CMCF Melantik Mediha Mahmood Sebagai Pengarah Eksekutif

Rancangan 2021 termasuk memperkasakan CMCF sebagai pemangkin utama kawalan kendiri kandungan

Kuala Lumpur, 1 Mac 2021 – Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) telah melantik Mediha Mahmood sebagai Pengarah Eksekutif, berkuatkuasa mulai 1 Februari 2021. Beliau telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan halatuju strategik badan pengawalseliaan kendiri bebas tersebut, yang ditubuhkan dalam tahun 2001 menerusi Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM ‘98) dan beroperasi di bawah naungan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Pengerusi CMCF, Dato Khairul Anwar Salleh berkata, “Mediha akan memantau serta menyelia semua operasi, fungsi dan aktiviti CMCF yang bertujuan untuk menyebarkan misi dan ‘suara’ organisasi tersebut. Ini merangkumi usaha dalam menyokong isu-isu yang berkaitan dengan kawalan kendiri industri, termasuk cetak rompak digital, pengemaskinian Kod Kandungan dan meneruskan kerjasama strategik bersama semua pemegang taruh di samping mempertingkatkan peranan CMCF sebagai titik tumpuan dan pusat sehenti bagi pentadbiran kandungan.”

Mengulas dengan lebih lanjut tentang kawalan kendiri, Mediha memberikan contoh salah satu isu industri yang sering diperkatakan, iaitu berkenaan penapisan kandungan.

“Ramai di luar sana yang inginkan penapisan kandungan yang lebih ketat dan ramai juga yang tidak mahu sebarang penapisan ke atas kandungan. Peranan kami di CMCF adalah untuk mencari keseimbangan dalam kehendak masyarakat yang berbeza-beza dengan menjadi pemudahcara proses kawalan kendiri di kalangan pemain-pemain industri dan para pengguna,” jelas beliau.

“Peranan CMCF bukanlah untuk membantutkan kreativiti atau mengawal penggunaan kandungan. Kami ingin menggalakkan industri komunikasi dan multimedia untuk berkembang maju dengan selamat dan kami mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama dengan pencipta-pencipta kandungan, pengguna dan sesiapa sahaja untuk mencapai matlamat ini,” tambah beliau.

Mediha juga berkata bahawa dalam separuh pertama tahun 2021, CMCF akan menumpukan perhatian terhadap pengemaskinian Kod Kandungan bagi menangani permasalahan baru yang timbul di dalam industri serta isu-isu yang tidak ditangani dengan sepenuhnya dalam edisi-edisi sebelum ini.

Dalam hal ini, CMCF akan terus berbincang dengan semua pihak yang berkepentingan, termasuk Key Opinion Leaders (KOL) atau pempengaruh (influencer) dan juga pemasar-pemasar digital serta pengusaha-pengusaha e-dagang dengan tujuan untuk berkongsi nilai-nilai kawalan kendiri, serta fakta yang kurang diketahui ramai iaitu pematuhan kepada Kod Kandungan boleh bertindak sebagai pembelaan terhadap sebarang pendakwaan, tindakan atau prosiding, di dalam mahupun di luar mahkamah.

Sebagai seorang yang berkelayakan professional dalam bidang perundangan dan kawal selia, Mediha mempunyai pengalaman selama 17 tahun di firma-firma guaman ternama dan syarikat-syarikat tersenarai awam. Beliau turut mempunyai kepakaran dalam bidang kawalan selia, polisi dan pengurusan pemegang taruh; dan telah mempamerkan kemampuan untuk bekerjasama dengan rakan-rakan strategik bagi manfaat bersama. 

Sebelum menerima jawatan di CMCF, Mediha merupakan Ketua Perundangan di AirAsia Digital, di mana beliau mengendalikan portfolio perundangan bagi hal ehwal digital syarikat tersebut.

Mediha berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau mengamalkan bidang perundangan untuk beberapa tahun sebelum beralih ke dunia korporat, termasuk memegang peranan kawal selia dan perundangan di Astro selama 11 tahun. Dalam tempoh tersebut, beliau juga pernah berkhidmat sebagai ahli majlis di Forum Pengguna Komunikasi & Multimedia Malaysia (CFM) dan juga CMCF di mana beliau mengetuai Jawatankuasa Perundangan organisasi tersebut. Sebagai seorang bekas pendebat antarabangsa, Mediha adalah seorang penceramah awam yang berpengalaman dan pelatih bertauliah. Beliau telah mengendalikan lebih daripada 100 latihan yang melibatkan para pengamal industri dan orang awam. Beliau juga adalah seorang perunding bebas dalam perihal industri termasuk yang berkaitan dengan piawaian kawal selia, perundangan dan peraturan-peraturan kandungan di Malaysia.

© 2023 BlackButterfly DesignArts