5 Mitos Mengenai Antibiotik Yang Perlu Dihentikan oleh Warga Malaysia

Artikel oleh Profesor Dr. Zamberi Sekawi Profesor dan Pakar Perunding Kanan Mikrobiologi Klinikal Universiti Putra Malaysia (UPM)

5 Mitos Mengenai Antibiotik Yang Perlu Dihentikan oleh Warga Malaysia

Secara asasnya, antibiotik telah membentuk semula landskap perubatan moden dan muncul sebagai sekutu penting dalam melawan penyakit berjangkit yang dahulunya dianggap berbahaya atau boleh mengakibatkan maut. Pengubatan yang kuat telah merevolusikan penjagaan kesihatan dengan mentransformasikan jangkitan yang dahulunya mengancam nyawa menjadi keadaan yang boleh dirawat, sekaligus mengurangkan kadar kematian secara drastik dan meningkatkan kualiti hidup berbilang individu. Namun, penyalahgunaan dan preskripsi antibiotik secara berlebihan—khususnya untuk sakit tekak yang kebanyakannya berpunca daripada virus—kini menjadi isu serius yang mengancam keberkesanan antibiotik dalam jangka panjang. Trend ini mendorong peningkatan rintangan antimikrob (AMR), satu isu yang bukan hanya menjejaskan kesihatan individu, malah kesihatan awam pada skala global. Jika krisis ini dibiarkan merebak tanpa dipantau, kita mungkin berhadapan dengan era pasca-antibiotik yang menakutkan, yang mana jangkitan biasa berupaya menjadi risiko kesihatan yang serius dan prosedur perubatan rutin menjadi lebih berisiko.

Di Malaysia, cabaran ini semakin meruncing dengan kurangnya kesedaran serta salah faham yang berleluasa mengenai antibiotik. Walaupun pelbagai kempen pendidikan dan inisiatif bermatlamat meningkatkan kesedaran telah dilaksanakan, masih ramai yang memegang teguh kepada kepercayaan yang boleh menjurus kepada amalan yang menjejaskan, seperti mengambilnya tanpa preskripsi doktor atau menghentikan rawatan terlalu awal. Ini amat membimbangkan bagi kes sakit tekak, yang mana penggunaan antibiotik yang tidak diperlukan akan menyumbang kepada rintangan. Kebanyakan kes sakit tekak berbentuk viral dan tidak memerlukan antibiotik. Dlaam kes sebegini, menguruskan gejala dengan ubat tahan sakit, penghidratan mencukupi, serta semburan tekak dengan agen anti-radang boleh memberikan kelegaan yang berkesan, seperti yang disarankan dalam konsensus multidisiplin terkini mengenai rawatan sakit tekak di Malaysia.

Adalah penting untuk membetulkan salah faham ini dengan memberikan maklumat yang tepat dan jelas bagi menggalakkan penggunaan antibiotik yang bertanggungjawab dalam kalangan orang awam dan penyedia penjagaan kesihatan. Misi ini sangat penting, kerana setiap hari yang berlalu tanpa sebarang tindakan boleh menjejaskan kemajuan perubatan yang telah tercapai menggunakan pengubatan yang menyelamatkan nyawa ini. Adalah penting bahawa kita bertindak secara tegas bagi memupuk satu budaya pemahaman dan tanggungjawab berkaitan penggunaan antibiotik, bagi memastikan masa depan yang lebih sihat buat semua. Berikut adalah lima salah faham utama yang perlu ditangani:

Mitos 1: Antibiotik Boleh Merawat Jangkitan Virus

Salah faham yang paling berulang-ulang ialah kepercayaan bahawa antibiotik boleh merawat jangkitan virus seperti selesema, demam, atau sakit tekak yang lazimnya disebabkan oleh virus. Ini tidak benar; antibiotik hanya berkesan terhadap jangkitan bakteria, namun,masih ramai yang menyalahgunakannya untuk penyakit virus. Secara global, kajian menunjukkan sekurang-kurangnya 50% antibiotik dipreskripsikan secara tidak tepat untuk jangkitan virus, sekaligus menyumbang kepada peningkatan rintangan yang tidak diperlukan.

Mitos 2: Berhenti Mengambil Antibiotik Lebih Awal Adalah Selamat Jika Gejala Telah Berkurang

Ramai pesakit menghentikan pengambilan antibiotik apabila mereka mula berasa lebih sihat, dengan anggapan jangkitan telah sembuh. Pemberhentian terlebih awal ini adalah penyumbang utama kepada rintangan. Bakteria yang masih hidup selepas rawatan yang tidak lengkap boleh menyesuaikan diri, bermutasi, dan menjadi tahan terhadap antibiotik, menjadikan jangkitan di masa akan datang lebih sukar untuk dirawat. Oleh itu, adalah penting untuk menghabiskan keseluruhan dos antibiotik yang telah ditetapkan oleh doctor bagi memastikan semua bakteria yang merbahaya dihapuskan.

