
PETALING JAYA, 14 Mac 2025 – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), di bawah seliaan Kementerian Digital Malaysia, hari ini meneruskan komitmennya dalam memperkasakan komuniti Orang Asli melalui Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI), satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi fokus kepada pembangunan digital dan ekonomi komuniti Desa Temuan, Damansara Perdana.
Selari dengan konsep Santuni MADANI yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, program ini bertujuan membangun masyarakat inklusif melalui sokongan sosioekonomi dan libat urus berterusan. Desa Temuan dipilih sebagai kampung angkat Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Encik Anuar Fariz Fadzil, melambangkan komitmen jangka panjang dalam pembangunan komuniti Orang Asli.
Menerusi program ini MDEC telah menyumbangkan pek barang makanan asas kepada keluarga yang memerlukan, serta menyerahkan perabot seperti meja dan kerusi untuk Makmal Komputer Sekolah Kebangsaan Bukit Lanjan. Menyemarakkan bulan Ramadan, bubur lambuk turut diagihkan kepada penduduk, diikuti dengan majlis berbuka puasa bersama komuniti.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Encik Anuar Fariz Fadzil turut menyatakan bahawa MDEC komited dalam memastikan komuniti seperti Desa Temuan dapat mengakses manfaat ekonomi digital, selain memperkasakan mereka melalui inisiatif pembangunan jangka panjang.
Program Santuni MADANI turut mendapat sokongan daripada Yang Beradat Tok Batin Desa Temuan, Encik Atak bin Akop, sukarelawan MDEC, serta masyarakat setempat.
Sejak beberapa tahun lalu, MDEC telah melaksanakan pelbagai inisiatif di Desa Temuan bagi memperkukuh pemahaman teknologi digital serta membuka peluang ekonomi untuk masyarakat Orang Asli.
Pada tahun 2021, program perintis #SayaDigital telah diperkenalkan dan berjaya melatih lebih 300 peserta dalam kemahiran digital. Program ini merangkumi kelas fizikal dan dalam talian untuk membantu masyarakat Orang Asli memahami penggunaan teknologi dalam kehidupan harian dan ekonomi digital.
MDEC turut melaksanakan program Digital Enablement, di mana 250 komputer riba telah disediakan kepada pelajar di Desa Temuan bertujuan untuk memastikan anak-anak kampung ini dapat mengikuti pembelajaran dalam talian dengan lebih baik bagi membina masa depan yang lebih cerah melalui teknologi.
Semasa pandemik COVID-19, MDEC juga telah menyalurkan bantuan makanan kepada lebih 300 keluarga Orang Asli Desa Temuan, bagi memastikan keperluan asas mereka terus terjaga.
Selain pendidikan dan sumbangan makanan, pada September 2021, MDEC turut memberi fokus kepada pembangunan ekonomi melalui sektor pertanian moden dengan memperkenalkan Projek Digital AgTech, bagi membantu komuniti Orang Asli menerapkan teknologi dalam pertanian bandar menggunakan teknologi IR 4.0, seperti sistem kawalan automatik, sensor pintar dan aplikasi digital untuk meningkatkan hasil pertanian.
MDEC berhasrat memperluaskan program CSR ke lebih banyak kawasan, bagi memastikan semua komuniti mendapat akses digital lebih luas, selaras dengan agenda Pembangunan Mampan (SDG).