi dalam perjuangan mereka untuk menghapuskan denggi.
Yang Berhormat Puan Teo berkata, “Dengue Patrol 2019 terus mempamerkan kreativiti, kepintaran dan dedikasi pelajar-pelajar yang layak untuk mendapat pujian dan pengiktirafan atas usaha luarbiasa mereka. Saban tahun, kita terus melihat hasil yang membuktikan mesej kesedaran denggi dan kepentingan pencegahan disampaikan dan diperkuatkan di kalangan rakan-rakan dan anggota komuniti mereka. Contoh positif sedemikan mengingatkan bahawa kita semua perlu memainkan peranan sebagai warga yang bertanggungjawab dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada setiap Ahli Patrol Denggi kerana menjadi seorang contoh yang baik, termasuk guru-guru yang aktif membimbing dan menyokong mereka sepanjang masa.”
Sejumlah 131 sekolah rendah dan menengah telah mengambil bahagian di peringkat negeri, dengan 50 buah sekolah maju ke peringkat kebangsaan, terdiri daripada 32 juara negeri dengan tambahan 18 sekolah yang dipilih menggunakan format yang baharu.
Gabungan usaha mereka menyerlah dengan 15,215 inisiatif dasar yang menjangkaui lebih daripada 795,673 orang dan sejumlah 564,786 aktiviti atas talian termasuk kuiz denggi dalam talian, iaitu antara kriteria utama penyertaan program ini. Pada tahun ini, sejumlah 44,793 kuiz denggi disempurnakan, menandakan pencapaian tertinggi, yang jelas menunjukkan keberkesanan usaha para pelajar untuk mendorong pemahaman yang lebih baik di kalangan orang ramai tentang penyakit ini.
Contoh inisiatif kreatif yang menyerlah adalah lakonan berunsur pendidikan, pameran, maklumat grafik, video pendek, animasi, aktiviti gotong royong, pertandingan seni, aktiviti penglibatan masyarakat dan tembual bersama pegawai kesihatan. Para pelajar turut mengambil inisiatif untuk melibatkan selebriti Malaysia seperti Janna Nick, Bella Dally, Ziana Zain, Fasha Sandha, Rozita Che Wan, Marsha Milan Londoh, Nabila Razali, Anuar Zain, Remy Ishak dan Rahim Sepahtu, antara lainnya, dan menggunakan pengaruh media sosial dengan hasil yang mengagumkan.
Usaha mereka turut mendapat sokongan daripada tokoh-tokoh awam, termasuk Menteri Pendidikan Yang Berhormat Dr Maszlee Malik; Menteri Kesihatan Yang Berhormat Datuk Seri Dr Haji Dzulkefly Ahmad; Menteri Belia & Sukan Yang Berhormat Syed Saddiq; dan Menteri Industri Utama Yang Berhormat Teresa Kok.
Sekolah dengan kempen kesedaran dan pencegahan denggi yang paling berkesan dalam Kategori Sekolah Rendah dimenangi Sekolah Kebangsaan Pasir Panjang (Selangor). Kehadiran media sosial yang aktif, dengan jumlah 462 hantaran menghasilkan sejumlah 41,288 tontonan manakala aktiviti dasar mereka termasuk mencipta dan mengedarkan risalah pendidikan, menganjurkan ceramah, mengumpul ikrar anti-denggi, pertandingan seni dan persembahan nyanyian dan tarian untuk rakan-rakan pelajar yang lain.
Dalam Kategori Sekolah Menengah, Sekolah Menengah Kebangsaan Baru Bintulu (Sarawak) diumumkan sebagai pemenang. Video mereka yang amat berkesan menggambarkan kisah menyentuh hati tentang seorang pelajar bernama Lika yang meninggal dunia akibat denggi serta kisah penglibatan rakan karib Lika dalam Dengue Patrol 2019 bagi mengingati beliau. Mereka turut mendokumenkan penglibatan berkesan dengan media tempatan dan perniagaan, kolaborasi bersama NGO untuk aktiviti gotong royong dan kemasyarakatan seperti lawatan ke pasar dan mengambil bahagian dalam larian negeri sebagai Ahli Patrol Denggi, termasuk testimoni oleh bekas mangsa wabak denggi.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Yang Berbahagia Dato’ Dr Chong Chee Kheong menyampaikan ucap tahniahnya kepada sekolah-sekolah yang menang dengan berkata: “Ancaman denggi sentiasa hadir dan kejayaan berterusan dari Dengue Patrol sangat menggalakkan. Para pelajar berhak untuk mendapat segala pujian dan kredit atas kerja keras dan kreativiti mereka, dan kami menghargai sumber-sumber yang telah dilaburkan dalam program ini oleh Sanofi Pasteur kerana mengekalkan kesedaran dan advokasi yang berterusan dapat melindungi diri sendiri dan masyarakat dari ancaman denggi.”
Tambahan pula, Puan Camille de Lataillade, Pengarah Urusan Sanofi Pasteur (Malaysia & Brunei), berkata: “Sebagai rakan perjalanan kesihatan anda, Sanofi Pasteur percaya di dalam dunia ini tiada siapa perlu menderita mahupun meninggal dunia disebabkan penyakit yang mampu dicegah vaksin. Kami percaya bahawa pencegahan adalah langkah paling penting untuk sebarang ancaman kesihatan awam. Kami berterima kasih atas sokongan berterusan dari Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan, dan kami berharap Dengue Patrol akan terus berjaya di kalangan rakyat muda Malaysia, menanamkan kepentingan pencegahan dan mendorong mereka untuk mengambil langkah yang tepat untuk melindungi diri sendiri dan orang lain, kini dan di masa depan.”Dengue Patrol 2019 telah berlangsung dari Mac sehingga September dan akan kembali pada tahun 2020; untuk maklumat selanjutnya, sila layari www.denguepatrol.com.my.