
Dr. Nur Alia Johari mempunyai minat mendalam dalam sains. Minat ini membawa beliau ke pelbagai tempat, dari mengumpul sampel nyamuk di kawasan kejiranan Malaysia sehinggalah mengkaji bakteria di Antartika. Di sepanjang perjalanannya, Dr. Nur Alia mempelajari pelbagai kemahiran baharu. Pengalaman ini membentuk beliau menjadi seorang saintis dan penyelidik muda yang berjaya. Bersempena Hari Wanita Antarabangsa, Dr. Alia, pensyarah kanan dan Ketua Makmal Penyelidikan Kolaboratif Mikrobiologi Lanjutan (AMCRL) di Universiti IMU, berkongsi sedikit kisah pengembaraannya – dengan harapan dapat memberi inspirasi kepada wanita muda lain untuk menyahut cabaran dalam dunia sains.
Dr. Alia Johari adalah teladan terbaik apabila sains berpadu dengan jiwa kembara. Sikap beliau yang penuh tenaga begitu terserlah, yang mencerminkan keupayaannya untuk berkata “ya” kepada sebarang peluang dengan spontan. Apabila berbicara dengannya, ternyata minatnya terhadap butiran terperinci sangat ketara dan inilah yang membolehkan beliau mendalami bidang pilihan iaitu sains bioperubatan.
Dorongan untuk menyelidik sesuatu dengan lebih mendalam bermula daripada keinginannya untuk memahami punca ekzema yang dialaminya serta rangkaian tindak balas yang berlaku pada kulitnya. Pada awalnya, keluarga beliau mengharapkan langkah awal dalam bidang sains ini sebagai satu permulaan untuk beliau menjadi seorang doktor perubatan, namun katanya sambil ketawa, “Saya tetap menjadi doktor – cu seorang doktor PhD.”
Pada usia 34 tahun, Alia telah mengumpulkan pelbagai pengalaman mengagumkan. Beliau menyertai IMU pada tahun 2015 sebagai pensyarah ketika berusia 24 tahun, dan sejak itu, beliau dilantik sebagai Pegawai Biokeselamatan (BSO) untuk Jawatankuasa Biokeselamatan Institusi IMU (IMU-IBC). Pada tahun 2019, beliau menjadi ketua AMCRL dan kini berkhidmat sebagai pensyarah kanan. Alia juga telah menerbitkan kajian dalam jurnal berprestij seperti The Lancet Infectious Diseases dan PLOS Neglected Tropical Diseases (PLOS NTDs), yang merupakan sebuah jurnal akses terbuka memfokuskan pada kajian penyakit tropika terabai.
Di Mana Segalanya Bermula
Semasa pengajian sarjana muda dalam bidang kesihatan global di Imperial College London, beliau belajar melihat sesuatu dalam konteks yang lebih luas, seperti faktor risiko sesuatu penyakit, siapa yang paling terjejas, dan bagaimana mendapatkan rawatan yang sesuai kepada mereka yang memerlukannya. “Saya dapati ia sesuatu yang amat menarik,” katanya, sambil menambah bahawa beliau gemar “memahami bagaimana penyakit merebak dan konteks di sebaliknya”.
Ketika meneruskan pengajian Sarjana dalam bidang Kesihatan Awam di universiti yang sama, beliau mempelajari kemahiran pemetaan penyakit menggunakan Sistem Maklumat Geografi (Geographic Information Systems – GIS). Dengan kemahiran ini, beliau menganalisis data 90,000 kanak-kanak di Yaman yang menghidap Skistosomiasis – penyakit yang menyerang usus dan saluran kencing akibat jangkitan cacing parasit. “Saya tidak dapat pergi ke sana kerana konflik semasa Kebangkitan Arab di Timur Tengah,” katanya, menyedari yang beliau akan ke negara itu dan berada sendiri di lapangan dengan senang hati jika berpeluang.
Kajian tersebut diterbitkan bersama rakan penyelidik dari Kementerian Kesihatan Awam dan Populasi Yaman, yang memberikan gambaran pertama mengenai mudarat anemia dalam kalangan kanak-kanak sekolah di negara itu.
Kembali ke Tanah Air
Beliau kemudiannya pulang ke Malaysia dan menyertai IMU, di mana beliau menyelesaikan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Sains Perubatan dan Kesihatan. Penyelidikan kedoktoran beliau tertumpu pada epidemiologi denggi di Malaysia, dengan mengkaji jaringan faktor risiko yang terlibat. Sepanjang kajian, beliau mengumpul sampel jentik-jentik setiap dua minggu selama setahun dari 18 buah rumah di Lembah Klang. Kehadirannya yang kerap di komuniti menyebabkan seorang kanak-kanak menggelar beliau sebagai ‘jie–jie nyamuk’ (kakak nyamuk), manakala kereta beliau dikenali sebagai ‘kereta nyamuk’ kerana dipenuhi ratusan sampel jentik-jentik.
