CEO Trip.com Group tangani isu pelancongan rasak demi mencapai matlamat perjalanan lestari di Forum Ekonomi Dunia

CEO berkongsi pendekatan berbilang penjuru untuk cabaran pelancongan berlebihan dengan mengutamakan strategi amalan perjalanan lestari

Memberikan tumpuan kepada pelancongan berkualiti boleh mengalihkan pelancong dari tempat tumpuan ramai untuk membina rangka kerja pelancongan yang lebih lestari

Pemasaran e-dagang dan media sosial menjadi cara inovatif untuk menggalakkan pelancongan ke destinasi di luar kelaziman

Kuala Lumpur, 24 Januari 2024 – Trip.com Group, penyedia perkhidmatan perjalanan dan pelancongan global, telah menetapkan sasaran untuk menangani cabaran utama yang membelenggu industri pelancongan. Kesungguhan ini dilihat daripada penyertaan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cik Jane Sun dalam perbincangan panel bertajuk “Sorry, We’re Full: Tackling Overtourism” dalam Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland. Forum tersebut menjemput tokoh-tokoh berpengaruh daripada golongan elit politik kepada pemimpin perniagaan untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh dunia kita. Perbincangan ini dibuat dengan harapan untuk mencapai kata sepakat dan penyelesaian bersepadu yang sejajar dengan tema tahun ini “Rebuilding Trust” (Membina Semula Kepercayaan).

WEF Davos diadakan dalam dunia yang sedang mencari jalan untuk membentuk normal baharu menerusi perjalanan lestari dalam era pascapandemik. Lebih daripada 75% responden dalam laporan kelestarian Trip.com Group bersetuju bahawa perjalanan lestari amat penting. Namun, industri ini menghadapi halangan untuk melaksanakan perjalanan lestari terutamanya dengan peningkatan bilangan pengunjung yang menghampiri angka sebelum pandemik. Kesannya ialah destinasi-destinasi terpaksa menghadapi pelbagai cabaran, seperti memulihara tapak warisan, menangani isu pencemaran dan melindungi ekosistem masing-masing.

CEO Trip.com Group tangani isu pelancongan rasak demi mencapai matlamat perjalanan lestari di Forum Ekonomi Dunia

CEO Trip.com Group berbicara tentang isu pelancongan rasak di Forum Ekonomi Dunia, Davos, Switzerland. Sumber: Forum Ekonomi Dunia

Di forum tersebut, Cik Sun berkongsi pandangan tentang cabaran pelancongan rasak (overtourism) demi manfaat pelbagai pihak berkepentingan di seluruh industri. Cik Sun berkongsi pentas dengan panel tetamu terkemuka, termasuk Cik Sithembile Ntombela, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Brand South Africa; En Stephen Cotton, Ketua Setiausaha Persekutuan Pekerja Pengangkutan Antarabangsa (ITF); dan En. Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Berhad (AirAsia). Pemudah cara forum ialah Richard Quest, pengacara dan pemberita bagi CNN International.

CEO Trip.com Group tangani isu pelancongan rasak demi mencapai matlamat perjalanan lestari di Forum Ekonomi Dunia

Dari kiri ke kanan: En Richard Quest, pembaca berita dan wartawan CNN International; Cik Jane Sun, CEO Trip.com Group; Cik Sithembile Ntombela, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Brand South Africa; En Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Berhad (AirAsia); dan En Stephen Cotton, Ketua Setiausaha Persekutuan Pekerja Pengangkutan Antarabangsa (ITF). Sumber: Forum Ekonomi Dunia

Cik Sun juga bertemu para pegawai kerajaan dari pelbagai negara bagi mengukuhkan lagi momentum kejayaan yang dicapai daripada pertumbuhan perjalanan serantau.

