
Penggunaan alatan digital yang panjang serta kekurangan aktiviti luar menyebabkan lebih banyak masalah penglihatan dalam kalangan kanak-kanak Malaysia, dengan sakit kepala, penglihatan kabur dan ketegangan mata sebagai simptom masalah penglihatan yang lebih serius.
KUALA LUMPUR (15 Ogos 2025) – Masalah penglihatan kini semakin terjadi di kalangan kanak-kanak Malaysia, namun ramai yang masih tidak didiagnos sehingga ia mula menjejaskan tingkah laku, prestasi di sekolah atau perkembangan keseluruhan kanak-kanak tersebut. Satu kajian baru-baru ini mendapati bahawa 22.3% kanak-kanak Malaysia mempunyai beberapa bentuk gangguan penglihatan, dengan lebih separuh daripada kes ini dikaitkan dengan punca yang boleh dirawat[1].
Dr Fiona Chew Lee Min, Pakar Perunding Mata, Pakar Perunding Mata Kanak-kanak dan Pakar Bedah Strabismus di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), berkata kebanyakan kes ini berpunca daripada kesalahan refraktif (refractive errros), iaitu keadaan di mana cahaya tidak tertumpu dengan betul pada mata disebabkan oleh bentuk bebola mata, mengakibatkan penglihatan menjadi kabur. “Miopia (rabun dekat) dan astigmatisme (sejenis masalah mata yang sering berlaku dan menyebabkan gangguan penglihatan) adalah di antara kesalahan refraktif yang paling biasa berlaku di kalangan kanak-kanak Malaysia, dan kedua-duanya semakin berleluasa,” katanya. Dengan bulan Ogos menandakan Bulan Kesedaran Kesihatan dan Keselamatan Mata Kanak-kanak, beliau mengingatkan ibu bapa untuk mengutamakan pemeriksaan penglihatan berkala walaupun anak tidak mengalami sebarang simptom yang jelas.
Memahami Kesalahan Refraktif Di Kalangan Kanak-Kanak
Hampir satu daripada dua kanak-kanak Malaysia terjejas oleh kesalahan refraktif, dengan kajian tempatan melaporkan kelaziman sebanyak 47.8%[2]. Antara jenis-jenis kesalahan refraktif termasuklah miopia yang menjejaskan 30.2% dan berlaku apabila cahaya memfokus di hadapan retina, menyebabkan objek jauh kelihatan kabur. Astigmatisme, yang menjejaskan 16.3% kanak-kanak pula berlaku disebabkan oleh lengkungan kornea yang tidak rata, mengakibatkan penglihatan kabur pada semua jarak. Walaupun hiperopia, atau rabun dekat, lebih kurang biasa terjadi dengan kadar statistik 1.2% dan berlaku apabila cahaya memfokus di belakang retina, menjadikan objek berhampiran kelihatan kabur.
Walaupun keadaan ini adalah perkara biasa, Dr Fiona berkongsi bahawa ia sering diabaikan kerana kanak-kanak jarang mengadu mengenai masalah penglihatan mereka. Sebaliknya, mereka mungkin menyesuaikan diri dengan keadaan penglihatan mereka yang terbatas, menyebabkan ibu bapa beranggapan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang masalah penglihatan. Simptom yang dialami juga tidak signifikan, seperti mengecilkan mata untuk melihat objek yang jauh, kerap mengelip atau menggosok mata, atau memegang buku dan peranti digital dekat dengan muka. Beliau menambah bahawa walaupun tingkah laku seperti duduk terlalu dekat dengan televisyen sering disalah anggap sebagai tabiat buruk, namun ia boleh menunjukkan bahawa kanak-kanak tersebut mempunyai limitasi untuk melihat dengan jelas dan mungkin rabun.
