Bitsmedia Menyediakan Qalbox, Perkhidmatan Penstriman Global Baharu Yang Meraikan Kandungan Muslim

Qalbox adalah perkhidmatan video langganan mengikut permintaan (SVOD) global yang meraikan identiti dan budaya Muslim di seluruh dunia
Penonton boleh menikmati pelbagai kandungan pendidikan dan hiburan, termasuk tayangan filem, rancangan komedi, program perjalanan, dokumentari, dan bacaan Al-Quran serta doa.
Qalbox memperkasakan pencipta kandungan dan bakat kreatif di seluruh dunia untuk menyertai misi dalam meraikan budaya dengan menceritakan kisah sahih tentang Muslim

Kuala Lumpur, 4 Oktober 2022 – Bitsmedia, syarikat teknologi yang berpangkalan di Singapura yang merupakan badan yang bertanggungjawab di sebalik aplikasi mudah alih gaya hidup Muslim terkemuka di dunia, aplikasi Muslim Pro, telah melancarkan perkhidmatan video langganan mengikut permintaan (SVOD) penstriman baru, Qalbox.

Qalbox mempunyai pilihan kandungan yang luas dan menarik yang meraikan identiti dan budaya Muslim di seluruh dunia. Platform SVOD merangkumi kepelbagaian Islam dan menyediakan peluang bagi pencipta kandungan dan penggiat kreatif untuk berkongsi kisah-kisah Muslim yang sahih.

Dari dunia Barat ke Asia Tenggara, kandungan Qalbox mempunyai pelbagai gambaran dan nuansa umat Islam di seluruh dunia. Ia menawarkan kandungan yang boleh dinikmati oleh umat Islam tanpa mengira di mana mereka berada dalam tahap kerohanian mereka atau genre pilihan mereka. Penonton boleh menstrim pelbagai kandungan, termasuk dokumentari, program berskrip, dan filem, serta animasi kanak-kanak, dan juga bacaan Al-Quran serta doa.

Antara rancangan yang disajikan oleh Qalbox termasuklah sketsa komedi oleh Maz Jobrani: Pandemic Warrior (Highpoint Productions); siri televisyen Little Mosque on the Prairie (Westwind Releasing); dokumentari seperti Tehran Stories (Lucky You), Hidden Algeria (Espresso Media) dan A Goal for Freedom – Women’s Football in Kabul (Autentic Production); dan siri animasi kanak-kanak Ibn Battuta  (allrites), dan banyak lagi.

“Dengan Qalbox, kami gembira untuk mewujudkan platform di mana umat Islam dari semua lapisan masyarakat dapat mengalami rasa kekitaan dan diberi sebuah gambaran yang betul. Dengan membangunkan platform hiburan khusus Muslim, kami berhasrat untuk menyediakan kandungan dengan perspektif Muslim yang berbeza yang mempertimbangkan pelbagai nuansa budaya. Di samping itu, kami merancang aplikasi ini untuk menampung keperluan masyarakat Islam global yang semakin berkembang. Qalbox bukan sahaja menyediakan akses kepada kandungan tanpa iklan, ia juga mempunyai keupayaan penstriman berbilang, dan perkhidmatan 2-dalam-1 di mana pengguna dapat mengakses ciri-ciri aplikasi Muslim Pro yang menyediakan pengalaman mudah alih keseluruhan secara holistik untuk umat Islam,” kata Nik Emir Din, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Bitsmedia

“Qalbox bertujuan untuk menyediakan pelbagai pilihan genre yang luas, tersusun, dan pelbagai untuk komuniti Muslim global melalui platform penstriman yang pintar dan selamat. Kami berhasrat untuk menyediakan platform untuk pembuat filem dan pencipta kandungan berunsur Muslim untuk mengasah bakat mereka dan memberi umat Islam suara dalam ruang digital yang berkembang pesat.” Ketua Pegawai Eksekutif Bitsmedia, Fara Abdullah, juga turut menyatakan bahawa Qalbox oleh Bitsmedia diwujudkan bertujuan sebagai platform hiburan serta menyampaikan maklumat kepada pelanggan.

Dalam meraikan kandungan tempatan Asia Tenggara, Qalbox telah bekerjasama dengan pihak Astro dan Pixel Play untuk menyampaikan filem-filem Malaysia dan Indonesia seperti Kau Ada (2021), Aku Bunga (2020), Cinta Paling Agung (2015), Hijab (2015), Jilbab Traveller: Love Sparks di Korea (2016) dan banyak lagi dalam beberapa bulan akan datang. Walau bagaimanapun, tajuk kandungan daripada Astro tidak akan tersedia kepada pelanggan Qalbox dari Malaysia, Singapura dan Brunei.

 “Kami teruja untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan ini bersama-sama dengan Qalbox. Ini adalah peluang unik untuk mempunyai kandungan yang menampilkan suara Muslim dari Asia Tenggara dalam menjangkau khalayak global, ” kata Bront Palarae, Ketua Pegawai Eksekutif Pixel Play.

“Di Astro, kami sentiasa berusaha untuk meningkatkan kerja kami ke peringkat yang seterusnya. Kami teruja untuk bekerjasama dengan Qalbox dalam membawa kandungan Malaysia yang terbaik kepada komuniti dan khalayak Muslim di seluruh dunia. Kami yakin bahawa inisiatif ini bukan sahaja akan memberikan nilai hiburan kepada penonton tetapi juga memperkenalkan budaya tempatan kami kepada dunia.” Raja Jastina Raja Arshad, Naib Presiden, Perniagaan Nusantara Melayu dan Ketua Astro Shaw.

Perkhidmatan penstriman SVOD global baharu boleh didapati dalam aplikasi Muslim Pro, memberikan pengguna Muslim Pro dua perkhidmatan dalam satu aplikasi. Pengguna akan dapat menyemak imbas dan menikmati katalog kandungan Qalbox tanpa iklan melalui aplikasi web atau aplikasi Muslim Pro (tersedia di Apple App Store dan Google Play Store).

© 2023 BlackButterfly DesignArts