Bagaimana Nutrisi yang Baik Dapat Membantu Sistem Imun Anda

Susan Bowerman, M.S., RD, CSSD, CSOWM, FAND – Pengarah Kanan, Pendidikan dan Latihan Nutrisi Sedunia, Herbalife Nutrition

Jika anda memikirkan sejenak tentang sistem imun anda, anda pasti akan berasa kagum dengan keupayaannya. Ia merupakan sebuah sistem yang amat kompleks dan berfungsi tanpa henti untuk melindungi tubuh anda daripada jangkitan—ia juga merupakan sebuah sistem yang bergantung kepada nutrisi yang baik untuk berfungsi dengan seeloknya.

Memandangkan Malaysia tidak mengalami fenomena empat musim seperti negara-negara yang lain, penduduk negara ini bernasib baik kerana mereka tidak perlu menghadapi pelbagai jenis penyakit yang hadir bersama cuaca sejuk. Namun begitu, cuaca Malaysia juga boleh menjadi agak rumit; kita perlu berhadapan dengan cuaca panas dan kering, atau cuaca yang lembap dari masa ke masa. Kajian menunjukkan bahawa gelombang haba mampu menyebabkan tindak balas sistem imun badan kita merosot dalam keupayaannya untuk melawan penyakit demam, atau berpotensi untuk memberi kesan ke atas vaksin dan nutrisi. Maka inilah sebabnya mengapa anda harus memperkukuhkan sistem imun anda. Sistem imun anda terdiri daripada benteng ‘tentera’ anda yang tersendiri—ia melindungi tubuh badan dengan mengenal pasti sebarang bendasing yang mungkin meliputi bakteria hinggalah ke parasit, lalu menjejakinya dan memusnahkannya.

Tubuh badan kita bergantung kepada nutrien yang baik serta gaya hidup sihat untuk memastikan benteng pertahanan tubuh kita kekal kuat.

How Good Nutrition Supports Your Immune System

Berikut merupakan tiga petua nutrisi yang dapat membantu memelihara sistem imun anda dalam keadaan yang terbaik:

Nutrisi yang Baik dan Sistem Imun Anda

  1. Protein

Sistem imun anda merangkumi ‘unit tindakan khas’ dalam bentuk sel darah putih. Sel-sel ini menghasilkan protein khusus yang digelar antibodi, ia dapat menjejak dan memusnahkan virus serta bakteria penceroboh. Memandangkan antibodi diperbuat daripada protein, maka anda memerlukan jumlah protein yang mencukupi dalam diet anda untuk memastikan tubuh anda dapat menghasilkan antibodi yang diperlukan. Makanan protein yang sihat seperti ikan, ayam itik, daging tanpa lemak, soya dan produk tenusu rendah lemak membentuk asas bagi tubuh badan anda untuk menghasilkan protein khusus ini.

  • Buah-Buahan dan Sayur-Sayuran

Buah-buahan dan sayur-sayuran adalah penting bagi kesihatan sistem imun anda kerana ia merupakan sumber yang kaya dengan vitamin A dan C, termasuk fitonutrien. Vitamin C mendorong badan anda untuk menghasilkan antibodi, dan vitamin A menyumbang kepada kesihatan kulit, termasuk tisu saluran penghadaman dan sistem pernafasan. Semua ini bertindak sebagai benteng pencegahan yang pertama terhadap pencerobohan bendasing. Kebanyakan fitonutrien yang ditemui di dalam buah dan sayur berfungsi sebagai antioksidan, ia boleh membantu mengurangkan tekanan oksidatif pada tubuh, yang sebaliknya berupaya untuk melemahkan keupayaan tubuh anda untuk melawan penyakit.

  • Bakteria Baik

Pemeliharaan sistem penghadaman yang sihat juga penting untuk menyokong fungsi imun. Saluran penghadaman anda dihuni oleh jutaan bakteria yang mempunyai pelbagai fungsi untuk menjaga kesihatan. Terdapat jenis bakteria yang membantu meleraikan serat dalam makanan anda, ada yang memakan gas usus, dan ada yang menghasilkan vitamin seperti vitamin K dan vitamin B12.

Apabila sistem tubuh anda dihuni dengan bakteria “baik” ini, pada masa yang sama, ia juga dapat menangkis bakteria berbahaya yang mungkin dapat masuk ke dalam saluran penghadaman anda. Antara sumber yang kaya dengan bakteria baik ialah produk susu tenusu seperti yogurt dan kefir. Dan seperti yang anda sedia maklum, setiap kali anda ingin mencuba sesuatu yang baharu, pastikan anda mendapatkan nasihat daripada doktor atau pakar tertentu, berkenaan dengan jumlah pengambilan yang sesuai untuk anda.

Sesetengah individu menghadapi masalah kesihatan yang memberi kesan terhadap operasi sistem imun mereka. Amalan diet sahaja tidak dapat memperbaiki sistem imun yang terjejas. Namun bagi individu-individu yang sihat, amalan pemakanan yang baik dapat memelihara kesihatan dan kekuatan sistem imun anda.

Untuk menangkis pencerobohan bendasing dalam sistem tubuh badan anda, benteng ‘tentera’ anda perlu diberikan nutrisi yang terbaik.

© 2023 BlackButterfly DesignArts