Berapa Banyak Tabir Suria Yang Cukup Untuk Anda? Panduan Lengkap Kepada SPF, UVA, dan UVB

Berapa Banyak Tabir Suria Yang Cukup Untuk Anda? 
Panduan Lengkap Kepada SPF, UVA, dan UVB

Laura Chacon-Garbato
Pengarah, Latihan dan Pendidikan Produk Pemakanan Sedunia, Herbalife

Kita sering mendengar tentang betapa pentingnya menggunakan tabir suria dan juga selalu dinasihatkan untuk melindungi diri kita daripada sinar matahari agar tidak mengalami selaran suria, kesan penuaan awal dan malah risiko menghidap penyakit kulit.

Tetapi berapa banyak dan berapa kerap tabir suria yang harus kita gunakan? Panduan in akan membantu anda memahami ciri-ciri asas tentang SPF dan radiasi UV, dan kami juga akan membincangkan persoalan umum lain serta mitos yang dikaitkan dengan perlindungan kulit daripada sinar matahari.

Apakah maksud sebenar SPF, UVA, dan UVB?

Produk SPF boleh didapati dalam pelbagai bentuk, daripada barang kosmetik kepada pakaian. Tidak kira cuaca atau musim, apabila anda berada di luar, kita seharusnya prihatin tentang kesan UVA dan UVB yang boleh membawa mudarat. Kita sering melihat singkatan-singkatan tersebut, tetapi apakah maksud sebenarnya?

Berikut adalah pentakrifan ringkasnya:

  • SPF bermaksud Sun Protection Factor atau Faktor Perlindungan Matahari.
  • UVA bermaksud Ultra-Violet A atau Ultra-Ungu A (gelombang panjang).
  • UVB bermaksud Ultra-Violet A atau Ultra-Violet B (gelombang pendek).

Faktor perlindungan matahari (SPF) yang didapati dalam produk tabir suria memberikan anggaran berapa lama kita boleh berada di bawah panas matahari sebelum kulit mula bertukar kemerahan.

UVA dan UVB adalah dua jenis sinaran atau radiasi berbeza yang boleh merosakkan kulit anda.  UVA ialah sinar yang menyebabkan penuaan kepada kulit manakala UVB pula ialah sinar yang menyebabkan selaran matahari.

Sinar UVA menyebabkan penuaan kulit.

Sinar UVA mengakibatkan penuaan dan kedutan kulit dan boleh juga menyebabkan penyakit kulit. Oleh kerana sinar UVA boleh melepasi lapisan ozon, sebahagian besar kulit kita terdedah kepada sinar ini. Sinar UVA boleh menembusi awan, kaca dan juga pakaian. Anda mungkin tidak perasan, tetapi sinar UVA akan menjejaskan kulit anda.

Sinaran UVB menyebabkan selaran suria.

Sinaran UVB mengakibatkan selaran matahari dan katarak, dan boleh menjejaskan sistem imun. Lebih malang, sinaran UVB boleh mengakibatkan penyakit kulit.

SPF hanya memberikan perlindungan kepada sinar UVB dan tidak melindungi kita daripada sinar UVA. Maka itu, apabila membeli produk tabir suria, sentiasa cari jenis yang memaparkan “perlindungan spektrum luas” pada label untuk memastikan anda terlindung daripada kedua-dua sinar UVA dan UVB.

Apakah Nilai SPF Yang Patut Anda Gunakan?

Produk SPF boleh didapati dalam pelbagai nilai perlindungan termasuk SPF 15, SPF 30, SPF 50 dan banyak lagi. Beginilah cara produk berfungsi: katakan kulit anda mula menjadi merah selepas hanya 10 minit. Anda boleh mengambil angka sepuluh dan mendarabkannya dengan nombor SPF yang anda gunakan.

Sebagai contoh, jika anda menggunakan produk SPF 30, darab 30 dengan 10 dan anda dapat 300 minit. Jadi kita boleh membuat kesimpulan bahawa perlindungan matahari biasa bertahan kira-kira 5 jam bagi produk SPF 30.

Tetapi jika anda bersantai di tepi pantai atau di bawah pancaran matahari secara langsung untuk tempoh berpanjangan, sentiasa ambil langkah berjaga-jaga dengan penggunaan tabir suria dan memilih faktor perlindungan matahari yang sewajarnya. Banyak produk tidak kalis air, maka anda tidak boleh memanfaatkan perlindungan selama lapan jam jika anda berenang atau bersenam.

Berapa Banyak Tabir Suria Yang Cukup Untuk Anda? 
Panduan Lengkap Kepada SPF, UVA, dan UVB

Lagipun, kebanyakan tabir suria adalah untuk pendedahan matahari biasa seharian, bukannya sepanjang hari di bawah cahaya matahari langsung. Di tepi pantai atau semasa bersenam dalam keadaan cuaca yang panas terik, anda harus mempertimbangkan tabir suria kalis air. Sentiasa: sapu, sapu dan sapu lagi.

Pastikan anda menyimpan tabir suria di tempat yang dingin. Pendedahan kepada matahari boleh merosotkan bahan aktif dalam produk dan menyebabkan keberkesanannya.

Berapa Banyak Tabir Suria Patut Anda Sapukan?

Jumlah tabir suria yang sewajarnya untuk badan anda adalah kira-kira 1 auns (atau 30ml), cukup untuk mengisi satu gelas mini. Anda memerlukan satu sudu teh (5 gram) tabir suria hanya untuk muka anda.

Kita lazimnya menggunakan tabir suria pada muka, tangan dan kaki, tetapi sebenarnya kita perlu melindungi setiap bahagian kulit yang terdedah.

