ANGKASA-X ke Angkasa Dengan SATELIT LEO Yang Direka di Malaysia Untuk Kegunaan Asia Tenggara

Pelancaran satelit A-SEANSAT-PG1 LEO akan memacu pembangunan ekosistem teknologi angkasa lepas Malaysia dan memajukan ekonomi di negara-negara sepanjang garisan khatulistiwa

Kuala Lumpur, 27 Jun 2023 – ANGKASA-X, syarikat global rangkuman teknologi-sosial Malaysia yang pernah memenangi pelbagai anugerah, telah berjaya melancarkan satelit A-SEANSAT-PG1 (“PG1”) buatan tempatan yang pertama, seterusnya memacu pembangunan ekosistem teknologi angkasa lepas di Malaysia dan Asia Tenggara.

Pelancaran tersebut telah disiarkan secara langsung di empat lokasi di Malaysia; Universiti Sains Malaysia (USM) di Georgetown, Pulau Pinang; Ibu Pejabat Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan pejabat GreenPro Capital di Kuala Lumpur; dan Sarawak Digital Economy Corporation Berhad (SDEC) di Kuching, Sarawak – disiarkan dari Vostochny Cosmodrome – disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di USM; dan Ketua Pengarah MYSA, Gs. Tuan Haji Azlikamil Napiah di MYSA.

Pasukan pelancaran satelit sulung ANGKASA-X ini diketuai oleh Dr. William Lim, Pengarah Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Operasi; dan Ir. Norhizam Bin Hamzah, Ketua Pegawai Teknologi Kumpulan, bersama pasukan kejuruteraan ANGKASA-X.

Dengan pelancaran satelit PG1, ANGKASA-X akan memanfaatkan pengetahuan teknologinya untuk menerajui perkhidmatan ‘Satellite-as-a-Service’ (SaaS) yang inovatif, untuk membentuk gugusan satelit Low-Earth-Orbit (“LEO”) di sepanjang garisan khatulistiwa, yang direka di Malaysia oleh jurutera Malaysia. Gugusan satelit LEO tersebut akan berhubung dalam mencapai inisiatif berwawasan syarikat dengan menyediakan perkhidmatan pengesan jarak jauh mampu milik dan merevolusikan perkhidmatan kesalinghubungan internet kepada jutaan pengguna di rantau ini, khususnya di kawasan luar bandar di Asia, seterusnya merapatkan jurang digital.

“Pelancaran satelit PG1, Penang1 merupakan satu peristiwa penting bagi Malaysia dalam mendorong ke arah era baharu kemajuan teknologi dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam ekosistem teknologi angkasa global. Saya berbesar hati untuk menyatakan bahawa Malaysia adalah negara pertama di Asia Tenggara yang mereka cipta, memasang dan melancarkan satelit LEO tempatan yang pertama pada 2009 dengan RazakSAT-1, dan kini PG1 pada 2023.” kata Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Pencapaian penting ini bukan sahaja meningkatkan kesalinghubungan data tetapi juga membuka pintu untuk inovasi dan pertumbuhan ekonomi. Dengan pelaburan dalam teknologi satelit & angkasa lepas, kami akan memacu pembangunan tenaga kerja mahir, membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi, dan membangunkan penyelesaian teknologi angkasa baharu untuk dipasarkan ke peringkat global. Penarikan pelaburan serta bakat domestik dan antarabangsa akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara. Pelancaran ini juga akan memupuk dan mendokong sebuah negara yang diperkasakan secara digital dan mengukuhkan status ANGKASA-X sebagai pemain utama dalam industri angkasa lepas. Kami menyambut baik usaha ANGKASA-X yang berwawasan dan teruja untuk pelancaran satelit ini ke arah kemajuan Malaysia di masa depan,” tambah beliau.

