Kuala Lumpur, 12 Oktober 2021 — Airbnb hari ini melancarkan Anugerah Penginapan Hijau Airbnb di Malaysia, sebuah inisiatif anugerah baharu yang mengiktiraf penginapan perjalanan lestari di negara ini. Dengan pengumuman terkini yang membenarkan perjalanan rentas negeri dan percutian domestik, Anugerah ini sejajar dengan strategi perjalanan terbaru Kerajaan Malaysia dalam Rancangan Malaysia ke-12 untuk menghidupkan semula pelancongan tempatan, dan usaha berterusan Airbnb untuk membantu membangun semula pelancongan dengan lebih banyak lagi berkesinambungan dan inklusif, selaras dengan strategi Kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-12 baru-baru ini.
Dengan kerjasama Majlis Pelancongan Lestari Global (GSTC) dan Persatuan Ekopelancongan dan Pemuliharaan Malaysia (ECOMY), Anugerah perdana ini bertujuan untuk mengiktiraf dan meraikan penyedia penginapan pelancongan tempatan kecil di Malaysia yang telah menerapkan amalan lestari ke dalam operasi mereka, berdasarkan kriteria kelestarian yang dibangunkan dengan panduan daripada kedua-dua rakan kongsi.
Airbnb, GSTC dan ECOMY akan menjadi panel pengadil untuk Anugerah perdana ini. Pencalonan akan dinilai merentasi pelbagai kriteria, termasuk penggunaan produk hijau, pengurusan sisa, pemuliharaan tenaga, pemuliharaan air dan pemuliharaan biodiversiti. Penyedia hospitaliti Malaysia kini boleh menghantar penyertaan mereka untuk menyertai Anugerah ini mulai sekarang hingga 24 Oktober 2021 di airbnb.com.my/malaysiagreenstays. Penerima-penerima Anugerah akan diumumkan pada bulan November tahun ini.
Semua penerima Anugerah Penginapan Hijau Airbnb akan ditampilkan dalam kempen perjalanan lestari Airbnb yang akan datang, termasuk laman sesawang khusus yang mempromosikan penginapan ini. Penerima anugerah juga akan berpeluang untuk menghadiri bengkel kelestarian dan sesi rangkaian yang bersesuaian bersama pakar global, yang akan berkongsi amalan terbaik dan cadangan tempatan tentang cara untuk meningkatkan amalan kelestarian dalam jangka panjang.
Perjalanan Lestari Semakin Meningkat
Perjalanan hijau dan lestari semakin mendapat kesedaran di kalangan pengembara Malaysia. Menurut Tinjauan Trend Perjalanan Bermakna Airbnb 2021* dengan firma analisis data global YouGov, yang meneroka pilihan dan tingkah laku perjalanan tempatan di tengah-tengah pandemik COVID-19 yang masih berlarutan:
Membina Semula Pelancongan Malaysia dengan Perjalanan Lestari
Bersempena dengan pelancaran Anugerah ini, Airbnb mengadakan perbincangan panel maya bertajuk ‘Membina Semula Pelancongan Malaysia dengan Perjalanan Lestari’ bersama pakar dan penyokong kelestarian terkenal termasuk Dr. Mihee Kang, Pengarah Asia Pasifik untuk GSTC; Andrew Sebastian, Presiden, Pengasas & CEO ECOMY; dan Maya Karin, pelakon dan pencinta alam sekitar Malaysia. Syed Ahmad bin Syed Mustafa, Ketua Pegawai Operasi Pusat Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia menyampaikan ucapan pembukaan.
Ahli panel membincangkan kepentingan memupuk perjalanan lestari di Malaysia; cabaran yang terlibat dalam memacu pelancongan lestari di peringkat tempatan; dan bagaimana pengembara, pemain industri dan komuniti tempatan secara kolektif dapat membina semula bentuk perjalanan pasca-wabak yang lebih bertanggungjawab dan prihatin terhadap alam sekitar di Malaysia.
