CEKD Berhad Meterai Perjanjian Taja Jamin IPO Dengan M&A Securities

KUALA LUMPUR, 02 OGOS 2021 CEKD BERHAD (“CEKD” atau “Syarikat”), penyedia rumusan acuan pemotongan serta pengilang acuan pemotongan dan pedagang barangan pengguna, peralatan dan aksesori, telah memeterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd (“M&A Securities”). Perjanjian taja jamin ini adalah pendahulu kepada penawaran awam permulaan (“IPO”) Syarikat ini di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) yang akan berlangsung pada September 2021.

Sebagaimana dinyatakan di dalam prospektus di laman web Suruhanjaya Sekuriti, IPO CEKD terdiri daripada 50.59 juta saham terbitan awam yang mana 9.73 juta saham akan ditawarkan kepada rakyat Malaysia. Tambahan 9.73 juta saham lagi akan diperuntukkan kepada pengarah, kakitangan dan penyumbang kepada Syarikat yang layak; sebanyak 6.81 juta saham lagi dikhaskan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan 24.32 juta saham dikhaskan bagi penempatan persendirian untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Dibawah perjanjian ini, M&A Securities akan menaja jamin 19.46 juta jumlah keseluruhan cadangan terbitan saham diperuntukkan bagi rakyat Malaysia atau menerusi borang merah jambu. Baki 31.13 juta saham terbitan dikhaskan untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI dan pelabur terpilih tidak akan ditaja jamin dan akan diterbitkan oleh M&A Securities.

Pengarah Urusan CEKD Berhad, Cik Yap Kai Ning berkata, “Pemeteraian perjanjian taja jamin ini membawa kita lebih hampir dengan matlamat menyenarai awam CEKD menerusi IPO. Sebagai satu daripada peneraju penyediaan acuan pemotongan dibuat khusus di Malaysia, kami percaya ia akan amat bermanfaat bagi CEKD untuk mengukuhkan dan memantapkan kedudukannya di dalam industri daripada sudut operasi dan kewangan.”

Pengarah Urusan Kewangan Korporat M&A Securities, Datuk Bill Tan berkata, “Kami berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan CEKD ke arah penyenaraian awam di Pasaran ACE Bursa Securities. Kami mahu merakamkan penghargaan kami atas pelantikan kami sebagai Penasihat, Penaja, Penaja Jamin Tunggal dan Agen Penempatan IPO untuk CEKD. Syarikat ini telah mencapai banyak kejayaan sejak ia ditubuhkan, dan kami berbangga untuk menjadi sebahagian daripada mercu tanda penting di dalam sejarah syarikat. IPO ini menandakan pencapaian mengagumkan bagi Syarikat, dan kami doakan kejayaan dan yang terbaik untuk CEKD.” Pasaran prinsipal CEKD kebanyakannya di Malaysia yang menyumbang sebanyak 85.6% daripada keseluruhan perolehan pada tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2020. Pelanggan CEKD kebanyakannya daripada industri percetakan dan pembungkusan kertas, elektrik dan elektronik, automotif, pembungkusan plastik, tekstil dan kulit.

© 2023 BlackButterfly DesignArts