Assos: Permata Aegean Utara Türkiye

Kuala Lumpur, 26 September 2024Assos, yang menghadap perairan serba biru di bawah bayang-bayang pohon zaitun purba, ternyata merupakan sebutir permata Aegean di kaki Gunung Ida. Menempuh pelbagai tamadun berabad lamanya di daerah moden Ayvacık di Çanakkale, Assos menjadi salah satu pilihan percutian paling indah di Aegean dengan alam semula jadinya yang tidak tercemar, udara segar dan khazanah purba. Ayuh terokai pilihan yang disediakan oleh permata Türkiye yang kurang dikenali ini.

Assos: Permata Aegean Utara Türkiye

Laluan Hebat Aegean

Assos mempunyai banyak teluk dan pantai yang membolehkan anda menyelam di perairan biru ini. Teluk yang cantik misalnya Kadırga dan Sivrice, pantai yang bersih seperti Sokakağzı, dan banyak lagi lokasi indah yang lain termasuk Pelabuhan Purba, adalah antara keindahan asli dan tidak tercemar landskap ini. Manakala Kadırga Bay pula menyerlah lantaran pantainya yang panjang dan luas serta status Bendera Biru. Meskipun kebanyakan pantainya terdiri daripada batuan besar di seluruh Assos, lazimnya ramai pengunjung yang terjun ke laut melalui jeti kayu. Perlu dimaklumkan bahawa lautan di Assos sedikit hangat kemudiannya disebabkan lokasi geografi, dan airnya lebih sejuk berbanding perairan Mediterranean. Satu lagi ciri yang dimiliki  Assos ialah pilihan kemudahannya yang pelbagai. Anda boleh membuat pilihan daripada tapak perkhemahan untuk perjalanan harian, hinggalah kepada rumah penginapan, hotel mewah dan selesa serta hotel butik.

Kemegahan Kota Purba Assos

Apa yang menjadikan persisiran pantai indah Assos begitu mempesona ialah Kota Purba Assos, terletak di kawasan gunung berapi yang tidak aktif dengan menyajikan pemandangan serba mengagumkan persekitaran Aegean yang terbentang di hujung kaki anda. Sejarah kota ini sudah bermula pada abad keenam Sebelum Masihi. Kota purba berkenaan yang menggamit perhatian dengan dindingnya yang berdiri megah bertahan hingga ke zaman ini dan struktur luar biasa yang ditemui sewaktu penggalian arkeologi, telah dimasukkan dalam senarai tentatif Warisan Budaya Dunia UNESCO pada Mei 2017. Antara penghuninya yang terkenal ialah ahli falsafah Aristotle yang mengasaskan sekolah falsafah di sini. Kuil Athena menyerlah sebagai salah satu daripada khazanah yang mesti dilihat di bandar purba ini. Terletak di Assos Acropolis, Kuil Athena dibina khas untuk Dewi Athena, yang dikenali sebagai pelindung kota berkenaan. Terkenal dengan binaan tiang dan pemandangan laut yang mengagumkan, struktur tersebut juga mempunyai kepentingan dari segi seni bina sebagai satu-satunya contoh Kuil Archaic-Doric dalam geografi Anatolia. Mengunjungi kuil ini di lokasi paling tinggi bandar tersebut terutamanya semasa matahari terbenam, mengukir pengalaman yang sememangnya tidak dapat dilupakan. Selepas menyaksikan keindahan matahari terbenam, anda boleh meneroka bahagian lain bandar ini seperti Agora, Gymnasium, dan teater terbuka.

Assos: Permata Aegean Utara Türkiye
Kuil Athena

Behramkale dan Seterusnya

Kampung Behramkale ialah sebuah penempatan kecil di bandar purba berkenaan. Berjalan melalui jalanan yang agak sempit di kampung itu, anda bakal bertemu dengan rumah bersejarah yang merupakan contoh terbaik pertukangan seni bina batu. Di samping itu, wanita kampung berkenaan menjual cenderahati dan barangan makanan buatan sendiri di gerai yang didirikan di jalanan ini atau di kedai kecil. Pelbagai produk tempatan dan semula jadi boleh didapati di sini, daripada bermacam jenis herba dan minyak zaitun sehinggalah kepada “tarhana” buatan sendiri, iaitu sejenis sup lazat dengan ramuan sayur-sayuran, yogurt masam, herba, rempah beraroma, dan renda buatan tangan.

Assos: Permata Aegean Utara Türkiye
Perkampungan Adatepe, sebuah kampung yang indah dengan rumah-rumah batu lama

Perkampungan itu juga mempunyai sebuah masjid dan jambatan dari zaman Uthmaniyyah.  Masjid Hüdavendigar yang dibina pada abad ke-14 dengan ukuran pelan segi empat sama dan kubah tunggal, ternyata terkenal dengan motif geometri yang rumit pada mihrabnya. Jambatan Hüdavendigar  yang merentasi Tuzla Stream berhampiran Behramkale, ternyata memiliki seni bina yang mengagumkan dengan ukiran gerbangnya yang dihasilkan dengan begitu teliti. Anda boleh berjalan merentasi jambatan elegan berusia 600 tahun ini yang ditutup kepada lalu lintas kenderaan. Assos juga merupakan destinasi yang selayaknya diterokai kerana perkampungan tempatan yang indah di persekitarannya. Perkampungan Yeşilyurt and Adatepe yang bersejarah, serba menawan dan comel terletak hanya setengah jam dari Assos, harus menjadi sebahagian daripada senarai yang mesti dilihat di wilayah ini. Apabila anda mengunjungi perkampungan Adatepe, anda boleh melawat Muzium Adatepe Olive Oil. Sebagai muzium minyak zaitun yang pertama di Türkiye, anda berpeluang untuk menyaksikan semua peringkat pengeluaran minyak zaitun di kompleks ini.

Assos: Permata Aegean Utara Türkiye
Muzium Adatepe Olive Oil

Kenikmatan Perisa yang Berpanjangan

Assos yang terkenal dengan kisah sejarah dan keindahan alam semulajadinya juga merupakan destinasi gastronomi yang menakjubkan dengan menawarkan pelbagai perisa serantau yang mengagumkan. Di sini, anda boleh temui semua rasa unik dalam sajian masakan Aegean,  daripada  bunga zucchini berinti  sehinggalah kacang laut. Di restoran dan kedai minuman di persisiran Pelabuhan, anda boleh menikmati hidangan istimewa Assos seperti  salad sotong bakar, kepingan ikan todak dicucuk pada lidi, kerapu bakar, sup ikan scorpion, kalamari panggang dan kalamari sumbat. Dengan persekitaran bukitnya yang dilitupi dengan pokok zaitun, Assos juga antara hentian terkenal untuk minyak zaitun di Türkiye. Anda boleh nikmati meze yang dihasilkan daripada sayur-sayuran, herba dan minyak zaitun serta membeli minyak zaitun yang sangat baik. Usah lupa untuk menyejukkan diri dengan sirap mulberi yang terkenal di rantau ini sewaktu siang hari di Assos.

© 2024 BlackButterfly DesignArts