Amanpreet Bajaj, Pengurus Besar Airbnb untuk Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan, berkata: “Airbnb kekal fokus untuk memainkan peranan yang positif dan proaktif dalam menyokong pemulihan pelancongan domestik lebih-lebih lagi apabila perjalanan rentas negeri telah dibenarkan. Airbnb dan komuniti hos tempatan kami komited untuk membantu membina semula pelancongan dengan cara yang memberi manfaat kepada komuniti tempatan di seluruh Malaysia, menggalakkan ekopelancongan dan pengalaman budaya yang tulen serta memacu pemulihan ekonomi. Kelestarian akan memainkan peranan penting dalam usaha ini untuk membina semula perjalanan, dan kami menyokong tumpuan Kerajaan terhadap kelestarian sebagai sebahagian daripada strateginya untuk menggiatkan semula pelancongan di bawah Rancangan Malaysia ke-12. Kami tahu bahawa rakyat Malaysia menghargai perjalanan yang lestari, dan kami berazam untuk mempromosikan penginapan yang unik dan mesra alam sekitar serta memacu lebih banyak keterlihatan dan minat pengguna melalui Anugerah julung-julung kalinya diadakan ini.”
Syed Ahmad bin Syed Mustafa, Ketua Pegawai Operasi, MGTC, berkongsi: “Rancangan Malaysia ke-12 baru-baru ini dan komitmen kerajaan Malaysia terhadap Paris Agreement (COP 2021) menandakan kesediaan negara untuk memajukan ekonominya ke arah yang lebih hijau. Kelonggaran sekatan perjalanan kini memberi peluang kepada sektor pelancongan untuk diberi nafas baru. Dengan penutupan perbatasan antarabangsa yang berterusan, adalah wajar bagi para pengendali industri pelancongan untuk menyusun semula cara pemasaran mereka dengan mengamalkan amalan yang lestari. Kita perlu mengukuhkan usaha bersama bagi menuju ke arah pemulihan yang berterusan, adil dan inklusif. Saya yakin ini akan memberi kesan besar kepada pembangunan pelancongan lestari di Malaysia, berdasarkan komitmen kerajaan serta sokongan daripada pengendali penginapan pelancongan tempatan yang ditunjukkan melalui semangat penyertaan hari ini.”
Dr. Mihee Kang, Pengarah Asia Pasifik, GSTC, menambah: “Sebagai rakan kongsi global Airbnb, GSTC berbesar hati menjadi sebahagian daripada usaha bersama ini untuk melancarkan anugerah penginapan perjalanan hijau Airbnb yang pertama. Anugerah Penginapan Hijau ini merupakan tonggak dan langkah penting dalam menentukan standard pelancongan lestari di Malaysia dan di seluruh rantau Asia Pasifik. Semua pemain industri seharusnya terlibat dalam perbincangan mengenai perjalanan lestari ini, dan ini berlangsung tepat pada masanya ketika kami berusaha untuk membangkitkan kembali sektor pelancongan.”
Andrew Sebastian, Presiden, Pengasas & CEO, ECOMY, berkata: “Pelancongan lestari dan pemuliharaan telah menjadi misi teras untuk ECOMY, dan kami teruja untuk bekerjasama dengan Airbnb dan GSTC dalam memupuk kesedaran dan pendidikan tempatan yang lebih baik. Apabila sektor pelancongan beransur pulih di seluruh negara, kami berharap Anugerah ini akan meraikan dan meningkatkan perniagaan penginapan perjalanan mesra alam kecil kami, menggalakkan penerapan amalan hijau di seluruh Malaysia, dan memacu perjalanan yang lebih hijau dan lebih lestari.”
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Anugerah Penginapan Hijau Airbnb, layari airbnb.com/malaysiagreenstays.
*Nota: Airbnb dan YouGov telah meninjau seramai 1,140 rakyat Malaysia antara 4-8 Februari 2021.