Mitos 3: Rintangan Antibiotik Berlaku Pada Manusia, Bukan Bakteria

Satu salah faham yang biasa adalah bahawa tubuh manusia membentuk rintangan terhadap antibiotik. Realitinya, bakteria yang menjadi tahan menjadikan rawatan tidak berkesan. Penyalahgunaan antibiotik untuk penyakit seperti sakit tekak, selesema, atau demam – keadaan yang lazimnya diakibatkan oleh virus – menjadikan bakteria semakin kebal, dan jangkitan yang dahulunya mudah dirawat kini sukar diatasi. Apabila rintangan meningkat, jangkitan yang dahulunya dirawat dengan mudah menggunakan antibiotik kini mungkin memerlukan pengubatan yang lebih kuat serta lebih mahal tetapi mungkin tidak selalunya berkesan.

Mitos 4: Berkongsi atau Menggunakan Antibiotik Lebihan Tidak Merbahaya

Ramai warga Malaysia menyimpan lebihan antibiotik untuk digunakan kemudian atau dikongsi dengan ahli keluarga, dengan anggapan ia satu penyelesaian yang praktikal. Amalan ini amatlah merbahaya. Setiap jangkitan memerlukan jenis antibiotik, dos, dan tempoh rawatan yang khusus. Pengambilan pengubatan yang salah – atau dos yang salah – bukan sahaja gagal merawat jangkitan, tetapi juga meningkatkan  rintangan.

Mitos 5: Antibiotik Diperlukan Untuk Semua Jangkitan

Tidak semua jangkitan bakteria memerlukan antibiotik. Jangkitan bakteria ringan boleh sembuh sendiri dengan rehat dan penghidratan yang mencukupi. Preskripsi antibiotik secara berlebihan untuk jangkitan ringan – terutamanya sakit tekak yang kebanyakannya berpunca daripada virus – hanya mempercepatkan rintangan, mengurangkan pilihan rawatan, dan meningkatkan risiko jangkitan super. Dalam kes seperti ini, rawatan simptomatik seperti semburan tekak dengan pengubatan dos rendah agen anti-radang mungkin lebih sesuai, seperti yang disarankan oleh pakar perubatan di Malaysia.

Cabaran rintangan antimikrob (AMR) membuka peluang penting untuk perubahan positif. Setiap individu berpotensi untuk menyumbang kepada masa hadapan yang lebih sihat dengan membuat keputusan termaklum dan menggunakan antibiotik secara lebih bertanggungjawab. Dengan menggalakkan orang di sekeliling kita untuk mengamalkan amalan yang sama, kita dapat membantu mengekalkan keberkesanan antibiotik untuk generasi akan datang.

Malaysia telah mencapai kemajuan dalam meningkatkan kesedaran mengenai AMR. Dengan usaha pendidikan yang berterusan, pelaksanaan dasar yang lebih ketat, serta komitmen bersama dalam penggunaan antibiotik secara bertanggungjawab, kita boleh melambatkan rintangan dan melindungi kesihatan awam. Tindakan mudah dan bertanggungjawab – seperti melengkapkan rawatan antibiotik sepenuhnya, mengelakkan pengubatan sendiri dan mendidik orang lain – boleh memberi kesan yang besar.

Daripada melihat kemungkinan era pasca-antibiotik dengan ketakutan, kita boleh menumpu pada potensi untuk kemajuan perubatan yang berterusan, yang mana antibiotik kekal sebagai alat penting dalam rawatan jangkitan dan sistem kesihatan kita menjadi lebih berdaya tahan. Adalah penting untuk mengiktiraf bahawa antibiotik tidak selalu diperlukan, khususnya bagi keadaan biasa seperti sakit tekak, selesema, dan demam, yang lazimnya disebabkan oleh virus. Dalam kes sedemikian, rawatan simptomatik seperti semburan tekak dengan pengubatan dos rendah agen anti-radang adalah alternatif yang disarankan. Dengan bekerjasama, kita berupaya untuk mentakrif semula naratif berkaitan antibiotik – bukan sebagai satu sumber yang hilang akibat penyalahgunaan tetapi sumber yang kita lindungi dan pertingkatkan melalui ilmu pengetahuan, tanggungjawab dan usaha proaktif.

© 2024 BlackButterfly DesignArts