Biasiswa Rhodes umum penerima biasiswa terbaru dari Malaysia

Kuala Lumpur, 30 Nov, 2023 – Yayasan Khazanah (YK) dengan sukacitanya mengumumkan Max Han Kai Ding sebagai penerima biasiswa dari Rhodes Scholarship untuk Malaysia, di mana dia akan menyertai penerima biasiswa Rhodes yang lain dari seluruh dunia pada bulan Oktober 2024 untuk melanjutkan pengajian mereka di peringkat pascasiswazah di Universiti Oxford, United Kingdom. Rhodes Scholarship untuk Malaysia adalah perkongsian antara Rhodes Trust dan Yayasan Khazanah.

Biasiswa Rhodes merupakan tajaan pengajian pascasiswazah yang terkemuka dan tertua di dunia, berpangkalan di Universiti Oxford sejak tahun 1903. Ditadbir oleh Rhodes Trust di Oxford, program ini menganugerahkan 100 biasiswa yang dibiayai sepenuhnya setiap tahun kepada pelajar dari mana-mana sahaja di dalam dunia dengan kecemerlangan akademik serta mempamerkan perwatakan yang luar biasa, kepimpinan, pencapaian dalam aktiviti kokurikulum dan komitmen untuk menyelesaikan isu-isu kemanusiaan.

Proses pemilihan yang ketat di Malaysia termasuk dua pusingan semakan sebelum temuduga akhir yang diadakan dengan jawatankuasa pemilihan antarabangsa. Yayasan Khazanah merupakan rakan kongsi utama dan strategik bagi Rhodes Trust di Malaysia. Kerjasama ini memberi peluang kepada seorang rakyat Malaysia setiap tahun untuk melanjutkan pengajian di Universiti Oxford.

Biasiswa Rhodes umum penerima biasiswa terbaru dari Malaysia
Max Han Kai Ding, Rhodes Scholar Elect untuk Malaysia bagi tahun 2024

Berasal dari Kuala Lumpur, Max kini sedang melanjutkan pelajaran Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam Pengajian Alam Sekitar di Kolej Yale-NUS, dengan tumpuan kepada keadilan alam sekitar. Komitmennya terhadap tindakan alam sekitar bermula seawal remaja, daripada mengajar kanak-kanak tentang perubahan iklim kepada menjadi sukarelawan bersama pakar pemuliharaan dan komuniti-komuniti pantai. Pada usia 19 tahun, Max menjadi pengasas bersama Youths United for Earth (YUFE), organisasi bukan untung akar umbi terkemuka di Malaysia yang menggerakkan belia untuk bertindak melalui penceritaan, kempen dan advokasi tempatan. YUFE kini menjadi tuan rumah program bimbingan alam sekitar tahunan terbesar di Malaysia dan secara rutin melibatkan agensi PBB, NGO dan pihak berkepentingan yang berpengaruh. Diiktiraf bagi kerja-kerjanya, Max pernah dianugerahkan dengan Anugerah Diana dan EE 30 Under 30 oleh Persatuan Pendidikan Alam Sekitar Amerika Utara.

Max juga telah bekerjasama dengan para pembela alam sekitar dan penggubal dasar untuk menyusun Kerangka Kerja Hak Asasi Manusia Alam Sekitar yang pertama di Asia Tenggara bersama Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN). Sebagai seseorang yang menetap di kawasan yang terkesan dengan perubahan iklim, Max percaya pada kekuatan tindakan tempatan dan penyahjajahan, dan bercita-cita untuk memperbesar suara dari rantau Selatan Global. Di Oxford, Max berkomitmen penuh untuk belajar, melupakan, dan mempelajari kembali bagaimana untuk mengintegrasikan perspektif komuniti yang terjejas dan suara dari akar umbi ke dalam penggubalan dasar. Dia membayangkan dunia yang adil dan boleh didiami, dan mengundang semua orang untuk bersama-sama menyertainya dalam mencari penyelesaian kepada krisis iklim.