Jika tidak dirawat, kesalahan refraktif boleh membawa kepada masalah penglihatan yang lebih serius, termasuk mata malas (lazy eye) yang menyebabkan penglihatan menjadi lemah, masalah penjajaran mata, sakit kepala akibat ketegangan mata, masalah dengan persepsi kedalaman (ketidakupayaan untuk menilai jarak atau melihat kedalaman dengan betul) dan juga kesukaran untuk menumpukan perhatian. Risiko ini ditambah lagi dengan tabiat gaya hidup moden seperti penggunaan gajet dan masa skrin yang berpanjangan, terutamanya dengan kebergantungan pada alat peranti digital yang telah meningkat dengan ketara.
Kesan Masa Skrin Berpanjangan dan Faktor Gaya Hidup
Perubahan gaya hidup dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah memberi kesan yang ketara terhadap kesihatan mata kanak-kanak, dengan peralihan kepada pembelajaran jarak jauh semasa pandemik Covid-19 yang meningkatkan pendedahan masa skrin harian kanak-kanak. Akibatnya, lebih separuh daripada pelajar Malaysia mengalami sakit kepala yang dikaitkan dengan tempoh berpanjangan di hadapan skrin[3]. Masa skrin yang berpanjangan juga dikaitkan dengan peningkatan panjang bebola mata, yang merupakan faktor utama dalam perkembangan kesalahan refraktif[4].
Melihat faktor risiko ini, Dr Fiona mengesyorkan bahawa kanak-kanak yang berumur lebih daripada tiga tahun harus mempunyai masa skrin tidak lebih daripada satu jam setiap hari, manakala kanak-kanak di bawah tiga tahun harus mengelakkan masa skrin atau peranti digital sepenuhnya. Sebaik-baiknya, masa skrin perlu diperkenalkan selewat mungkin, sebaik-baiknya dari umur tujuh tahun.
Menghabiskan lebih banyak masa di luar rumah juga boleh membantu melindungi penglihatan kanak-kanak dengan memberi rehat kepada mata mereka daripada peranti digital. Ini juga membolehkan mereka menumpukan jarak yang berbeza-beza sambil mendedahkan mereka kepada cahaya matahari semula jadi. Kajian juga semakin mengaitkan aktiviti luar dengan pengurangan risiko mengalami rabun jauh[5]. Dengan itu, Dr Fiona turut menggalakkan penggunaan peraturan 20-20-20 yang bermanfaat untuk semua peringkat umur. “Ia adalah tabiat yang mudah dan berkesan yang saya sendiri amalkan, di mana ketika melakukan kerja jarak dekat selama 20 minit, saya akan berehat selama 20 saat untuk memberi tumpuan kepada sesuatu yang jaraknya 20 kaki,” katanya.
Pilihan Rawatan dan Cara Penjagaan Kesihatan Mata
Di samping tabiat pencegahan ini, rawatan yang bersesuaian adalah kunci untuk melindungi penglihatan kanak-kanak. Cermin mata preskripsi kekal sebagai cara paling berkesan untuk membetulkan kesalahan refraktif pada kanak-kanak, dan mereka yang memerlukannya harus memakai cermin mata mereka secara konsisten untuk mengelakkan ketegangan mata dan membantu menstabilkan kesalahan refraktif. Dr Fiona turut menambah bahawa kebimbangan bahawa cermin mata akan melemahkan penglihatan kanak-kanak adalah tidak berasas, kerana preskripsi yang betul sebaliknya membantu mata untuk fokus dengan betul. Bagi kanak-kanak yang berusia di antara 10 hingga 12 tahun, kanta lekap juga boleh diperkenalkan sebagai alternatif kepada cermin mata preskripsi, tetapi penjagaan kebersihan yang ketat haruslah diamalkan untuk mengelakkan jangkitan mata.
