Kuala Lumpur, 5 Mac 2024 – İstanbul, menyajikan pengalaman pengembaraan yang tidak dapat dilupakan dan begitu unik buat pengunjungnya, juga merupakan adunan warisan dan tradisi yang boleh dihayati sepanjang Ramadan. Sepanjang bulan ini, terserlahnya suasana kerohanian, namun selain daripada menjalani ibadah dan solat, semangat keraian tetap terasa. Pada waktu petang, meja untuk berbuka puasa disediakan di dataran kota tatkala keluarga, rakan dan mereka yang tidak dikenali berhimpun untuk berkongsi dan menikmati hidangan. Kunjungi İstanbul sepanjang Ramadan iaitu antara 11 Mac hingga 9 April tahun ini, dan alami sisi berbeza kota ini.
Tradisi Berabad Lamanya
Satu tradisi Ramadan yang menarik di İstanbul dikenali sebagai mahyas, peninggalan daripada zaman Uthmaniyyah. Berabad lamanya, menara masjid dilitupi dengan kain rentang yang tertulis mesej tentang Ramadan dan, pada masa ini, mesej berkenaan ditulis dengan cahaya lampu – suatu pemandangan yang menggembirakan sekitar waktu petang dan Asar. Satu lagi amalan yang menarik adalah panggilan untuk Sahur yang dilakukan oleh sekumpulan pemain dram Ramadan yang memeriahkan jalanan. Sambil mengumpul upah, para pemuzik ini mengiringi permainan dram mereka dengan keindahan ‘manis’ iaitu deklamasi puisi mengenai Ramadan untuk mengejutkan penduduk bersahur sebelum panggilan azan Subuh. Waktu untuk ‘iftar’ iaitu tempoh berakhirnya puasa pada hari berkenaan diumumkan dengan laungan azan dan bunyian meriam.
Deretan Meja Berbuka Puasa
Jiran tetangga, rakan taulan dan ahli keluarga berhimpun di meja iftar untuk berbuka puasa dengan seteguk air, buah zaitun atau kurma. Di atas meja yang sarat dengan pelbagai masakan Turki paling enak, sajian yang pastinya sangat dinanti ialah roti pita Ramadan (Ramazan pidesi). Sejenis sajian tradisi berabad lamanya, roti ini hanya boleh didapati ketika Ramadan dan begitu ramai beratur panjang di hadapan kedai roti apabila menjelangnya waktu berbuka puasa. Satu lagi hidangan istimewa Ramadan ialah güllaç, pencuci mulut Turki yang terkenal. Dinamakan sempena air mawar yang ditambah pada puding, pencuci mulut yang ringan dan bersusu ini merupakan makanan ruji dalam hidangan berbuka puasa.
Meskipun meja untuk berbuka puasa di kediaman warga İstanbul menggambarkan kemeriahan Ramadan, himpunan meja iftar yang disediakan di kawasan dataran terkenal seperti Sultanahmet, mengukuhkan semangat perpaduan, kemasyarakatan dan perkongsian. Di samping itu, hidangan berbuka puasa turut diagihkan kepada mereka yang tidak dapat pulang ke rumah sebelum waktu berbuka di khemah Iftar yang disediakan di beberapa tempat berbeza di İstanbul. Menjamah hidangan berbuka puasa bersama-sama ini yang amat dirasai keberkatannya Ramadan, juga merupakan cara yang baik untuk merasai nikmat kerohanian berbuka puasa. Ia juga satu tradisi yang dihormati di kota ini untuk berbuka puasa bersama rakan-rakan di restoran moden atau tradisional yang menyediakan menu istimewa Ramadan.
Perjalanan Kerohanian di İstanbul
İstanbul, satu-satunya bandar di dunia yang yang merentasi dua benua dengan berlatarkan warisan budaya tamadun yang dimilikinya, merupakan destinasi yang sentiasa mempesona. Ramadan merupakan masa yang sesuai untuk meneroka tapak bersejarah dan suci di kota ini terutama tinggalan daripada zaman Kesultanan Uthmaniyyah. Salah satunya ialah Masjid Eyüp Sultan yang menempatkan makam Khalid bin Zeyd Abu Eyyub El-Ansari, seorang sahabat Nabi Muhammad. Beberapa tapak suci lain di kota
ini termasuklah Masjid Sultanahmet, Makam Oruç Baba dan Masjid Süleymaniye. Sepanjang Ramadan, anda boleh menyaksikan Hırka-i Şerif dan Sakal-i Şerif (janggut dan mantel) Nabi Muhammad di Masjid Hırka-i Şerif dan mengunjungi Istana Topkapı yang dulunya pernah menjadi kediaman kalangan sultan Uthmaniyyah. Di jabatan Peninggalan Suci Istana berkenaan (Kutsal Emanetler Bölümü), pelbagai artifak yang tidak ternilai harganya dipamerkan, termasuklah barangan yang dipercayai milik Nabi Muhammad, para Sahabat dan para Nabi yang lain, di samping pintu, pancur emas dan kunci Kaabah.
Hiburan yang menyemarakkan Semangat Ramadan
Selesai solat Tarawih, İstanbul mulai meriah dengan cahaya dan kilauan bersama auranya tersendiri yang menyerlah di kota ini. Pelbagai acara yang dianjurkan di dataran awam seperti Feshane dan Sultanahmet, adalah antara pelbagai tarikan yang menjadikan Ramadan di Istanbul begitu istimewa: Persembahan konsert muzik Sufi, deklamasi puisi dan ‘Karagöz dan Hacivat’ tradisional terus menyemarakkan semangat Ramadan sehingga waktu sahur.
Berakhirnya Ramadan, İstanbul meraikan Aidilfitri penuh bergaya. Pagi Aidilfitri dimulakan dengan Solat Aidilfitri dan selepas solat, anda akan saksikan warga İstanbul berpakaian indah untuk mengunjungi keluarga dan rakan taulan. Selepas meluangkan masa dengan mereka yang tersayang, menjadi adat kepada penduduk tempatan untuk bersiar-siar sambil menikmati suasana hari raya yang indah dengan mengunjungi masjid, istana, tempat bersejarah dan beberapa kawasan lain di kota ini. Hentian ikonik seperti Grand Bazaar dan Spice Bazaar sering dikunjungi dalam lawatan istimewa ini untuk menikmati pengalaman membeli-belah serba istimewa di Aidilfitri.