Kuala Lumpur, 3 Oktober 2024 – Pos Malaysia Berhad (“Pos Malaysia”), penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, telah menganjurkan acara larian yang dinanti-nantikan, Pos Malaysia Run 2024, dengan meriah pada hari Ahad lalu, 29 September 2024. Acara ini menarik lebih daripada 3,500 peserta yang bersemangat serta ahli keluarga mereka untuk bersama-sama merayakan kesihatan dan komuniti. Larian yang pertama kali diadakan ini berjaya mengubah Padang Merbok yang popular di Kuala Lumpur menjadi suatu tempat yang sibuk bagi pelari daripada semua peringkat umur dan tahap kecergasan, dengan tiga jarak larian utama untuk dipilih – Fun Run (6.2 km), 10km dan 15km.
“Hari Ahad yang lalu adalah satu acara yang bersejarah bagi Pos Malaysia,” kata Fiona Liao, Ketua Pegawai Pemasaran, Komunikasi dan Kelestarian Kumpulan Pos Malaysia. “Setelah berbulan-bulan merancang dan menantikannya, larian pertama kami telah dilaksanakan dengan cemerlang. Ia adalah suatu perasaan yang luar biasa untuk menyambut begitu ramai pelari di garisan permulaan dan melihat mereka memenuhi jalan raya di pusat bandar KL, sesuai dengan tema kami, ‘Jom Laju for Fun’.”
Selaras dengan visi untuk menganjurkan acara yang lebih hijau, Pos Malaysia telah menggunakan motosikal elektrik sebagai sokongan marshal dan operasi semasa larian, sementara kereta elektrik Smart 1 daripada EON menjadi pengiring kepada pelari dalam kategori 15km. Selain itu, pakaian bagi acara larian ini diperbuat daripada 100% bahan kitar semula, dan medal penamat yang direka khas turut dihasilkan daripada tali plastik dan logam kitar semula. Apa yang membezakan acara larian ini adalah penghantaran terus pek larian kepada peserta dalam bungkusan mesra alam menggunakan kenderaan elektrik Pos Malaysia sebagai sebahagian daripada komitmen Syarikat untuk mengurangkan pelepasan karbon. Langkah ini disambut baik oleh para peserta yang tidak perlu bersusah-payah untuk mengambilnya di lokasi pengambilan.
“Larian ini bukan sahaja meraikan warisan Pos Malaysia, tetapi juga mengukuhkan komitmen kami terhadap pembinaan komuniti dan gaya hidup sihat dengan memberi tumpuan kepada tanggungjawab terhadap alam sekitar. Oleh itu, kami amat berbangga kerana telah menjadi larian pertama di Malaysia yang menggunakan cawan boleh guna semula yang diperbuat daripada bahan kitar semula PP5 di semua stesen air kami,” tambah Liao.
Acara ini dimulakan dengan sesi memanaskan badan yang bertenaga, memastikan para peserta bersemangat pada hari itu. Mereka juga dapat menikmati suasana yang meriah, lengkap dengan persembahan secara langsung, trak makanan, pelbagai jenis permainan dan aktiviti, serta cabutan bertuah. Hadiah diberikan kepada penamat terpantas dalam kategori 10km dan 15km, serta anugerah khas ‘Jaguh Bukit Award’, yang menggalakkan semangat persahabatan dan persaingan sihat.
Kejayaan Pos Malaysia Run 2024 yang pertama ini adalah hasil sokongan daripada EON Berhad, rakan automotif utama, bersama-sama penaja rasmi Allianz Malaysia Berhad, Bank Muamalat, Cuckoo, Liberty Insurance, Spin, Tokio Marine Insurance dan Yinson Green Tech. Kami juga menerima sokongan daripada SkyBlue Media, Reebok, Chek Hup, Milo, Nature Loop, Sunway Theme Park, Blood, Opack, Perkeso, Mal= Tel Communication, Pos Aviation dan Pos Shop.
“Kami berterima kasih kepada semua peserta, rakan kongsi dan penaja atas sokongan besar mereka. Sebagai penutup acara larian pertama kami yang bersejarah, kami berharap dapat menggunakan kejayaan tahun ini sebagai asas dan menjadikan larian Pos Malaysia Run satu tradisi tahunan pada tahun 2025 dan seterusnya,” kata Liao.
Kekal terhubung dengan Pos Malaysia melalui www.pos.com.my atau ikuti kami di Facebook, X, Instagram, Tik Tok, YouTube, dan LinkedIn.