BARU KENAL TCM? 4 PERKARA MUDAH YANG ANDA PERLU TAHU MENGENAINYA

Tradisi kuno ini menggunakan pendekatan yang berbeza sekali berbanding perubatan Barat. Jika anda ingin tahu apa Perubatan Tradisional Cina (TCM) boleh lakukan untuk anda, Pakar Klinikal dan pengamal Perubatan Cina Kanan di Pusat Perubatan Cina IMU Healthcare, Dr Ong Siew Siew, berkongsi beberapa pandangan.

Ramai di kalangan kita ada rakan-rakan yang pernah mencuba Perubatan Tradisional Cina sebelum ini. Sebahagian daripada mereka memuji-muji dan selebihnya mendakwa TCM hanyalah untuk orang yang mudah diperdaya. Ungkapan seperti, “Mengapa awak selalu sakit kepala? Pergilah berjumpa perawat TCM saya. Dia bagus!” atau “Sistem imun awak tidak berapa baik. TCM boleh membantu…” adalah perkara biasa. Begitu juga amaran mengerikan betapa TCM membawa kemudaratan.

Apakah kebenarannya? Biarpun kebanyakan daripada kita pernah mendengar mengenainya, tetapi agak sukar untuk memahami dengan pasti amalan kuno ini sebenarnya melibatkan apa, dan sama ada ia boleh memberikan sokongan kepada kesihatan dan kesejahteraan kita.

Pensyarah Kanan di Pusat Perubatan Komplementari & Alternatif di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), yang juga Pakar Klinikal dan pengamal Perubatan Cina Kanan di Pusat Perubatan Cina IMU Healthcare, Dr Ong Siew Siew, mencadangkan beberapa petua menarik dan apa yang perlu anda ketahui untuk mempertimbangkan TCM buat kali pertama.

  1. Carilah pengamal TCM berdaftar

TCM adalah singkatan kepada Perubatan Tradisional Cina dan ia merupakan amalan sah yang diiktiraf di Malaysia oleh Kementerian Kesihatan. Di bawah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari (T&CM) 2016 [Akta 775], industri TCM sedang melalui peralihan penting ke arah keseragaman dan kredibiliti lebih meluas di kalangan komuniti pengamal TCM dan perkhidmatan yang mereka tawarkan. Ia berita baik bagi mereka yang mendapatkan nasihat perubatan TCM .

Mulai Mac 2024, semua pengamal TCM berlesen akan berdaftar dengan Majlis T&CM. Mereka akan diberikan Sijil Pengamalan Tahunan (APC). Ini akan memudahkan orang awam untuk mengesahkan ketulenan Pengamal TCM berdaftar.

  • TCM menggunakan prinsip berbeza daripada perubatan Barat

Mengikut prinsip TCM, setiap orang mempunyai pola resam tubuh unik yang menunjukkan keseimbangan kompleks serta rumit bagi setiap unsur-unsur bertentangan. Unsur-unsur ini perlu wujud bersama secara harmoni untuk seseorang itu berada dalam keadaan sihat, jelas Dr Ong. Matlamat TCM adalah untuk memulihkan keseimbangan ini dan mengatur tenaga badan yang dinamik. Ia boleh dipengaruhi pelbagai faktor seperti diet, tekanan, penyakit kronik dan banyak lagi.

Berdasarkan prinsip ini, pengamal TCM boleh membantu menguruskan banyak penyakit. Sebagai contoh, TCM boleh membantu melegakan kesakitan kronik, menyokong sistem imun, meningkatkan kualiti tidur dan banyak lagi. Sesetengah pengamal juga pakar dalam bidang kesihatan tertentu seperti jantung, paru-paru, penghadaman atau sistem reproduksi.

“Falsafah kami dalam TCM adalah tertumpu kepada mencapai keseimbangan antara pelbagai elemen. Oleh itu, dua pesakit yang berpenyakit yang sama mungkin menerima terapi berbeza kerana setiap daripada mereka membawa ketidakseimbangan unik yang memerlukan pembaikan,” kata Dr Ong.

Seiring perkembangan dalam rawatan dan perubahan pada resam tubuh pesakit, preskripsi dan rawatan mungkin memerlukan pengubahsuaian. Oleh itu, pesakit dinasihatkan untuk mengekalkan kesinambungan rawatan dengan pengamal yang sama, yang boleh memantau perkembangannya dengan teliti.

