Bank Simpanan Nasional Mengembalikan Kecemerlangan di Kejohanan Badminton Antara Institusi Kewangan CTOS 2024

Bank Simpanan Nasional Mengembalikan Kecemerlangan di Kejohanan Badminton Antara Institusi Kewangan CTOS 2024

Kuala Lumpur, 17 Oktober 2024 – Bank Simpanan Nasional (BSN) berjaya mengembalikan kecemerlangan selepas tujuh tahun di Kejohanan Badminton Antara Institusi Kewangan CTOS 2024 dengan meraih Piala Juara daripada kejohanan sukan terbesar sektor kewangan ini.

BSN, yang kali terakhir memenangi kejohanan pada tahun 2017, berjaya mengatasi juara tahun lalu, Alliance Bank, untuk membawa pulang Piala Premier Challenge bersama hadiah wang tunai sebanyak RM6,000, pingat, serta produk MAXX Sport. Alliance Bank, sebagai naib juara, menerima hadiah wang tunai RM4,000, manakala tempat ketiga dan keempat, Maybank dan RHB, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan RM2,000.

Bagi Juara Piala Plate, HSBC Bank berjaya menewaskan Bank Rakyat untuk merangkul gelaran juara bersama hadiah wang tunai sebanyak RM1,500, manakala pasukan Bank Rakyat membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.

Bank Simpanan Nasional Mengembalikan Kecemerlangan di Kejohanan Badminton Antara Institusi Kewangan CTOS 2024

Seramai 24 pasukan daripada sektor kewangan menyertai acara selama dua hari di Arena Sukan Kuala Lumpur, termasuk penyertaan kali pertama daripada YTL Digital Bank. Alliance Bank bertindak sebagai penganjur bersama CTOS, yang juga menaja acara ini buat kali keenam sejak tahun 2017.

Eric Chin, Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Data Systems, berkata, “Kami di CTOS amat berbesar hati untuk terus menyokong kejohanan ini sejak tahun 2017 sebagai sebuah platform untuk mempromosikan gaya hidup yang lebih sihat dalam kalangan institusi kewangan dan pihak pengawal selia menerusi badminton – salah satu sukan kegemaran warga Malaysia. Saya gembira melihat semua yang hadir di arena badminton ini menganggap kesihatan fizikal sama pentingnya sepertimana kita menghargai aspek kesihatan kewangan dalam kerja kita. Oleh itu, matlamat kami adalah untuk mempromosikan prinsip kesihatan kewangan yang baik kepada semua pihak berkepentingan, terutamanya pengguna akhir. Kami di CTOS komited untuk memajukan agenda ini, dan berharap dapat bekerjasama dengan lebih rapat bersama setiap institusi kewangan dan pihak pengawal selia bagi merealisasikannya.”

CTOS juga menekankan kepentingan bagi institusi kewangan untuk berkembang dan memperluaskan perspektif mereka bagi menghadapi landskap yang sentiasa berubah. Kejohanan ini menyediakan platform untuk terus berinteraksi antara satu sama lain dalam usaha mencapai penyertaan kewangan yang lebih luas, memenuhi agenda negara bagi memastikan kredit dapat diakses oleh semua.

Setiap pasukan bersaing dalam kategori Perseorangan Lelaki, Beregu Lelaki, Beregu Lelaki Veteran, Beregu Wanita, dan Beregu Campuran. Dua pasukan teratas dalam peringkat kumpulan dimajukan ke Piala Premier, manakala pasukan yang selebihnya meneruskan persaingan di peringkat Piala Plate.

24 pasukan yang mengambil bahagian terdiri daripada AEON Credit Service, Agrobank, Bank Negara Malaysia, Alliance Bank, Allianz Malaysia, Bank Islam, Bank Rakyat, Bank Muamalat, BSN, Bursa Malaysia, CIMB, Citibank, CTOS, FWD Insurance, HSBC, JP Morgan Chase, Kuwait Finance House, Maybank, MBSB, Kementerian Kewangan, OCBC, RHB, UOB dan YTL Digital Bank. Kejohanan ini direalisasikan dengan sokongan rakan peralatan rasmi MAXX Sport dan rakan sokongan AFA Community serta FudTec. Acara ini juga disahkan oleh Persatuan Badminton Kuala Lumpur.

© 2024 BlackButterfly DesignArts