Cungkil Bakat Sains Anak Anda dengan Mencuba Lima Eksperimen ini di Rumah

Si cilik dilahirkan sebagai seorang saintis. Sama ada mereka bermain dengan pasu kaca kegemaran anda, memetik kelopak bunga, atau membuang makanan di atas lantai, ini menunjukkan bahawa mereka sentiasa berusaha untuk meneroka dan bereksperimen dengan sesuatu.

Dengan lonjakan penularan wabak COVID-19 serta kesannya terhadap pendidikan, pertumbuhan, dan pembangunan sosial kanak-kanak, wabak ini telah meletakkan beban yang besar di atas bahu para keluarga yang masih mempunyai anak-anak kecil. Justeru, ibu bapa kelelahan memikirkan jadual dan aktiviti yang sesuai sewaktu dengan pandemik ini bagi memastikan anak-anak mereka kekal terhibur.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin terasa seperti tiada penghujungnya; tetapi sebelum anda berputus semangat, cuba lima (5) eksperimen sains ini sebagai hiburan dan pendidikan bagi seisi keluarga. Dengan mematuhi arahan yang diberikan secara teliti, anda boleh merangsang minda anak-anak anda menggunakan prinsip saintifik melalui pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan ini. Pastikan anda menguji setiap eksperimen ini terlebih dahulu sebelum melakukannya bersama anak anda kerana aktiviti-aktiviti berikut memerlukan pengawasan ibu bapa.

Saksikan fenomena air berjalan

{“uid”:”BC6D77FB-3074-4D2B-83D6-4B849786CA16_1614059187668″,”source”:”other”,”origin”:”gallery”,”total_draw_actions”:13}

Cabaran untuk anda: Pindahkan air dari satu gelas ke gelas yang lain, tanpa menyentuh gelas tersebut.

Bahan yang diperlukan: Lima gelas lut sinar, air, dua atau tiga pewarna makanan yang berlainan warna, sebatang sudu, dan empat atau lima helai tuala kertas.

Untuk melakukannya:

  1. Susun kelima-lima gelas tersebut dalam satu baris, selangkan gelas berisi air yang berwarna dengan gelas kosong. Gunakan sudu untuk menyebatikan pewarna makanan dalam setiap gelas yang berisi air.
  2. Lipat sehelai tuala kertas dengan lebar berukuran satu inci ke dalam bentuk ‘V’. Ulang langkah ini untuk mendapatkan empat helai tuala kertas dalam bentuk yang sama.
  3. Cipta sebuah ‘jambatan’ yang menghubungkan gelas-gelas tersebut dengan memasukkan tuala kertas berkenaan ke dalamnya. Pastikan tuala kertas tersebut cukup panjang untuk direndam dalam gelas berisi air tadi.

Ekoran tindak balas kapilari, anda akan mendapati air berkenaan telah “berjalan” ke dalam gelas yang kosong selepas dibiarkan semalaman, lantas menghasilkan sebatian warna yang baharu. Anak anda pasti terpesona melihat hasil eksperimen ini pada keesokan harinya.

Maklumat lanjut mengenai eksperimen ini boleh didapati di laman web 3M Science at Home.

Cipta lampu lava anda sendiri

Cungkil Bakat Sains Anak Anda dengan Mencuba Lima Eksperimen ini di Rumah
Lava Lamp

Air dan minyak tidak boleh bercampur kerana ciri ketumpatannya yang berbeza.

Bahan yang diperlukan: Satu gelas atau balang lut sinar, air, minyak sayuran atau minyak mineral, pewarna makanan, tablet natrium bikarbonat, dan lampu suluh.

Untuk mencipta lampu lava anda sendiri:

  1. Isi gelas dengan air sehingga memenuhi 1/4 daripada kapasitinya, kemudian titiskan pewarna makanan pilihan anda sebelum memenuhi kapasiti gelas yang berbaki dengan minyak (jangan sampai melimpah).
  2. Pecahkan tablet natrium bikarbonat untuk membentuk empat kepingan yang sama saiznya, lalu masukkan salah satu kepingan tersebut ke dalam gelas tadi.
  3. Letakkan gelas tersebut di atas lampu suluh dan masukkan satu lagi kepingan tablet natrium bikarbonat ke dalamnya.

Tablet natrium bikarbonat bertindak balas dengan air dan bukannya dengan minyak, lantas menghasilkan buih karbon dioksida yang mencetus reaksi seumpama lava. Anak-anak anda pasti tidak lekang mengaduk dan menggoncang gelas tersebut untuk melihat fenomena ini!

Maklumat lanjut mengenai eksperimen ini boleh didapati di laman web 3M Science at Home.

Berseronok dengan ular buih berwarna-warni

Cungkil Bakat Sains Anak Anda dengan Mencuba Lima Eksperimen ini di Rumah
Rainbow Bubble Snake

Tinggalkan kesibukan rumah anda buat seketika dan nikmati aktiviti bersama anak-anak anda di luar.

