Bagaimana Bimbingan Mentor Muda dapat mengatasi prasangka umur di tempat kerja

Jim Falteisek (Naib Presiden Kanan, Hal Ehwal Korporat Asia), 56 tahun, dan Hetty Sabater (Rakan Hubungan Insan HR), 34 tahun, daripada 3M berbicara tentang stereotaip umur di tempat kerja

Kita  sudah biasa dengan konsep bimbingan mentor. Lazimnya, kakitangan yang mempunyai pengalaman lebih lama diminta memberi tunjuk ajar kepada seorang rakan sekerja yang kurang berpengalaman  atau junior.  Bagaimana jika kami menyatakan sebaliknya?

Zaman di mana pengalaman memberikan kita kelebihan mungkin sudah berlalu. Dunia kini pantas berubah dan semakin ramai dalam generasi golongan milenial menyertai dunia kerjaya.

Terdapat kira-kira 1.1 bilion daripada mereka yang dilahirkan di alaf baharu di Asia.[i] Di Malaysia pula ada seramai 9.5 juta pekerja muda.[ii]

Golongan ini lazimnya dianggap sebagai lebih fleksibel, mudah menyesuaikan diri dan celik teknologi, menawarkan pelbagai kemahiran di tempat kerja. Malah banyak yang boleh dipelajari oleh generasi yang lebih berpengalaman daripada mereka.

Menyedari hakikat ini, semakin banyak syarikat seperti 3M kini menggandingkan pemimpin kanan mereka dengan mentor yang lebih muda berasaskan konsep bimbingan mentor berbalik. Terdapat beberapa manfaat daripada program ini, termasuk memberikan perspektif penting berkaitan pemikiran strategik, kepimpinan, ketetapan minda, dan nilai-nilai di tempat kerja. Kaedah ini juga membolehkan para pemimpin memahami apa yang dimuatkan dalam kotak fikiran generasi lebih muda, membolehkan mereka lebih mengerti nilai, keutamaan dan dorongan mereka, cara mereka ingin dilayan, dan cara untuk mengoptimumkan bakat mereka bagi meningkatkan penglibatan dan pengekalan kakitangan. Ini membolehkan kami menangani prasangka umur di tempat kerja – dengan mewujudkan peluang untuk generasi lebih muda dan tua berkongsi perspektif, meningkatkan kefahaman dan mengatasi sebarang salah tanggapan.

Bagaimana pemimpin yang dibimbing mendapat manfaat: Merapatkan jurang antara generasi

Memandangkan COVID-19 kini mempercepatkan proses pendigitalan kerja, bimbingan oleh rakan sekerja lebih muda sudah tentu dapat membantu mereka menghadapi era baharu komunikasi digital, terutamanya dunia kerja jarak jauh.

Salah satu perkara pertama yang diajar oleh mentor muda saya, Hetty, ialah bagaimana generasi lebih muda melihat komunikasi digital dan media sosial. Meskipun saya menyaksikan kelahiran platform media sosial, pada mulanya saya tidak memahami bahawa platform media sosial seperti Facebook dan Instagram dianggap sebagai ruang peribadi. Menerusi perkongsian Hetty, barulah saya dapat memahami konsep ini dan melihat media sosial dari perspektif yang berbeza.

Ini telah mendorong saya untuk menubuhkan kumpulan Yammer untuk kakitangan 3M di Asia, iaitu alat untuk membina jaringan sosial profesional yang membantu membina komuniti di 3M. Dengan bantuan Hetty di sepanjang proses, Yammer kini menjadi alat yang sangat berguna untuk menggalakkan penglibatan, pertanyaan atau perkongsian maklumat dalam kalangan rakan sekerja dan untuk bekerjasama dengan pasukan berbeza, terutamanya dalam suasana COVID-19.

