Alaska Mining Jual 51% Kepentingan Kepada Pakar Teknologi Nano Australia

Pemegang saham tunggal Syarikat, Lee Hon Kit, akan terima A$5.0 juta dalam bentuk saham baru Nanopac daripada penjualan itu

Kuala Lumpurf, 15 Ogos 2022Alaska Mining Sdn Bhd (“Alaska Mining” atau “Syarikat”) mengumumkan bahawa pemegang saham tunggalnya, Encik Lee Hon Kit (“Lee”) akan menjual 51% kepentingan dalam Syarikat bernilai A$5.0 juta (RM15.2 juta) di bawah perjanjian jualan saham kepada Nanopac Alaska Sdn Bhd (“NASB”).

NASB adalah unit kepada Nanopac Innovation Limited (“Nanopac”), yang disenaraikan di National Stock Exchange of Australia yang berpangkalan di Sydney. Secara asasnya Nanopac terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan, pembuatan, pengedaran dan memberi perkhidmatan berkaitan bahan dan produk teknologi nano. Perniagaan lain Nanopac merangkumi panel NanoSolar dan membekal bahan mentah kepada industri cat. Encik Lee adalah pemegang saham tunggal Alaska Mining, iaitu pakar bagi kerja-kerja tanah dan perlombongan serta pedagang bagi pelbagai jenis barangan dan penyedia perkhidmatan logistik.

Di bawah perjanjian itu, penjualan 51% kepentingan di dalam Alaska Mining oleh Encik Lee kepada NASB akan disempurnakan dengan penerbitan saham baru dalam Nanopac yang akan dibayar secara dua peringkat. Peringkat pertama saham baru yang berjumlah A$2.5 juta (RM7.7 juta) akan dibayar secara pendahuluan selepas perjanjian jualan saham manakala peringkat kedua saham baru berjumlah A$2.5 juta (RM7.7 juta) akan dibayar selepas Syarikat mencapai untung bersih A$5.0 juta (RM15.2 juta). Sebagai sebahagian daripada perjanjian jualan saham, Encik Lee akan dilantik menjadi pengarah urusan Alaska Mining.

Alaska Mining telah diberi hak melombong pasir untuk diproses menjadi silika dan ilmenit, di mana sebuah kumpulan perniagaan China telah bersetuju untuk perjanjian dagangan berhubung sebahagian daripada ilmenit yang dihasilkan.

Lee menyatakan bahawa beliau bersedia untuk bekerjasama dengan NASB dan Nanopac membangunkan perniagaan melombong dan pada masa yang sama memastikan terdapat aliran tetap silika bagi pengeluaran panel Nano-Solar dan ilmenit bagi produk catnya.

“Perolehan ini memberi kelebihan kepada Nanopac kerana ia memastikan aliran tetap bahan mentah bagi panel Nano-Solar dan produk sedia ada, yang sekiranya tidak, perlu diperoleh daripada pihak ketiga.”

“Operasi perlombongan juga memberi sumber pendapatan berulang kepada Nanopac kerana silika dan ilmenit yang tidak diperlukannya akan dijual kepada pihak lain di samping memastikan operasi perlombongan kekal mapan secara komersial, berikutan perjanjian dagangan dengan kumpulan perniagaan China.”

Encik Tobby Tan, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif NASB berkata, “Kami mengalu-alukan kedatangan Encik Lee ke keluarga Nanopac dan kami percaya bahawa dengan pengetahuan dan pengalamannya, kami akan dapat mengembangkan lagi perniagaan perlombongan ini. Kami juga percaya bahawa perolehan kepentingan ini akan menambah kepada keupayaan  pengeluaran kami dan adalah sesuatu yang positif kepada perkembangan perniagaan panel solar dan cat Nanopac.”

© 2023 BlackButterfly DesignArts