Dana Mampan untuk Pemuliharaan: Memupuk Kesedaran Nilai Ekosistem

IC-CFS melancarkan seminar Penilaian Ekonomi dan Pembayaran Perkhidmatan Ekosistem

Pahang, 25 November 2021 — Projek Improving Connectivity in the Central Forest Spine (IC-CFS) telah menganjurkan sebuah seminar berkaitan Penilaian Ekonomi (EV) dan Pembayaran Perkhidmatan Ekosistem (PES). Seminar ini melibatkan beberapa agensi, termasuk Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT), dan Perbadanan Taman Negeri Perak,dengan pembentangan hasil kajian berkaitan EV dan PES. Dengan dana daripada Global Environment Facility (GEF) dan sokongan daripada Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, seminar ini akan memulakan perancangan kewangan mampan berdasarkan Rangka Kerja Strategik IC-CFS.

Dalam merealisasikan misi Projek IC-CFS untuk mempelbagaikan sumber pendanaan dan peruntukan kewangan bagi usaha pemuliharaan hutan, seminar ini akan menerajui solusi pembiayaan kewangan yang inovatif bagi Central Forest Spine (CFS). Dengan lebih RM85 juta diperuntukkan oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 dan Ke-12 bagi Central Forest Spine, dana tersebut akan dioptimumkan dan disalurkan setiap tahun ke setiap kawasan CFS. Pelan pampasan kepada negeri yang mempunyai kawasan hutan yang diwartakan untuk tujuan tadahan air, melibatkan Pemindahan Fiskal Ekologi merupakan salah satu contoh utama peruntukan kewangan.

Dalam mengetengahkan kepentingan biodiversiti dan perkhidmatan ekosistem, IC-CFS telah membangunkan sebuah sistem penilaian ekonomi untuk Central Forest Spine yang kemudiannya diintegrasikan dalam proses pembuatan dasar yang bersepadu. Hasil penyelidikan daripada rakan kongsi IC-CFS, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Jabatan Perhutanan Negeri dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mengenai Penilaian Ekonomi (EV) dan Pembayaran Perkhidmatan Ekosistem (PES) mampu mengatasi isu-isu berbangkit dalam pengumpulan dana bagi tujuan pemuliharaan melibatkan beberapa bidang pembangunan dan industri, terutamanya berkaitan nilai tadahan air di Central Forest Spine.

Projek Improving Connectivity in the Central Forest Spine (IC-CFS)
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar & Perancangan) Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato’ Zahari Ibrahim merasmikan Seminar Penilaian Ekonomi (EV) dan Bayaran Perkhidmatan Ekosistem (PES)

“Di bawah IC-CFS, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia telah bekerjasama dengan perunding Projek IC-CFS dalam mengenal pasti nilai sumber yang berpotensi dalam ekosistem hutan, termasuk sumber air, pengasingan karbon, hasil hutan bukan kayu, ekopelancongan, dan banyak lagi,” kata Dato’ Zahari Ibrahim, Pengarah Projek Nasional Projek IC-CFS. “Kami percaya bahawa proses mengenalpasti ini adalah penting dalam memastikan kejayaan skim PES di peringkat tempatan. Kaedah pengurusan sumber hutan begini mampu mengekang kemusnahan ekosistem dan biodiversiti kita yang sukar untuk dipulihkan,” tambahnya.

Pelaksanaan skim PES juga memberi nilai tambah khusus bagi komuniti setempat. Penglibatan dan penyertaan mereka dalam ekosistem hutan telah menghasilkan peluang ekonomi khususnya dalam bidang ekopelancongan, seterusnya menyerlahkan potensi ekosistem hutan sebagai aset strategik jangka masa panjang bagi negeri dan negara. Memandangkan potensinya yang amat besar, kerajaan telah memperuntukkan RM15 Juta bagi tujuan ini dalam Bajet 2022, di bawah Program Pemerkasaan Ekopelancongan Sumber Asli untuk tujuan pembangunan masyarakat setempat. Rentetan daripada seminar ini, JPSM akan mengadakan lawatan tentang kaedah pembangunan dan pelaksanaan pakej ekopelancongan sedia ada di Taman Negara, Kuala Tahan, Pahang untuk disesuaikan dengan pelaksanaan PES pada masa hadapan.

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) akan membentangkan kajian kes mengenai Mekanisme Pembiayaan Lestari bagi Pengurusan Hutan yang Lestari dan kajian kes Air Terjun Ulu Tampit, Janda Baik, Pahang dibentangkan oleh FRIM. Hasil kajian ekstensif oleh beberapa agensi akan digunakan dalam memacu pendapatan alternatif terutamanya bagi stesen janakuasa hidro yang diuruskan oleh pekebun kecil di kawasan hutan.

Pelaksanaan Pembayaran Perkhidmatan Ekosistem memerlukan sinergi yang baik antara pengeluar tenaga hidro dan pihak berkuasa negeri; dengan perkongsian hasil kewangan dengan Jabatan Perhutanan berkaitan demi melaksanakan dan mengekalkan Pelan Induk Central Forest Spine (CFS-MP).

© 2023 BlackButterfly DesignArts