Berkembang Bersama: Bintang Sellers Shopee perkasakan penjual tempatan di seluruh negara

21 penjual Shopee yang berjaya mempertingkatkan kemahiran penjual tempatan dengan Kelab Bintang Komuniti

Kuala Lumpur, 15 September 2022 – Pada tahun 2018, Mohamad Hassaidi telah memulakan perniagaan gelanggang futsal dan mengalami kerugian sebanyak RM160,000.

“Ia merupakan pengajaran terbesar dan termahal dalam hidup saya,” katanya, dengan menambah bahawa perkara paling penting ketika memulakan sesuatu perniagaan adalah memahami trend pasaran dan menjalankan proses pengesahan idea.

Bekas Jurutera Kanan tersebut mengambil keputusan untuk mengejar semula impiannya untuk menjadi seorang usahawanan apabila pandemik melanda Malaysia, dengan menyokong perniagaan sambilan isterinya dalam Fesyen Kanak-Kanak di Shopee pada bulan April 2020. Mereka mencapai jualan sebanyak lima angka dalam masa tiga bulan. Mereka juga berjaya mengembangkan gudang mereka daripada sebuah bilik kecil kepada dua lot kedai, yang dikendalikan oleh lima orang pekerja dalam tempoh kurang daripada 18 bulan.

Memahami cabaran pembelajaran dengan sendiri, kini Hassaidi ingin memberi kembali kepada komuniti dengan berkongsi tips atau petua yang dipelajarinya bersama penjual-penjual lain demi kejayaan bersama.

“Apabila saya mula-mula berjinak dengan Shopee, saya banyak belajar daripada webinar Shopee. Apabila terdapat sebarang perkara yang saya tidak pasti, saya bertanya soalan di Kumpulan Facebook ShopeeUni Malaysia.”

“Ia termasuk soalan seperti di mana untuk membeli kotak bungkusan atau meminta cadangan inovatif tentang cara menjadikan proses operasi lebih lancar. Para penjual dalam kumpulan tersebut tidak teragak-agak untuk berkongsi pengalaman mereka. Ramai penjual membantu saya apabila saya menghadapi cabaran, jadi kini giliran saya untuk memberi kembali kepada komuniti melalui perkongsian saya.”

Hassaidi kini merupakan penjual sepenuh masa dan sedang mengembangkan sasaran pasarannya kepada Fesyen Muslim. Beliau telah dipilih sebagai Bintang Seller pada tahun 2021 ekoran kemurahan hatinya dalam membimbing orang lain serta menyampaikan ilmu pengetahuan yang berharga kepada penjual melalui Kumpulan Facebook ShopeeUni Malaysia.

Seorang lagi penjual yang berasa teruja untuk memberi kembali kepada masyarakat ialah Mickey Li Hua Hia, seorang pengurus e-dagang bagi sebuah syarikat pengedaran yang menjual gajet dan produk teknologi. Beliau juga merupakan seorang Bintang Seller dan mempercayai bahawa maklumat daripada pelanggan di platform adalah kunci kejayaan buat penjual.

“Cerapan data adalah penting untuk mengenal pasti produk yang wajar diiklankan demi meningkatkan keterlihatan di platform, sambil mengoptimumkan pulangan bagi setiap Ringgit yang dilabur dalam pengiklanan.”

“Saya membantu meningkatkan pendapatan dalam talian syarikat saya daripada RM500 kepada RM50,000 dalam tempoh enam bulan selepas mempelajari cara-cara berbeza untuk mengoptimumkan penglibatan (engagement) kedai bersama pelanggan, serta meningkatkan trafik kedai dengan ciri-ciri di platform bagi memaksimumkan jualan.”

Hassaidi, Mickey dan 19 penjual lain bergabung tenaga bersama Shopee di bawah Kelab Bintang Komuniti demi memperkasakan penjual di seluruh negara untuk berjaya di platform tersebut.

Kelab Bintang Komuniti merupakan inisiatif tambahan yang ditubuhkan bagi menyokong penjual di seluruh negara menerusi perkongsian tips dan sesi networking. Sejak bulan Mei 2022, Kelab Bintang Komuniti telah berjaya mengadakan sesi di Kuala Lumpur, Kota Bharu, Kuantan dan George Town, dan akan diteruskan setiap dua bulan di pelbagai bandar di seluruh Malaysia.

Pelbagai aktiviti fizikal dijalankan, seperti perjumpaan komuniti, kumpulan fokus dan kelas luar talian yang dikendalikan oleh penjual Bintang bagi memberi panduan lanjut kepada para penjual, agar mereka memperoleh kemahiran yang lebih tinggi demi meningkatkan jualan mereka.

Mengenai inisiatif tersebut, Hassaidi berkata, “Kelas luar talian lebih berkesan, terutama bagi mereka yang tidak biasa dengan pembelajaran secara maya. Para penjual mempunyai lebih banyak masa untuk bertanya soalan apabila mereka memerlukan penjelasan semasa dalam kelas. Bintang Sellers juga dapat memberikan demonstrasi praktikal tentang cara menyediakan alat pemasaran yang spesifik jika perlu.”

Hassaidi menumpukan pada sesi yang disampaikan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Mickey pula membantu dalam sesi latihan Bahasa Cina bagi penjual yang memerlukannya. Kedua-dua mereka juga berkongsi bahawa selain didorong oleh semangat untuk memberi kembali kepada komuniti, mereka mendapat manfaat dengan mempelajari lebih lanjut mengenai e-dagang menerusi penyampaian ilmu.

Wakil Shopee daripada jabatan masing-masing turut hadir dalam sesi kumpulan fokus untuk memahami kesukaran atau pain points yang dihadapi oleh penjual, di samping menambah baik pengalaman jualan mereka di platform tersebut.

Penjual baharu yang berminat untuk meningkatkan jualan mereka boleh mengetahui lebih lanjut berkenaan Kelab Bintang Komuniti Shopee dengan menyertai Kumpulan Facebook ShopeeUni: https://www.facebook.com/groups/shopeeuniversity.

© 2023 BlackButterfly DesignArts