Bahan yang diperlukan: Satu botol plastik kecil, kain lap atau tuala nipis, gelang getah, pewarna makanan, air, sabun pencuci pinggan, satu mangkuk kecil, dan sebilah gunting.

Menerusi gas dalam nafas anda, hasilkan ular berwarna-warni yang diperbuat daripada buih:

  1. Dapatkan botol plastik yang bersih dan kosong.
  2. Potong bahagian dasar botol berkenaan dan gunakan getah untuk mengikat kain lap atau tuala nipis pada rongga di dasar botol itu.
  3. Sekarang anda boleh meneroka kreativiti anda: Titiskan pewarna makanan menggunakan warna-warna yang berlainan, dan buat corak pada tuala berkenaan sebelum mencelupnya di dalam mangkuk yang berisi sabun pencuci pinggan dan air.

Tarik nafas dalam dan hembus dengan kuat ke dalam mulut botol berkenaan untuk menghasilkan ular buih panjang yang berwarna-warni. Anak-anak anda dijamin terhibur dengan eksperimen ini.

Maklumat lanjut mengenai eksperimen ini boleh didapati di laman web 3M Science at Home.

Fahami bagaimana paru-paru berfungsi

Cungkil Bakat Sains Anak Anda dengan Mencuba Lima Eksperimen ini di Rumah
Model Lungs

Nafas kita merupakan komponen yang penting bagi eksperimen buih ular tadi, namun tahukah anda bahawa manusia bernafas kira-kira 10 kali setiap satu minit?

Kita tahu bahawa tubuh kita memperoleh oksigen dengan menyedut udara segar, dan menghembus keluar karbon dioksida. Namun apakah sebenarnya yang berlaku di dalam tubuh kita?

Bahan yang diperlukan: Satu botol minuman lut sinar, dua helai belon, dan sebilah gunting.

Untuk menggambarkan bagaimana paru-paru kita berfungsi ketika bernafas, cipta replika organ paru-paru dengan langkah mudah ini:

  1. Potong bahagian dasar botol dan berdirikan botol berkenaan menggunakan bahagian yang dipotong sebagai tapaknya, kemudian masukkan sehelai belon ke dalam mulut botol tersebut.
  2. Setelah dimasukkan, sarungkan muncung belon tersebut pada mulut botol itu tadi.
  3. Kemudian, terbalikkan botol tersebut dan berdirikannya dengan menggunakan mulutnya sebagai tapak.
  4. Ikat belon kedua anda dan potong 1/3 daripada belon tersebut untuk membuat diafragma.
  5. Sarungkan belon tersebut pada rongga di dasar botol yang telah dipotong tadi.

Tarik ikatan belon tersebut ke bawah dengan perlahan untuk melihat bagaimana belon dalam botol itu mengembang. Sekarang, perhatikan apa yang berlaku apabila anda menolak ikatan tersebut ke dalam dengan perlahan.

Maklumat lanjut mengenai eksperimen ini boleh didapati di laman web 3M Science at Home.

Ingin bermain gitar yang diperbuat daripada getah?

Cungkil Bakat Sains Anak Anda dengan Mencuba Lima Eksperimen ini di Rumah
Rubber Band Guitar

Tahukah anda bahawa muzik juga merupakan suatu bentuk sains?

Untuk mendorong kanak-kanak mengasah kemahiran pemerhatian dan penyelesaian masalah mereka, terokai bunyi-bunyi sains dengan mencipta gitar anda sendiri. 

Bahan yang diperlukan: Empat gelang getah dengan ketebalan yang berbeza-beza, tisu kotak kosong, dua batang aiskrim, tiub tisu kertas, gam, pita pelekat yang kuat, dan sebilah gunting.

Terokai bagaimana frekuensi mampu mengubah nada bunyi yang kita dengar:

  1. Keluarkan plastik yang terkandung dalam kotak tisu tersebut untuk membolehkan gelombang bunyi bergerak dalam ruang yang lebih besar.
  2. Potong salah satu hujung tiub tisu untuk membentuk keratan-keratan yang bersaiz seinci lebarnya sebelum melekatkan ia pada sisi kotak tisu tersebut menggunakan pita pelekat.
  3. Tampal dua batang aiskrim atau batang kraf secara serenjang menggunakan gam di atas lubang kotak tisu tersebut.
  4. Untuk membuat tali gitar, ambil empat gelang getah dengan saiz ketebalan yang berbeza-beza dan sarungkannya pada kotak tisu tersebut.

Petik gelang getah itu dan perhatikan bunyi yang dihasilkan oleh getah tersebut. Maka terciptalah gitar rekaan anda sendiri!

Maklumat lanjut mengenai eksperimen ini boleh didapati di laman web 3M Science at Home. Terdapat banyak lagi eksperimen ringkas yang boleh dilakukan oleh anda sekeluarga di rumah. Kunjungi Science at Home untuk melihat pelbagai kegiatan yang diusahakan oleh para saintis 3M. Semoga ia dapat memberi anda serta anak-anak anda inspirasi untuk menerokai keajaiban sains.

© 2023 BlackButterfly DesignArts