Desa Tebrau, 28 November 2024 – Lotuss Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) terus komited dalam meningkatkan kebolehpasaran Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan. Pada kali ini, tumpuan diberikan kepada jenama PKS Johor melalui peluasan Kempen Beli Barangan Malaysia ke selatan tanah air, iaitu di Johor Bahru. Ini merupakan kali pertama Lotus’s Malaysia membawa inisiatif sokongan PKS ke luar kawasan Lembah Klang.
Kempen yang dilancarkan bermula Ogos 2024 ini telah dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tujuh tahun berturut-turut. Acara ini akan berlangsung di cawangan Lotus’s Desa Tebrau peruncit tersebut bermula dari 28 November hingga 1 Disember 2024.
Melalui penganjuran kempen ini, Lotus’s Malaysia terus berusaha dalam menyediakan platform bagi PKS Johor untuk mempromosikan produk mereka bukan sahaja kepada pengguna tempatan tetapi juga kepada pelanggan dari negara jiran seperti Singapura.
“Kami memahami tanggungjawab kami dalam menyokong jenama tempatan, merangsang ekonomi negara, serta meneroka potensi pengantarabangsaan produk tempatan. Dengan menyediakan platform ini, kami dapat membantu dalam meningkatkan kebolehpasaran PKS, memperluas capaian mereka kepada platform yang lebih besar dan meningkatkan kesedaran jenama. Selain itu, kami menawarkan pilihan alternatif yang berpatutan dan berkualiti tinggi dan dalam masa yang sama membantu mereka meregangkan ringgit mereka dalam situasi ekonomi kini yang mencabar.,” kata Darshan Singh, Pengarah Perhubungan Kerajaan Lotus’s Malaysia.
Kempen Beli Barangan Malaysia di Desa Tebrau akan menampilkan 15 jenama PKS Johor, termasuk jenama-jenama terkenal seperti Adami, yang dikenali dengan rempah ratus dan pes tradisional Melayu, serta Peladang yang menawarkan produk sejuk beku, minuman panas, dan komoditi lain. Jenama-jenama ini akan dipamerkan secara eksklusif selama empat hari di Lotus’s Desa Tebrau. Mereka juga akan berpeluang untuk menjadi pembekal Lotus’s sekiranya prestasi baik ditunjukkan sepanjang kempen berlangsung.
Selain mempromosikan produk PKS Johor, pengguna juga boleh menikmati pelbagai aktiviti menarik seperti pameran produk, demonstrasi memasak secara langsung, sampel produk serta tawaran kombo dan diskaun eksklusif.
Tambahan lagi, Lotus’s akan turut menampilkan empat jenama PKS yang telah bekerjasama sebelum ini di ruang acara pasar raya Desa Tebrau pada 30 November 2024. Antaranya adalah Aducktive, Vits, Nureys, dan Jasmani oleh Anis Café Enterprise.
Sehingga kini, Lotus’s Malaysia telah menyenaraikan lebih daripada 1,200 SKU daripada lebih 120 pembekal PKS meliputi pelbagai produk makanan, makanan segera, makanan sejuk beku, produk isi rumah, penjagaan diri, serta produk kesihatan.
Lampiran 1: Senarai Penyertaan Syarikat SME
SME berasakan dari Johor
No | Nama Syarikat | Nama Jenama | Kategori Produk |
1 | BSK Top Spices Sdn. Bhd. | Bolt / Puteri & Warrior | Makanan haiwan |
2 | Adami Food & Spices Ind. Sdn Bhd | Adami | Keperluan memasak |
3 | Mrah Hasfie Enterprise | Nia | Snek |
4 | HBZTech Enterprise | Kak Aya | Produk bakeri |
5 | Adams Garage Resources | Ija Kitchen | Sedia untuk dimakan |
6 | Peladang Urus Sdn. Bhd. | Peladang | Ayam perap sejuk beku, minuman sejuk |
7 | Pertubuhan Peladang Kawasan Parit Raja | Peladang | Komoditi, makanan dalam tin |
8 | Pertubuhan Peladang Kawasan Senggarang | Peladang | Keperluan bakeri, minuman panas |
9 | Bambijan Food Empire | Bambijan / BeHaq | Sedia untuk dimakan |
10 | Warisan Indi Network | MakeTe | Sedia untuk dimakan |
11 | Lebak Aiffa Kitchen | Aiffa Ahmad | Sedia untuk dimakan |
12 | Dapur Mama Huda | Mama Huda | Sedia untuk dimakan |
13 | CTRAB Ent. | Cakes by Kak Siti | Sedia untuk dimakan |
14 | Intan Wasara Enterprise | ADW | Ayam perap sejuk beku |
Pembekal SME Sedia Ada – hanya pada 30 November 2024
No | Nama Syarikat | Nama Jenama | Kategori Produk |
1 | Aducktive Food Sdn. Bhd. | Aducktive | Snek |
2 | Vit Makanan (Kuala Lumpur) Sdn. Bhd. | Adami | Mi segera |
3 | Nuri Enterprises | Nurey | Mi |
4 | Anis Café Enterprise | Jasmani | Sedia untuk dimakan |