Satelit-satelit ini akan menghantar data yang sangat diperlukan oleh kerajaan, agensi keselamatan dan sektor swasta dalam bidang ramalan cuaca, pengesanan pesawat, pemantauan & keselamatan maritim dan pengimejan masa nyata di lokasi yang terdedah kepada potensi bencana seperti tanah runtuh, penebangan hutan dan lain-lain. Imej-imej daripada satelit akan memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko dan membantu usaha bantuan bencana untuk menyelamatkan jutaan nyawa dan juga menyediakan ciri geografi khusus yang akan membantu perancang bandar untuk membuat keputusan termaklum bagi pembangunan yang berkesan dan menyeluruh.

Tuan Haji Azlikamil, Ketua Pengarah MYSA yang hadir semasa pelancaran merakamkan penghargaannya dan ucapan tahniah kepada ANGKASA-X. Beliau berkata, “Pelancaran hari ini sejajar dengan objektif MYSA dan menjadi satu contoh yang baik tentang bagaimana kita boleh mencapai matlamat kita dengan kerjasama sektor swasta. Oleh itu, kami berbangga menjadi sebahagian daripada usahasama dengan ANGKASA-X, sebuah syarikat berwawasan yang telah mempamerkan pengetahuan teknikal yang luas dan berkomitmen terhadap kecemerlangan.”

Sementara itu, Dr. Sean Seah, Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif ANGKASA-X berkata, “Hari ini menandakan satu kejayaan luar biasa untuk ANGKASA-X dan pasukan jurutera Malaysia kami yang penuh dedikasi. Ia menonjolkan bakat luar biasa dan kemahiran kejuruteraan yang cemerlang, diiringi oleh usaha inovasi tanpa lelah untuk memacu ekonomi angkasa ASEAN.”

Beliau seterusnya menitikberatkan kepentingan pelancaran sulung ini, dengan menyatakan, “Kesalinghubungan adalah satu keperluan untuk manfaat manusia sejagat. Dengan pelancaran PG1 dan satelit kami yang seterusnya, kami komited untuk menghasilkan keterangkuman sosial dengan menawarkan perkhidmatan ‘Satellite-as-a-Service’ (SaaS) yang inovatif menerusi teknologi kami, kepada negara-negara di Asia Tenggara, khususnya kepada lebih 50% penduduk kawasan terpencil yang kini tidak mempunyai akses kepada internet. Misi utama kami adalah untuk menyediakan perkhidmatan satelit mampu milik kepada semua, terutamanya rantau yang kurang mendapat perkhidmatan di sepanjang garisan khatulistiwa.”

Dr. Seah menekankan kepentingan anjakan paradigma ini, dengan menyatakan, “Kita sedang menyaksikan detik penting dalam kemunculan era angkasa baharu, yang mana pemerolehan slot orbit angkasa, pembangunan bakat teknologi angkasa, R&D, pembinaan & pelancaran satelit tempatan dan kejuruteraan penyelesaian satelit & aplikasi akan memberi manfaat kepada Malaysia, Asia Tenggara dan seterusnya dunia.”

Pelancaran PG1 adalah sejajar dengan objektif Rancangan Malaysia Ke-12 dengan menyumbang kepada pembangunan negara dan proses memajukan bakat masa depan. Kemajuan ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan menarik pekerjaan bergaji tinggi, khususnya dalam industri angkasa, sekali gus menyemai pembangunan bakat di Malaysia.

ANGKASA-X bercita-cita untuk menjadi Unicorn Teknologi Angkasa yang pertama di Asia Tenggara dengan objektif utamanya, mempercepatkan pembangunan Ekonomi Angkasa ASEAN dan membantu pembangunan negara-negara di sepanjang garisan khatulistiwa yang memerlukan perkhidmatan satelit untuk mengawal keselamatan negara dan menyediakan kesalinghubungan internet satelit kepada penduduk luar bandar. Maklumat lanjut tentang ANGKASA-X dan satelit PG1 boleh didapati di www.angkasa-x.com.

© 2023 BlackButterfly DesignArts