Kuala Lumpur, 18 November 2024 – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) hari ini merasmikan kerjasama strategik melalui tanda tangan Memorandum Kolaborasi dengan SUHAKAM, Yayasan Hijau Malaysia, dan Malaysian Youth Delegation semasa pelancaran Customer Experience (CX) Week 2024. Kerjasama ini bertujuan untuk mempertingkatkan usaha pemuliharaan air, mempromosikan hak kepada air bersih, dan menggalakkan pendidikan komuniti mengenai amalan pengurusan air yang lestari.
Memorandum Kolaborasi dengan SUHAKAM memberi tumpuan kepada bengkel dan inisiatif kesedaran awam yang menekankan pemuliharaan air dan tanggungjawab terhadap alam sekitar. Kerjasama dengan Yayasan Hijau Malaysia merangkumi program pendidikan dan pameran yang bersifat interaktif untuk memupuk kesedaran mengenai alam sekitar. Manakala, kerjasama dengan Malaysian Youth Delegation fokus pada pemerkasaan jurutera muda dengan kemahiran dan pengetahuan dalam pengurusan sumber air, menangani cabaran perubahan iklim yang kritikal.
Adam Saffian Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor berkata, “Air Selangor komited bukan sahaja dalam menyediakan air terawat yang bersih dan selamat; kami juga berhasrat memainkan peranan aktif dalam mempromosikan kelestarian dan memperkasakan komuniti. Perasmian kerjasama ini menekankan dedikasi kami dalam meningkatkan kesedaran tentang pemuliharaan air, tanggungjawab terhadap alam sekitar, dan akses kepada air bersih. Melalui kerjasama seperti ini, serta aktiviti-aktiviti sempena CX Week kami, kami berharap dapat menginspirasi tindakan kolektif ke arah masa depan yang lebih lestari dan berteraskan komuniti,” tambah Adam.
Bertemakan ‘CX For All’, CX Week adalah acara selama seminggu yang bertujuan untuk menyemarakkan budaya pengalaman perkhidmatan pelanggan terbaik di Air Selangor dan warga kerja. Acara ini menampilkan aktiviti dan perbincangan yang direka untuk mengintegrasikan kelestarian, inovasi digital, dan penglibatan komuniti dalam operasi Air Selangor dengan memperkasakan warga kerja melalui pengetahuan, kemahiran, dan peralatan untuk menyediakan perkhidmatan yang cemerlang.