Air Selangor Raikan Ulang Tahun Kelima dengan Hydrocade Roadshow Penuh Aktiviti Menarik

Air Selangor Raikan Ulang Tahun Kelima dengan Hydrocade Roadshow Penuh Aktiviti Menarik

Kuala Lumpur, 25 Oktober 2024 – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) meraikan ulang tahun kelima dengan menganjurkan Hydrocade Roadshow yang penuh dengan pelbagai aktiviti menarik yang akan berlangsung di AEON Mall, Shah Alam, pada 30 Oktober hingga 3 November 2024, bermula daripada jam 10:00 pagi hingga 10:00 malam.

Acara istimewa sempena sambutan ulang tahun Air Selangor ini dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran tentang peranan dan tanggungjawab Air Selangor dalam menyediakan perkhidmatan air terawat yang bersih dan selamat serta memupuk kesedaran tentang kepentingan sumber air di kalangan pengguna.

Adam Saffian Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor berkongsi, “Peranan kami di Air Selangor bukan sahaja untuk memastikan bekalan air terawat bersih dan selamat kepada pengguna, tetapi juga untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan kelestarian air. Melalui acara seperti Hydrocade Roadshow ini, kami berpeluang untuk mendekati masyarakat, terutamanya golongan muda, untuk berkongsi mengenai peranan kami serta tanggungjawab mereka dalam menjaga sumber air berharga demi kepentingan generasi akan datang.”

Pelbagai aktiviti bersifat pendidikan dan hiburan akan ditampilkan di Hydrocade Roadshow yang direka khas untuk seisi keluarga, antaranya pameran interaktif ‘Joy Water Journey’ yang bertujuan memberi pemahaman yang lebih mendalam tentang tanggungjawab Air Selangor dalam pengurusan air. Selain itu, pengunjung juga dapat mempelajari cara-cara pemuliharaan air melalui ‘Ruang Pameran Pemuliharaan Air’ dan mendaftar untuk Skim Air Darul Ehsan (SADE) yang ditawarkan kepada golongan B40 yang layak.

Pengunjung akan turut dihiburkan dengan penampilan khas watak animasi popular, BoBoiBoy, di mana mereka boleh mengambil bahagian dalam pelbagai permainan interaktif yang disediakan. Para pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah-hadiah eksklusif seperti keychain Ochobot, beg tote edisi terhad Air Selangor, buku aktiviti BoBoiBoy, dan banyak lagi.

Hydrocade Roadshow turut dimeriahkan dengan kehadiran rakan radio rasmi, Kool 101, dan rakan-rakan pameran yang terlibat iaitu Oatside, Yakult, Champs dan Helo Moo.

Untuk maklumat lanjut tentang air dan Air Selangor, orang ramai boleh layari Hydro Hub, platform kandungan sehenti Air Selangor di www.hydrohub.airselangor.com.

Air Selangor Raikan Ulang Tahun Kelima dengan Hydrocade Roadshow Penuh Aktiviti Menarik – RAMARAMA
© 2024 BlackButterfly DesignArts