Sebanyak RM300,000 akan disumbangkan menerusi kerjasama dengan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) bagi menyokong bantuan kecemasan untuk komuniti terjejas akibat banjir
Kuala Lumpur, 23 Disember 2024 – Coway, syarikat Best Life Solution, tampil menghulurkan bantuan buat komuniti yang terjejas oleh banjir kilat yang melanda baru-baru ini dengan sumbangan dana sebanyak RM300,000. Sumbangan ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Coway dalam memberi kembali kepada komuniti dan memupuk daya tahan pada waktu yang mencabar.
Menerusi kerjasama dengan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), Coway komited dalam menyalurkan bantuan serta-merta dan pertolongan kepada mangsa banjir terutamanya di Kelantan, Terengganu, Kedah serta negeri-negeri lain yang turut terjejas. Kira-kira 2,259 isi rumah bersamaan 11,925 mangsa banjir telah terlibat secara langsung, sekali gus menekankan kepentingan usaha baik pulih yang menyeluruh.
Komitmen jangka panjang Coway dalam tanggungjawab sosial korporat menjadi teras inisiatif ini, mencerminkan nilai-nilai terasnya yang menitikberatkan keprihatinan terhadap masyarakat. Justeru itu, usaha bantuan ini akan diperluaskan ke 45 pusat komuniti di kawasan terjejas dengan menyediakan sumber dan sokongan penting untuk membantu keluarga serta komuniti setempat dalam proses pemulihan.
Usaha ini dikukuhkan lagi menerusi kerjasama dengan BSMM, sebuah pertubuhan kemanusiaan terkenal dengan kepakaran bantuan bencana yang akan memastikan bantuan disalurkan kepada individu yang memerlukan. Kerjasama ini akan membekalkan barangan keperluan asas seperti makanan, produk kebersihan dan peralatan mencuci seperti mesin penyembur air tekanan tinggi, mop, pembasmi kuman dan penyental lantai bagi membantu isi rumah dalam proses pembersihan kediaman serta kawasan persekitaran mereka.
Dengan kepakaran BSMM dalam pengurusan bencana dan rangkaian sukarelawan yang meluas di seluruh Malaysia, kerjasama ini akan memastikan sumbangan disalurkan dengan berkesan, menyediakan bantuan serta-merta seperti bekalan keperluan asas, tempat tinggal dan bantuan lain kepada komuniti yang terjejas akibat banjir.
Kyle Choi, Ketua Pegawai Eksekutif Coway Malaysia, berkata, “Kesejahteraan rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan kami. Kami berusaha untuk meningkatkan kualiti hidup melalui produk kami, namun pada masa yang sama, kami juga bertekad menjadi tulang belakang bagi masyarakat ketika masa sukar. Banjir kilat ini telah menjejaskan ramai individu dan kami berharap sumbangan ini serta kerjasama bersama Bulan Sabit Merah Malaysia, ia dapat meringankan beban serta memberikan kelegaan yang amat diperlukan kepada semua keluarga yang terjejas.”
Dalam usaha Malaysia untuk beransur pulih daripada kemusnahan yang terjadi akibat banjir kilat, Coway akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi untuk menghulurkan bantuan di kawasan-kawasan yang memerlukan. Menerusi komitmen berterusan ini, Coway berharap untuk menjadi sumber kekuatan dan harapan bagi rakyat Malaysia.