Kajian seperti ini amat penting kerana ia menambah pengetahuan mengenai sesuatu penyakit, dan dalam kes ini, demam denggi di Malaysia. Inilah inti utama dalam tugasannya, iaitu menilai dan memahami beban penyakit di kawasan tertentu dengan matlamat membantu program kawalan penyakit di peringkat nasional serta merancang intervensi kesihatan awam yang lebih berkesan dan relevan.
“Inilah yang saya mahu lakukan – menggunakan ilmu dan kemahiran yang saya ada di tanah air sendiri,” tambah beliau. Menurut Dr. Alia, kesihatan awam sangat bergantung kepada konteks setempat, di mana setiap konsep dan intervensi perlu disesuaikan dengan komuniti yang terlibat. “Sebagai orang tempatan, kita berada dalam kedudukan terbaik untuk melakukannya,” ujar beliau.
Kemahiran Hidup
Penyelia penyelidikannya, Profesor Patricia Lim digambarkan oleh Alia sebagai seorang wanita yang sangat kuat. Melalui beliau, Alia mempelajari betapa pentingnya berpegang teguh kepada apa yang ingin dilakukan. Alia menjelaskan bahawa ia merangkumi sifat sabar, tetapi pada masa yang sama tegas dan berani bersuara.
“Katakan apa yang perlu dikatakan, nyatakan pendapat anda dengan jelas. Bersuaralah, pastikan didengari, dan buatlah perubahan,” tambahnya. Kemahiran inilah yang membantunya berdikari ketika menyertai ekspedisi penyelidikan ke Antartika.
“Bekerja di tempat terpencil, di mana saya satu-satunya wanita di pangkalan, saya menyedari saya perlu bersikap berterus-terang dengan pasukan jika ada perkara yang membuat saya tidak selesa atau jika ada hal yang boleh saya perbaiki,” katanya, sambil menambah bahawa sejak kecil lagi ibu beliau juga sering berpesan untuk berani bersuara dan berpegang teguh pada pendirian.
Cabaran di Antartika
Pada tahun 2019, seorang rakan sekerja bertanya kepadanya jika beliau berminat menyertai ekspedisi ke Antartika bersama British Antarctic Survey (BAS) sebagai saintis lapangan. Sudah menjadi sifat semulajadinya sukakan cabaran, dan terinspirasi oleh mendiang Profesor Chu Wan Loy yang menerajui penyelidikan kutub di IMU, beliau terus menyahut peluang ini. Antartika adalah makmal semula jadi, katanya. Dengan aktiviti manusia yang terhad, ia adalah tempat terbaik untuk mengkaji bagaimana komuniti bakteria berinteraksi.
Beliau ditempatkan di Stesen Penyelidikan Signy untuk musim panas 2019/2020 bersama enam anggota lain, yang kesemuanya lelaki. “Dalam perjalanan ke selatan menaiki kapal RRS James Clark Ross, ada juga saintis wanita lain, tetapi saya satu-satunya wanita Asia (dan Malaysia) yang pergi ke selatan bersama BAS pada ketika itu. Ia benar-benar satu pengalaman yang mengubah hidup saya,” katanya.
Alia menceritakan bagaimana mereka perlu menyesuaikan diri untuk hidup di pangkalan, turut serta dalam kerja-kerja manual seperti mengecat dan membaiki struktur, serta memasak untuk satu sama lain. Malah, beliau sempat memperkenalkan rakan sepasukannya kepada rendang dan nasi lemak dengan mengubah suai resipi: “Saya gantikan asam keping dengan jus limau, dan serai dengan teh serai.”
Belajar untuk Bertahan
Terdapat juga kemahiran kelangsungan hidup lain yang lebih penting untuk dikuasai. Sebelum ekspedisi, Alia menghabiskan masa seminggu di pinggir bandar Cambridge, iaitu di ibu pejabat British Antarctic Survey UK, bagi mendapatkan sijil dalam teknik kelangsungan hidup peribadi. “Mereka mempunyai kemudahan mensimulasi ombak dan hujan, serta mengajar cara terjun meninggalkan kapal dari platform setinggi tiga meter, dan bagaimana untuk membalikkan rakit penyelamat di dalam air,” kata Alia, sambil berseloroh bahawa beliau sering tertanya-tanya sama ada beliau mampu bertahan dalam air yang sejuk membeku.
Beliau turut berhadapan cabaran getir dalam mempelajari kemahiran mendaki gunung. “Saya perlu berlatih berjalan di atas ais dan glasier menggunakan crampon (alat cengkaman yang dipasang pada kasut) serta kapak ais, sambil membawa peralatan penuh seberat 20 hingga 25 kg. Bila saya pulang, saya sangat cergas!” katanya.
Namun, cabaran terbesar bukanlah fizikal semata-mata, tetapi bagaimana berhadapan dengan pelbagai personaliti dalam pasukan. “Kami sentiasa berhubung antara satu sama lain 24/7,” kata Alia. Beliau mendapati seseorang perlu berterus-terang dalam menyuarakan sesuatu perkara sambil mengekalkan sikap profesional tanpa melibatkan hal peribadi.