Usaha menangani isu pelancongan rasak hanya dapat dilakukan dengan berkesan jika amalan kelestarian diterapkan di seluruh industri perjalanan dan pelancongan. Trip.com Group menangani cabaran tersebut menerusi pendekatan berbilang penjuru. Langkah ini bermula dengan inisiatif untuk menggalakkan amalan perjalanan dan pelancongan lestari, menambah baik infrastruktur serta mengatasi kesan alam sekitar dan sosial.

“Kita perlu menggunakan pendekatan yang seimbang untuk menyelesaikan isu pelancongan rasak. Destinasi pelancongan mungkin terlalu sesak tanpa pengurusan yang sewajarnya dan seterusnya menjejaskan pengalaman semua pihak secara keseluruhan. Sesungguhnya kita perlu mencari jalan menjana pertumbuhan penawaran dan permintaan yang mampan,” kata Cik Sun.

Membuat pelaburan dalam pelancongan yang berkualiti tinggi adalah satu pendekatan yang berdaya maju untuk menarik pengunjung ke destinasi yang kurang dilawati. Beberapa pasaran utama seperti Thailand dan Malaysia, telah menerima pakai idea untuk menarik pelancong “bernilai tinggi” bagi mengalihkan tumpuan daripada titik tumpuan hangat. Pada masa yang sama, rantau lain berhasrat mempelbagaikan kemasukan pelancong dengan menawarkan pelbagai bentuk pelancongan khusus ke tempat-tempat yang kurang dikunjungi. Langkah ini akan mengurangkan kesan pelancongan rasak dan berpotensi menjana manfaat ekonomi dengan destinasi seperti Dubai berjaya meluaskan industri pelancongan untuk mencapai nilai yang dianggarkan melebihi USD 108 bilion.

Bagi mengurangkan tekanan terhadap destinasi popular, satu lagi strategi ialah melibatkan promosi destinasi yang kurang terkenal, yang digelar long tail tourism. Kemajuan dalam teknologi dan rangkaian sosial telah menjadikan pendekatan pemasaran yang memberikan tumpuan terhadap tempat-tempat kurang dikenali lebih berkesan. Sebagai contoh, Trip.com Group mengguna pakai strategi pemasaran kandungan, termasuk memanfaatkan kempen e-dagang dan platform pelancongan sosial, Trip Moments untuk memaparkan tempat-tempat yang kurang dikunjungi. Daegu – destinasi yang tidak begitu terkenal di Korea – telah diketengahkan dalam kempen digital yang berjaya mendapat 29 juta tontonan yang seterusnyamenghasilkan pertambahan jualan produk sebanyak 87% berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Selain daripada mempromosi destinasi kurang terkenal, tumpuan terhadap tempoh luar puncak atau musim dengan bilangan pelancong yang kurang juga boleh membantu menyelesaikan masalah pelancongan rasa semasa tempoh perjalanan puncak. Untuk memastikan matlamat ini dapat dicapai, Trip.com Group menyediakan pilihan tempahan awal dan fleksibel agar pelanggan mendapat kebebasan bagi menyesuaikan rancangan perjalanan mereka sekiranya perlu.

Trip.com Group juga sedia untuk berganding bahu dengan rakan kerjasama dan pihak berkepentingan industri untuk mencari penyelesaian yang mampan dalam jangka panjang.

“Cabaran rumit pelancongan rasak ini memerlukan lebih daripada penyelesaian pantas kerana masalah ini tidak akan diselesaikan serta-merta. Walau bagaimanapun, menerusi dedikasi yang tidak berbelah bahagi daripada pelbagai pihak berkepentingan, kami percaya setiap tindakan amat bermakna dalam usaha membentuk masa depan yang menggabungkan perjalanan serasi dengan prinsip lestari. Usaha ini bukan satu matlamat semata-mata kerana kami mempunyai komitmen teguh untuk beralih pada kaedah perjalanan yang lebih bertanggungjawab,” ujar Cik Sun.

© 2024 BlackButterfly DesignArts