Salah satu daripada prinsip kepimpinan yang saya pegang ialah kepentingan menyampaikan kata-kata penghargaan dan menunjukkan pengiktirafan kepada rakan-rakan sekerja saya. Saya agak terkejut apabila Hetty memberitahu bahawa generasinya menghargai pengiktirafan dan penghargaan tidak formal menerusi alat digital seperti e-mel. Sebagai seorang yang lahir dalam generasi di mana kad yang ditulis tangan menjadi kebiasaan, ini agak memeranjatkan bagi saya. Saya bimbang cara ini bersifat tidak formal dan mungkin dilihat sebagai tidak ikhlas tetapi Hetty menerangkan bahawa generasi lebih muda tidak beranggapan sedemikian.

Malah sekarang, saya menghantar lebih banyak ucapan ‘terima kasih’ kepada rakan-rakan sekerja memandangkan cara ini lebih cekap daripada menulis kad dengan tangan. Ini telah mengeratkan hubungan sesama ahli pasukan dan menghidupkan budaya kita.

Bagaimana mentor muda mendapat manfaat: bimbingan dua hala

Malah dari satu lagi sudut, memandangkan COVID-19 menimbulkan keperluan bagi kerja jarak jauh, gandingan dengan pemimpin yang dibimbing juga adalah kritikal dalam membantu mentor muda, terutamanya pekerja baharu, memahami perubahan dan mendapatkan perspektif yang bermakna dalam dunia kerjaya baharu ini.

Selain daripada memanfaatkan pengalaman luas daripada senior mereka, kaedah bimbingan mentor berbalik mengubah sama sekali model mentor tradisional. Kaedah ini menggalakkan komunikasi dua hala dan menggunakan pendekatan yang lebih bersifat bual bicara. Menerusi saluran ini, kakitangan lebih muda boleh berkongsi ilmu pengetahuan mereka dan pandangan mereka akan didengar.

Selain daripada meningkatkan semangat dan produktiviti, kaedah bimbingan berbalik membolehkan kakitangan lebih muda untuk mempengaruhi keputusan syarikat di peringkat yang lebih tinggi. Dalam pertemuan kami dari masa ke masa, Hetty berkongsi pengalaman kerjanya dalam melancarkan beberapa rangkaian sumber kakitangan di Filipina. Saya telah memanfaatkan pengajaran yang ditimba di peringkat akar umbi, bagi menambah baik strategi dan tindakan keterangkuman bersasar bagi 2021, yang kini sedang saya susun.

Bagaimana syarikat-syarikat korporat boleh melakukannya dengan betul

Untuk mencapai kejayaan maksimum, berikut adalah beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan oleh syarikat-syarikat.

Pertama sekali, semua mentor muda dan pemimpin yang dibimbing mesti mempunyai tujuan yang jelas. Sebelum mengambil bahagian, kakitangan yang terlibat perlu berfikir mengapa mereka mahu turut serta.

Seterusnya, mereka perlu menetapkan matlamat pembelajaran jelas untuk memastikan program ini bermakna untuk mereka.

Ketiga, mereka perlu menetapkan sempadan jelas antara kerja dan topik peribadi dan menetapkan komitmen bersama terhadap program.

Akhir sekali, kedua-dua mentor muda dan pemimpin yang dibimbing perlu cekal memainkan peranan yang ditugaskan. Eksekutif kanan tidak boleh kembali memainkan ‘peranan pemimpin’, manakala kakitangan lebih muda seharusnya terus menjadi ‘guru’ kepada pemimpin di bawah bimbingan mereka.

Dialog dan perkongsian dari masa ke masa akan mendedahkan prasangka umur di tempat kerja. Stereotaip seperti ini sebenarnya hanya merupakan satu salah tanggapan. Kakitangan muda tidak terlalu muda untuk memimpin atau mengajar, dan kakitangan kanan pula tidak terlalu tua untuk mempelajari kemahiran baharu.

Pada hari ini, hampir 300 kakitangan 3M di Asia sedang menyertai program Bimbingan Mentor Berbalik, yang memainkan peranan penting untuk menjadikan 3M tempat kerja yang lebih pelbagai dan terangkum serta memperkasakan tempat kerja bagi semua.


[i] MSCI: Millennials

[ii] Ulasan: Beliau Malaysia hadapa prospek ekonomi yang paling malap.

© 2024 BlackButterfly DesignArts