Di penghujung ekspedisi, mereka pulang dan kekal bersahabat baik. Alia masih mengingati seorang rakan sepasukan, iaitu bekas kelasi yang berkeperibadian agak kasar tetapi akhirnya menjadi teman baiknya. “Beliau bukan jenis yang banyak bercakap. Jadi, pada penghujung ekspedisi, kata-katanya ini benar-benar bermakna buat saya: ‘Kamu dialu-alukan untuk kembali ke sini pada bila-bila masa. Kamu telah bekerja dengan cemerlang.’”
Menghadapi Sesuatu Yang Tidak Dijangka
Walaupun perjalanan ke Antartika penuh dengan cabaran, namun perkara yang paling tidak diduga menanti – COVID-19. Ketika Alia berlepas ke Kutub Selatan pada November 2019, virus itu belum lagi merebak ke seluruh dunia. Beliau kembali ke Malaysia tiga hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Selepas lima bulan mengharungi cuaca sejuk melampau, sesiapa sahaja pasti terbayang mahu berehat di tilam serta bantal yang empuk dan selesa. Namun, Alia sudah pun mendaftar sebagai sebahagian daripada pasukan ujian COVID IMU ketika dalam perjalanan pulang, iaitu semasa belayar di atas kapal selama dua minggu. Beliau menjelaskan, pada waktu itu, makmal kesihatan awam negara tidak mampu menampung jumlah sampel yang semakin meningkat, lalu mereka meminta bantuan institusi lain.
“Kami adalah institusi swasta pertama yang tampil secara sukarela untuk membantu membuat ujian saringan,” katanya. “Keadaannya agak menakutkan kerana pemahaman terhadap virus ini masih terhad. Kami perlu lebih berhati-hati, dan semua orang terpaksa memakai PPE dengan begitu rapi.”
Kekal di Puncak dan Melangkah ke Hadapan
Alia terus mengembangkan ilmu serta pengalamannya, dan baru-baru ini, iaitu pada Disember 2024, beliau dianugerahi Anugerah Penyelidik Muda bagi salah satu penyelidikan terbaik di Kongres Asia ke-11 Mengenai Penyakit Berjangkit Pediatrik, berlangsungdi Hong Kong. Di sana, beliau membentangkan penemuan awal IMU mengenai kajian Streptococcus pneumoniae dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia, di mana beliau bertindak sebagai penyelidik bersama utama yang menyelaras kajian tersebut.
Pencapaian Alia membuatkan kita tertanya-tanya: Apa yang mendorong beliau? “Mempelajari kemahiran baharu yang boleh saya manfaatkan dalam projek yang saya rancang,” katanya. “Anda perlu terus belajar – perkembangan berlaku dengan begitu pantas sekali!” tambah beliau.
Namun, bidang ini sangat luas dan beliau sedar adalah mustahil untuk menguasai segalanya. Justeru, bekerjasama dengan pakar lain menjadi kunci. Beliau mencari individu yang mahir dalam bidang masing-masing dan menyediakan platform supaya mereka dapat berganding bahu dalam sebuah kerjasama yang mantap.
Berkongsi Ilmu dan Memperkasakan Wanita dalam Sains
Hari ini, wanita seperti Alia bukan lagi asing dalam bidang sains dan teknologi. “Wanita sudah menjadi penyumbang utama dalam sains, dan kita membawa nilai yang sama penting dalam bidang ini seperti orang lain. Kita semua adalah saintis dan penyelidik tanpa mengira jantina, masing-masing dengan kekuatan serta kemahiran tersendiri yang dapat menyumbang kepada kemajuan sains,” ujarnya.
Buat wanita muda yang sedang mempertimbangkan masa depan kerjaya mereka dalam bidang sains, nasihat Alia jelas: “Peluang dalam bidang ini sebenarnya sangat luas dan tidak terbatas, lebih-lebih lagi dengan kemajuan pesat teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan penggunaan data besar.
“Menceburi bidang ini dan mencari cabang yang sesuai dengan minat anda mungkin memerlukan masa, kerana anda perlu meneroka setiap aspek bagi memahami kesesuaiannya. Namun, apabila anda sudah menemui bidang yang diminati, teruslah terjun ke dalamnya dengan sepenuhnya dan jadikan idea serta pemikiran anda satu realiti. Itulah yang menjadikan perjalanan ini begitu menarik.”
Seperti yang dibuktikan oleh Alia, sains bukan sekadar bekerja di makmal berhabuk atau meneliti mikroskop sepanjang hari. Ia adalah satu pengembaraan dan peluang untuk meneroka dunia – sambil menyumbang kepada kebaikan sejagat. Kisah beliau ini mengingatkan kita bahawa wira bukanlah mereka yang memakai mantel. Mereka juga boleh memakai kot makmal dan but mendaki.