Pemeriksaan mata secara berkala juga memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan mata kanak-kanak. Semua kanak-kanak perlu disaring semasa lahir, diikuti dengan penilaian mata rasmi pada usia tiga tahun. Sekiranya terdapat tanda-tanda masalah penglihatan, ibu bapa digalakkan untuk mengambil langkah proaktif dan mendapatkan penilaian kesihatan mata anak-anak mereka dengan lebih awal. “Apabila dikesan awal, kebanyakan masalah mata kanak-kanak boleh dirawat dengan berkesan, serta meningkatkan hasil rawatan dan kualiti hidup mereka dengan ketara,” jelas Dr Fiona sambil menyatakan bahawa hasil visual jangka panjang juga disokong oleh pemakanan yang betul dan penting untuk perkembangan visual yang sihat.
Peranan Pemakanan dalam Kesihatan Mata
Pemakanan adalah faktor kritikal namun sering diabaikan dalam melindungi penglihatan kanak-kanak. Menurut Chow Yu Fei, Ahli Diet Berdaftar di SMCV, diet seimbang semasa awal usia kanak-kanak menyokong perkembangan visual yang optimum, koordinasi otot mata dan fungsi mata secara keseluruhan. Nutrien utama seperti vitamin A, lutein, zeaxanthin dan asid lemak omega-3 memainkan peranan penting dalam mengekalkan penglihatan yang jelas dan melindungi retina daripada pendedahan cahaya yang berbahaya. Kekurangan semasa peringkat ini mungkin bukan sahaja boleh menjejaskan penglihatan mereka tetapi juga meningkatkan risiko untuk mendapat masalah mata pada masa hadapan.
Nutrien ini juga boleh didapati melalui makanan harian seperti lobak merah, ubi keledek, telur, bayam, brokoli, jagung, ikan salmon, ikan kegemaran tempatan seperti ikan tenggiri, ikan kembung, ikan patin, walnut dan juga biji chia. Kekurangan vitamin A boleh menjejaskan keupayaan kanak-kanak untuk melihat dengan jelas dalam keadaan cahaya malap dan, dalam kes yang teruk, boleh menyebabkan kerosakan kekal pada kornea. Pengambilan lutein dan zeaxanthin yang tidak mencukupi pula boleh mengurangkan pertahanan semula jadi retina terhadap cahaya biru (blue light) yang berbahaya, meningkatkan risiko kepada kerosakan jangka panjang. Kekurangan asid lemak omega-3 juga boleh menghalang perkembangan dan fungsi retina, serta menjejaskan kejelasan dan kecekapan pemprosesan visual. Dengan menambah makanan yang kaya dengan nutrien ini ke dalam makanan harian, ibu bapa boleh memberi anak-anak mereka peluang terbaik untuk mendapatkan penglihatan yang kuat dan sihat yang dapat menyokong mereka.
Pengesanan awal yang disokong oleh gaya hidup sihat dan pemakanan yan seimbang, boleh memberikan perbezaan yang ketara dalam mencegah dan mengurus masalah penglihatan pada kanak-kanak. Dengan sentiasa berwaspada terhadap simptom masalah mata, menjadualkan pemeriksaan mata secara berkala dan menggalakkan tabiat harian yang baik, ibu bapa boleh memainkan peranan penting dalam melindungi penglihatan anak mereka. Dengan campur tangan perubatan yang tepat pada masanya dan penjagaan kesihatan mata yang betul, pelbagai masalah mata kanak-kanak boleh dirawat dengan sepenuhnya, memberikan kanak-kanak permulaan yang terbaik untuk penglihatan yang sihat sepanjang hayat.
Pusat Perubatan Sunway Velocity terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi +603 9772 9191 atau emel [email protected]. Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan dengan Sunway Medical Centre Velocity, sila layari www.sunmedvelocity.com.my (Facebook: Sunway Medical Centre Velocity).
[1] https://myjo.org/index.php/myjo/article/view/279
[2] https://mehdijournal.com/index.php/mehdioptometry/article/view/1055
[3] https://www.e-mjm.org/2025/v80n2/computer-vision-syndromes.pdf
[4] https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/40007674/
[5] https://www.aao.org/eye-health/tips-prevention/covid19-pandemic-myopia-children-eyes