Bahagian yang selalu tertinggal termasuk:

  • Telinga
  • Bahagian atas kaki
  • Bahagian belakang leher
  • Bibir
  • Garis rambut anda dan tompokan botak
  • Di sekitar bukaan lengan. Apabila anda bergerak, jadi sapu pada bahagian kulit di dalam bukaan lengan baju.

Di samping itu, jika anda bimbang tentang tanda-tanda penuaan, anda mesti melindungi bahagian belakang tangan anda yang sentiasa terdedah kepada kesan cuaca, dan begitu juga sinar matahari  Sama ada tangan anda memegang roda stereng atau, menolak mesin potong rumput atau kereta sorong bayi mahupun semasa menunggang basikal, anda terdedah kepada selaran, kesan penuaan, dan tompokan suria.

Anda juga harus memakai pakaian perlindungan seperti kemeja berlengan panjang, seluar panjang dan topi bertepi lebar. Pakai kaca mata yang memberikan perlindungan UVA dan UVB. Bukan sahaja kelopak mata anda boleh mengalami selaran, tetapi pendedahan kepada sinar UVB boleh menyebabkan katarak.

Berapa Kerap Anda Patut Menggunakan Tabir Suria?

Pastikan anda menggunakan tabir suria sekurang-kurangnya 30 minit sebelum terdedah kepada matahari. Jika anda berada di luar dan kulit anda sudah mula kemerahan, maka kerosakan telah bermula.

Cuba sapu sekali lagi setiap sekurang-kurangnya dua jam, dan lebih kerap lagi jika anda berenang, berpeluh atau jika anda mengeringkan diri dengan tuala selepas berenang. Memang mudah untuk terlupa menyapu semula jika anda sedang bersuka-ria di pantai atau kolam renang. Pastikan tabir suria anda berada di tempat yang mudah dilihat sebagai peringatan.

Soalan umum lain berkaitan Perlindungan Matahari

Berikut adalah beberapa soalan lazim berkaitan penggunaan tabir suria:

Jika kulit saya lebih gelap, adakah saya masih perlu menggunakan tabir suria?

Ya, tidak kira betapa gelap atau cerah kulit anda, tabir suria sangat penting. Semua orang akan mengalami selaran matahari, penuaan awal atau penyakit kulit jika dibiarkan tanpa perlindungan. Jangan sesekali percaya tanggapan bahawa jika anda berkulit gelap, anda tidak perlu menggunakan tabir suria. Semua orang, tanpa mengira warna kulit patut menggunakan tabir suria dengan kerap.

Jika mekap saya mengandungi SPF, adakah saya perlu menggunakan tabir suria?

Dulu saya teruja apabila merasakan tidak perlu menggunakan tabir suria kerana produk mekap saya sudah ada perlindungan. Sebenarnya, kita mungkin tersalah anggap jika kita berpendapat perlindungan tersebut sudah mencukupi. Saya mendapati hakikat adalah sebaliknya. Bedak asas, pemerah pipi dan bedak penyerlah sekarang semuanya mengandungi SPF, tetapi perlindungan yang diberikan tidak mencukupi.

Mekap dengan SPF lazimnya disapukan secara tidak sekata. Cuba fikirkan apabila anda guna sedikit pemerah pipi dan sapu bedak asas pada muka anda. Liputannya tidak menyeluruh untuk memberikan perlindungan sewajarnya. Walaupun ia memberikan manfaat tambahan bagi bahagian yang memerlukan lebih perlindungan, adalah amat penting untuk turut menggandakan perlindungan dengan menggunakan tabir suria. Pilih pelembap harian dengan perlindungan spektrum luas SPF 30. Anda akan mendapat pelembapan dan perlindungan tambahan dalam satu langkah yang mudah.

Adakah tabir suria kanak-kanak lebih baik daripada formula dewasa?

Tabir suria mengandungi rbahan aktif yang sama tidak kira untuk kanak-kanak atau dewasa. Jika anda melihat dua produk dilabel dengan faktor perlindungan matahari yang sama, untuk kanak-kanak atau dewasa, perlindungannya adalah lebih kurang sama.

Bagaimanapun, terdapat jenis formula berbeza dan banyak tabir suria yang dibuat untuk kanak-kanak telah dicipta untuk kulit sensitif, yang tidak mengandungi wangian, bahan kimia, paraben dan banyak lagi. Di samping itu, banyak produk mesra kanak-kanak tidak mengandungi bahan yang memedihkan mata. Dalam segala hal lain, angka SPF memang boleh dipercayai.

Perlukah saya memakai tabir suria apabila ada perlindungan awan atau apabila saya berada di dalam kereta?

Sinar matahari yang boleh memudaratkan kulit wujud sepanjang tahun, terutamanya dalam keadaan cuaca yang panas dan lembap seperti di negara kita. Sinar UV boleh menembusi awan, jadi pastikan anda menggunakan tabir suria sebelum anda keluar rumah.

Jangan ingat bahawa anda terlindung di dalam kereta anda atau di sebalik tingkap kaca. Sinar matahari boleh menembusi kaca, justeru lindungi diri anda walaupun anda tidak terdedah kepada cahaya matahari secara langsung.

Jika anda menggunakan tabir suria dengan sepatutnya setiap hari, anda akan mendapati produk tersebut sebenarnya cepat habis. Satu panduan berguna ialah jangan anggap tabir suria sebagai produk bermusim, tetapi sedarilah kepentingannya sepanjang tahun.

© 2023 BlackButterfly DesignArts