Bilangan Kemudahan Penginapan yang menerima Pengesahan dan Perakuan Kelestarian di Türkiye Melebihi 6000

KUALA LUMPUR, 11 OKTOBER 2023 – Türkiye sudah pun mempunyai hutan pain dan cedar yang subur menghijau, pantai berpasir halus, lautan jernih membiru, serta warisan budaya dan sejarah yang mengagumkan. Namun, menerusi penambahan Program Pelancongan Lestari Nasional (National Sustainable Tourism Programme), negara ini dinobatkan sebagai salah satu destinasi yang terpilih di dunia untuk menikmati percutian lestari. Mengetengahkan khazanah ekologi dan budaya, Türkiye sememangnya menyediakan pilihan penginapan tersendiri yang amat mematuhi prinsip kelestarian dan pelbagai peluang eko pelancongan. Sehingga 30 September, Türkiye mempunyai 6,156  kemudahan yang disahkan/diperakui tergolong dalam skop kelestarian, terutamanya di wilayah Antalya, İstanbul dan Muğla. Memandangkan bilangan kemudahan yang memperoleh perakuan kelestarian semakin bertambah, usaha keseluruhan dalam pelancongan Türkiye untuk mengurangkan jejak karbon dengan memanfaatkan struktur reka bentuk alam sekitar dan amalan lestari juga kian meningkat. Inisiatif di seluruh negara ini menyokong budaya dan ekonomi tempatan, pada masa yang sama menyediakan percutian yang bermakna dan menjadi kenangan buat para tetamu.

Türkiye merupakan ‘Negara Pertama di Dunia’ yang menandatangani Protokol bersama GSTC.

Untuk mencapai perubahan yang mampan dalam sektor pelancongan, Türkiye telah menandatangani perjanjian kerjasama untuk membangunkan program kebangsaan bersama Majlis Pelancongan Lestari Global (GSTC) yang membentuk dan menguruskan piawaian antarabangsa bagi pengembaraan dan pelancongan. Tambahan pula, Türkiye merupakan ‘negara pertama di dunia’ yang menandatangani perjanjian ini di peringkat negara. Seiring dengan rancangan tiga tahunnya untuk menstrukturkan semula industri pelancongan, Türkiye juga membangunkan Program Pelancongan Lestari Nasional. Menerusi Program berkenaan, Türkiye akan menggabungkan prinsip kelestarian dalam semua dasar pelancongan yang merangkumi destinasi, pengusaha syarikat pelancongan dan kemudahan penginapan. Matlamat utama Program Pelancongan Lestari tersebut adalah untuk memastikan kemudahan penginapan memperoleh Sijil Pelancongan Lestari yang terdiri daripada 42 kriteria yang diterima di peringkat antarabangsa. Sepanjang proses ini, kemudahan penginapan adalah tertakluk kepada penilaian bebas untuk pensijilan yang dilaksanakan setiap tahun.

Menerusi perancangan kelestarian yang berkesan, pengesahan/pensijilan juga membolehkan pengusaha kemudahan berkenaan menambah baik inisiatif kelestarian secara berterusan. Kesedaran yang kian meningkat ini juga menyaksikan bilangan kemudahan menerima pengesahan/perakuan kelestarian di Türkiye semakin berkembang. Berdasarkan Program Pelancongan Lestari Nasional Türkiye, semua kemudahan haruslah mempunyai “Sijil Pelancongan Lestari” menjelang 2030.

Hospitaliti Bertanggungjawab

Program Pelancongan Lestari Türkiye bermatlamat untuk memaksimumkan manfaat sosial dan ekonomi kepada masyarakat tempatan serta pada masa yang sama melindungi warisan budaya serta memulihara biodiversiti, ekosistem dan keindahan alam semula jadi. Di samping itu, Program tersebut bertujuan untuk mengurangkan pencemaran dan menjimatkan sumber bagi memastikan bidang pelancongan yang mesra alam sekitar dalam setiap aspek. Kemudahan penginapan yang memperoleh sijil kelestarian menerusi Program berkenaan menyediakan pengalaman penginapan lestari bertaraf dunia buat pengunjung serta turut membantu untuk melindungi alam sekitar. Kemudahan yang menyemarakkan pengalaman pengunjung melalui amalan mesra alam sekitar juga memberikan manfaat kepada masyarakat setempat; melaksana dan menjalankan prosedur sedemikian secara adil, bertanggungjawab, inklusif dan sensitif bagi menyokong dan menyumbang kepada pemeliharaan nilai-nilai unik dan budaya penduduk dan masyarakat tempatan.

Bilangan Kemudahan Penginapan yang menerima Pengesahan dan Perakuan Kelestarian di Türkiye Melebihi 6000

Naturally Turkiye – Canoe at a lake in Kırklareli İğneada Longoz Forest

Di Türkiye, penilaian kemudahan penginapan dikendalikan mengikut empat kategori utama: “Pengurusan Lestari”, “Impak Budaya”, “Impak Sosio-ekonomi”, dan “Impak Alam Sekitar”.  Langkah pertama yang dijalankan ke atas kemudahan berkenaan untuk mendapatkan sijil lestari adalah menunjukkan cara pengurusan lestari yang berkesan. Pelbagai langkah selanjutnya diperlukan untuk pengesahan/pensijilan termasuk membangunkan dasar kelestarian dan pelan tindakan, mencipta promosi yang tepat serta menyampaikan laporan prestasi kepada pihak berkepentingan. Selain itu, kemudahan penginapan perlu menganjurkan latihan yang berkaitan dengan kelestarian. Pada masa yang sama, kemudahan penginapan dinilai mengikut impak budaya dan sosioekonomi masing-masing. Kemudahan penginapan diharapkan dapat melindungi warisan budaya, memberi ruang kepada para tetamu untuk berinteraksi dengan budaya setempat, menyokong ekonomi serantau dan menyumbang kepada kemakmuran menerusi pelbagai amalan seperti menggalakkan pekerjaan tempatan, mempromosikan pembelian tempatan dan menyokong usahawan tempatan. Langkah berkenaan bertujuan untuk memaksimumkan manfaat alam sekitar di kemudahan tersebut sambil mengurangkan kesan yang buruk. Setiap kemudahan dijangka mampu memenuhi beberapa keperluan, seperti memberi keutamaan kepada pembekal tempatan dan perdagangan adil, meminimumkan penggunaan air dan tenaga, menguruskan sisi pepejal, melaksanakan amalan kitar semula serta melaksanakan langkah perlindungan biodiversiti dan landskap.

Untuk maklumat lanjut mengenai Program Pelancongan Lestari Nasional Türkiye: www.goturkiye.com 

© 2023 BlackButterfly DesignArts