Coca-Cola Meneruskan Kontrak Penjualan di Pawagam Golden Screen Cinemas

Kerjasama ini bakal menawarkan pelbagai jenis minuman kepada pengunjung pawagam

Kuala Lumpur, 31 Mac 2023 — Coca-Cola Malaysia telah memperbaharui kerjasamanya dengan rangkaian pawagam terkemuka, Golden Screen Cinemas (GSC) dengan termeterainya perjanjian konsesi lanjutan, sekaligus mengukuhkan lagi hubungan perniagaan strategik yang terjalin sejak tiga dekad.

Memorandum persefahaman itu telah ditandatangani hari ini oleh Encik Louis Balat Joseph, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan Pembotolan untuk Singapura, Malaysia, dan Brunei serta Puan Koh Mei Lee, Ketua Pegawai Eksekutif Golden Screen Cinemas dalam satu majlis yang dilangsungkan di Aurum Theatre.

“Kami amat berbangga dapat meneruskan kerjasama strategik kami dengan GSC dan berkongsi ‘keajaiban’ bersama pengunjung pawagam melalui rangkaian minuman kami yang menyegarkan, selaras dengan falsafah ‘Real Magic’ kami. Kerjasama ini juga melambangkan kepercayaan dan komitmen kukuh di antara Coca-Cola dan GSC,” kata Louis Balat Joseph, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan Pembotolan untuk Singapura, Malaysia dan Brunei.

Para peminat filem boleh menikmati bukan sahaja Coke yang sejuk, malah juga jenama popular lain dalam portfolio Coca-Cola seperti Sprite, Fanta, A&W, Ayataka, rangkaian Heaven & Earth dan minuman buah-buahan yang menyegarkan; Minute Maid Pulpy Orange. Para peminat filem juga boleh memilih produk yang disediakan mengikut pesanan, seperti set kombo di kaunter atau set e-kombo pra-beli melalui Laman Web GSC atau Aplikasi Mudah Alih GSC.    

“Dengan adanya kerjasama erat yang menjangkau lebih 3 dekad, kerjasama kami yang diperbaharui dengan Coca-Cola Malaysia menandakan satu pencapaian yang penting dalam sebahagian daripada strategi pertumbuhan kami. Sejajar dengan matlamat kami untuk mencipta pengalaman sinematik yang menarik, kami sentiasa berusaha untuk berinovasi dalam penawaran kami untuk memberikan akses dan nilai yang lebih besar kepada para penonton filem, kini dengan rangkaian produk, promosi dan tawaran eksklusif yang lebih luas yang dibawakan kepada kita semua oleh Coca-Cola Malaysia yang mana boleh dinikmati di seluruh pawagam kami,” kata Puan Koh Mei Lee, Ketua Pegawai Eksekutif Golden Screen Cinemas.

Coca-Cola dan GSC mengalu-alukan para pelanggan menyertai kempen terbaru sempena meraikan kerjasama strategik kedua-dua pihak di mana hadiah istimewa edisi terhad berupa  sebuah skuter Vespa Coca-Cola yang unik dan elegan bakal menanti pemenang. Untuk menyertai peraduan ini, anda hanya perlu membelanjakan lebih daripada RM50 dalam satu transaksi untuk tiket wayang dan kombo Coca-Cola di pawagam GSC dalam tempoh promosi di antara bulan April hingga Mei. Peminat motosikal dan skuter Vespa juga boleh melihat secara dekat motosikal kegemaran mereka yang bakal dipamerkan di lokasi-lokasi GSC terpilih. Untuk maklumat lanjut, sila ikuti laman media sosial GSC. Sebagai tanda penghargaan kepada kerjasama jangka panjang antara kedua-dua jenama ikonik tersebut, dan bagi meraikan musim perayaan Aidilfitri, GSC bakal menganjurkan sebuah pameran wayang kulit yang menarik di Aurum Theatre, The Gardens Mall dari 31 Mac – 8 Mei. Dizahirkan oleh artis visual kontemporari tempatan dan pengasas bersama Fusion Wayang Kulit, Tintoy Chuo, pameran itu menggambarkan kisah dan evolusi perkongsian antara kedua-dua jenama tersebut, dengan sentuhan moden dalam tradisi yang diceritakan melalui seni wayang kulit.

© 2023 BlackButterfly DesignArts