Pendekatan ini sangat berbeza dengan perubatan Barat, yang lazimnya memberi tumpuan kepada diagnosis dan rawatan penyakit tertentu dengan menyasarkan organ atau bahagian badan yang terjejas. Namun, perlu diingat bahawa TCM dan ubat konvensional boleh diamalkan seiring, selagi mana kedua-dua pihak mempunyai maklumat yang jelas. Penting untuk menjarakkan pengambilan ubat oral dari kedua-dua disiplin sekurang-kurangnya empat jam bagi meminimumkan risiko saling tindak. Sebaliknya, modaliti luaran seperti rawatan akupunktur, bekam atau *terapi moksa, kemungkinan saling tindak adalah minimum. (*Terapi moksa adalah terapi alternatif yang melibatkan pembakaran herba mugwort kering dan menggunakan haba yang terhasil ke atas titik tertentu pada badan.)

  • Jangan risau. TCM tiada sebarang kaitan atau unsur mistik dan keagamaan.

Ramai orang dari latar belakang berbeza pergi mendapatkan bantuan pengamal TCM. Untuk lawatan pertama anda, ia sama sahaja dengan mana-mana temujanji perubatan lain. Pengamal TCM akan mencatat sejarah perubatan anda dan melakukan beberapa teknik diagnostik bagi memeriksa resam tubuh anda.

Amat membantu jika anda membawa bersama rekod perubatan seperti keputusan ujian darah dan sebarang pengimejan seperti imbasan atau X-ray untuk memberikan lebih banyak latar belakang keadaan kesihatan anda. Anda juga boleh menyenaraikan ubat dan makanan tambahan serta membincangkan rutin harian dan gaya hidup anda. Semua maklumat ini dapat membantu pengamal memahami lebih lanjut tentang anda dan keperluan anda supaya pelan rawatan berkesan dapat dirumuskan.

Dengan cara ini, pengamal TCM menilai keadaan pesakit menggunakan prinsip diagnostik TCM dan menggunakan gabungan kaedah rawatan khusus untuk pesakit itu. Semua ini berasaskan prinsip saintifik dan bukan bersifat spiritual bagi menangani sebarang ketidakseimbangan dalam badan. Umumnya, TCM menggunakan empat kaedah rawatan utama iaitu akupunktur, terapi bekam, terapi moksa dan preskripsi herba.

  • Sama seperti perubatan Barat, hasil rawatan TCM akan mengambil masa.

Rawatan akan berbeza-beza mengikut keadaan atau penyakit tertentu. Penyakit biasa-biasa mungkin hanya memerlukan satu atau dua sesi. Bagi mereka yang berpenyakit kronik lebih masa diperlukan. Di samping itu, setiap orang mempunyai resam tubuh, gaya hidup dan tabiat yang berbeza.

Hasilnya, biarpun pesakit nampak ada peningkatan hanya selepas satu sesi, tetapi mungkin kerana masih meneruskan pola atau situasi sedia ada dalam gaya hidupnya, ia menyebabkan masalah itu berulang. Oleh itu, adalah satu perkara biasa untuk pengamal meminta anda datang untuk beberapa sesi, jelas Dr Ong.

Akhirnya,  Dr Ong mengingatkan bahawa kedua-dua TCM dan perubatan Barat mempunyai kekuatan dan prinsip yang berbeza. Selain bertemu pengamal bertauliah di klinik berdaftar, beliau juga menasihati pesakit supaya membuat pertimbangan yang betul supaya mereka selesa dan yakin dengan rawatan yang mereka terima.

“Malaysia kini sedang melalui fasa peralihan. Beralih daripada kawal selia kendiri kepada kawal selia berkanun, yang merangkumi pendidikan TCM terikat kawal selia, latihan dan penyimpanan rekod perubatan. Peralihan ini bertujuan untuk meningkatkan kod profesionalisme dan standard penjagaan dalam TCM yang mana matlamat akhirnya membawa kepada keselamatan dan hasil yang lebih baik kepada pesakit,” katanya.

© 2023 BlackButterfly DesignArts