“Hari ini, saya komited untuk memperjuangkan keadilan alam sekitar sebagai cara untuk saya memerangi ketidakadilan melalui tindakan yang produktif. Seperti kebanyakan rakyat Malaysia, saya dibesarkan dengan kesan pencemaran udara akibat jerebu dan pernah dimasukkan ke hospital kerana asma. Tahun demi tahun, saya mempunyai rakan dan keluarga yang terjejas akibat bencana banjir. Saya tidak mahu berasa tidak berdaya atau menormalkan krisis ini lagi. Saya enggan menerima satu lagi banjir yang menyebabkan ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal di Malaysia. Saya enggan menormalkan situasi di mana rakyat Malaysia perlu mengharungi air banjir untuk keluar mengundi seperti yang kita saksikan pada November lalu. Saya percaya pada kekuatan bekerja dengan komuniti tempatan, mendengar luahan mereka yang paling terjejas, dan menuntut perubahan sistemik sebagai sebuah kolektif – dan membentuk pembinaan negara ini adalah apa yang saya harap untuk lakukan dengan pendidikan saya di Oxford. Kami, sebagai rakyat biasa, boleh berkumpul dan mengimpikan penyelesaian kepada krisis iklim bersama-sama,” kata Max.

Di Oxford, Max berharap untuk meneruskan pengajian dalam dua ijazah sarjana, Sarjana Sains dalam Perubahan dan Pengurusan Alam Sekitar, dan Sarjana Dasar Awam. Selepas tamat pengajian, dia merancang untuk mengintegrasikan keadilan alam sekitar ke dalam dasar iklim atau menyumbang kepada pembinaan pergerakan dalam institusi yang sejajar dengan pendiriannya. Dalam jangka panjang, dia bercadang untuk pulang ke Malaysia dan menyumbang kepada pembinaan negara. Pada masa lapangnya, Max suka memasak laksa bersama neneknya, menonton filem bersama keluarganya dan mencari ketenangan dalam alam semula jadi melalui aktiviti pendakian.

Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan, Setiausaha Kebangsaan untuk Malaysia, Rhodes Trust berkata: “Jawatankuasa pemilihan kami sukar membuat pilihan dan mempunyai kumpulan calon yang sangat hebat untuk disenarai pendek bagi temu duga akhir. Para finalis yang ditemu bual oleh jawatankuasa pemilihan kebangsaan semuanya sangat cemerlang dan saya percaya kami telah memilih pelajar terbaik yang mencerminkan nilai-nilai Rhodes untuk membela dunia. Max mempunyai potensi untuk menjadi pemangkin kebaikan: seorang pelaksana perubahan muda, yang akan memberi inspirasi kepada penyelesaian bagi pelbagai cabaran yang dihadapi oleh masyarakat pasca-pandemik dan kami tidak sabar untuk melihat semua kerja baik yang akan dilakukannya di Oxford dan seterusnya.”

Intan Zalila Mohd Yusof, Ketua Pegawai Program, Yayasan Hasanah berkata: “Biasiswa Rhodes adalah untuk pemimpin muda yang berintelektual dan perwatakan cemerlang yang bermotivasi untuk menghadapi cabaran global dan komited untuk berkhidmat kepada orang lain. Mereka menunjukkan janji untuk menjadi pemimpin yang bernilai dan berprinsip untuk masa depan dunia, di mana sahaja kerjaya mereka mungkin membawa mereka, dan dalam apa jua bidang. Max Han terpilih sebagai Rhodes Trust Elect 2024 kami dari Malaysia kerana keazaman dan semangatnya yang kuat untuk mengatasi cabaran masyarakat di negara ini.”

Biasiswa Rhodes untuk Malaysia telah dilancarkan pada 2016, di mana Rhodes Trust dan Yayasan Khazanah memeterai perjanjian strategik. Sehingga kini, 10 rakyat Malaysia telah dianugerahkan Biasiswa Rhodes. Dengan matlamat untuk memupuk pemimpin yang berjiwa awam untuk masa depan, Biasiswa Rhodes sejajar dengan objektif Yayasan Khazanah untuk memainkan peranan penting dalam membangunkan bakat untuk negara.

© 2023 BlackButterfly DesignArts