Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO® 2019

Kesungguhan, keberanian, kecekalan pencetus kejayaan atlet gimrama negara Izzah Amzan merangkul Anugerah Emas.

Anugerah Sukan Kementerian Pendidikan (KPM)-MSSM-MILO® 2019 kembali mengiktiraf kecemerlangan atlet murid serta jasa dan sumbangan guru dan jurulatih dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) sepanjang tahun berkenaan dalam 13 kategori, istimewa kali ini termasuk Anugerah Emas.

Majlis penganugerahan yang ditangguhkan selama setahun akibat pandemik  COVID-19 itu telah dirasmikan oleh Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Pendidikan Malaysia.

Dalam ucapan beliau, Datuk Dr. Radzi Jidin menegaskan peranan sukan dalam memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“KPM merupakan antara kementerian yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Dasar Sukan Negara. Usaha ini disokong dengan penubuhan Sekolah Sukan Malaysia dan Sekolah Sukan Negeri. Penubuhan sekolah sukan ini memberi ruang dan peluang kepada lebih ramai murid yang berbakat di seluruh negara mendapat latihan serta bimbingan yang lebih bersistematik, sehingga berpeluang menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa,” kata beliau.

Sementara itu, MILO® selaku peneraju pembangunan sukan akar umbi di Malaysia telah memainkan peranan penting sebagai rakan kerjasama KPM dan MSSM dalam menjayakan Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO® sejak tahun 1973 bagi mencungkil bakat baharu dan memartabatkan warisan sukan negara.

Ng Su Yen, Pegawai Eksekutif Perniagaan – Unit Perniagaan MILO®, Nestlé (Malaysia) Berhad mengulas, “MILO® percaya sukan bukan sahaja dapat membina daya saing sewaktu bertanding malah membentuk keperibadian seseorang untuk berjaya dalam hidup dengan memupuk nilai-nilai murni seperti kesungguhan, keberanian dan kecekalan. Justeru, atlet-atlet muda kita harus diberikan sokongan padu dan akses kepada latihan, tunjuk ajar, bimbingan, bantuan, motivasi serta peluang untuk mempelajari serta memanfaatkan nilai-nilai murni ini demi mencapai potensi terbaik mereka.”

“Para pemenang tahun ini bukan sahaja telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang malah menghayati erti sebenar seorang juara. Kami merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada semua! Semoga kejayaan mereka dapat memberikan inspirasi kepada rakan-rakan sebaya mereka serta generasi muda untuk melangkah jauh,” tambah beliau.

Antara pemenang yang mencuri perhatian dalam edisi Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO® ini ialah penerima Anugerah Emas, Izzah Amzan, ratu gimrama negara yang sedang melonjak naik. Beliau telah memulakan latihan pada usia muda 5 tahun sehingga menjadi antara atlet termuda Malaysia yang bertanding pada Sukan SEA 2017 ketika berusia 17 tahun. Malah nama beliau tidak asing lagi dalam edisi Anugerah KPM-MSSM-MILO® yang lalu di mana beliau telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Puteri untuk tahun 2018. Malah, kecekalan dan keberanian yang dipelajari selama ini telah membakar semangatnya untuk terus berjuang dan meraih pelbagai lagi pencapaian cemerlang, yang terbarunya pingat emas dan perak pada temasya Sukan SEA 2019.

Berbeza dengan kategori yang lain, Anugerah Emas hanya dikhaskan untuk atlet murid yang mencapai prestasi cemerlang dalam kedua-dua bidang sukan dan akademik. Anugerah ini tidak semestinya disampaikan setiap tahun, sekaligus menjadikannya pengiktirafan tertinggi dalam Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO®. Hanya segelintir atlet yang pernah diberikan menerima penghormatan ini, antaranya Datuk Nicol David, Dato Pandelela Rinong, dan terkini, pemain skuasy remaja sensasi negara, Aifa Azman.

“Saya amat berbesar hati atas pengiktirafan ini yang menempatkan saya sebaris dengan idola-idola saya. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KPM, MILO®, jurulatih dan guru-guru saya di Sekolah Sukan Bukit Jalil, serta keluarga, rakan-rakan dan para penyokong yang berada di sisi saya sewaktu susah mahupun senang. Sokongan dan kepercayaan andalah pemangkin kejayaan saya. Namun, masih banyak lagi yang perlu saya pelajari dan capai, dan anugerah ini merupakan pembakar semangat dan motivasi yang saya perlukan untuk meneruskan perjalanan saya,” kata Izzah.

Senarai penuh Pemenang Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO® 2019 adalah seperti berikut:

Anugerah EmasIzzah Bt. Amzan (Gimnastik Berirama)
Anugerah Tunas Harapan PuteriLoo Yie Bing (Renang) 
Anugerah Tunas Harapan PuteraWong Lee Hong (Skuasy)
Anugerah Pendidikan Khas PuteriSiti Nor Insyirah Bt. Mohamad Ariffin (Olahraga)
Anugerah Pendidikan Khas PuteraJonah Chang Anak Rigan (Olahraga) 
Anugerah Khas PuteriNur Amisha Bt. Azrilrizal (Muay Thai) 
Anugerah Khas PuteraMohammad Rifdean bin Masdor (Muay Thai) 
Anugerah PuteriIman Alisha binti Fakhri Yassin (Gimnastik Berirama)
Anugerah PuteraKhiew Hoe Yean (Renang) 
Anugerah Guru Berjasa WanitaChang Siang Cheng (Olahraga)
Anugerah Guru Berjasa LelakiYeshodh A/L Parameswaran (Kriket)
Anugerah Jurulatih CemerlangMohd Shahril bin Shahidin (Skuasy) 
Anugerah Tokoh Sukan (Kepimpinan)Tuan Haji Mohamed Rafed bin Ismail (Hoki) 

Setiap tahun, lebih 12,000 atlet murid bertanding dalam 24 acara sukan menerusi platform MSSM, di mana ramai antara mereka telah mengharumkan nama negara di persada sukan serantau dan antarabangsa. MSSM merupakan titik tolak permulaan kerjaya ramai atlet kebangsaan yang bertaraf dunia, termasuk legenda badminton negara dan pemenang pingat Olimpik pertama Malaysia, Datuk Rashid Sidek, juara lapan kali Skuasy Terbuka Dunia, Datuk Nicol David, pemenang pingat Olimpik wanita pertama Malaysia, Dato Pandalela Rinong (terjun), pemenang pingat emas dua kali Paralimpik, Abdul Latif Romly (lompat jauh), serta atlet-atlet Olimpik yang lain seperti Nur Dhabitah Sabri (terjun), Welson Sim (renang) dan Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik artistik) yang kesemuanya merupakan bekas penerima Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO®.

Untuk maklumat lanjut tentang Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO®, layari: https://www.milo.com.my/ms/jom-aktif/anugerah-kpm-mssm-milo-jom-aktif

© 2023 BlackButterfly DesignArts