Persidangan MDX 2024 Memperkasa Kepimpinan Digital dan Pertumbuhan Ekonomi Malaysia

Persidangan MDX 2024 Memperkasa Kepimpinan Digital dan Pertumbuhan Ekonomi Malaysia

Kuala Lumpur, 24 Oktober 2024 – Kementerian Digital (KD) melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital negara, hari ini melancarkan Persidangan Malaysia Digital Xceleration (MDX) 2024 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC). Persidangan ini telah dirasmikan oleh YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Digital, yang menekankan pengaruh Malaysia yang semakin meningkat sebagai kuasa digital di rantau ASEAN.

Bertumpukan kepada lima bidang transformasi utama – Data Trust, Next-Gen Computing, Computer Vision, Metaverse dan Digital Twins – Persidangan MDX 2024 menghimpunkan pemimpin-pemimpin industri untuk membentuk masa depan landskap digital Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju inovasi digital di Asia Tenggara.

Selaras dengan visi strategik Kementerian Digital, persidangan ini menekankan kepentingan penerapan teknologi canggih. Ia juga turut menonjolkan komitmen Malaysia dalam mengukuhkan daya tahan ekonomi serta memperoleh kelebihan daya saing di peringkat global melalui transformasi digital yang inovatif.

Persidangan yang berlangsung selama dua hari, dari 24 hingga 25 Oktober 2024, akan menawarkan agenda menarik, termasuk sesi ucaptama, perbincangan panel, pameran interaktif, serta peluang rangkaian yang bernilai tinggi. Persidangan ini dijangka menarik lebih 3,000 peserta yang terdiri daripada pelabur antarabangsa, usahawan, syarikat permulaan, penggubal dasar dan profesional digital, yang ingin menyertai perbincangan untuk membentuk ekonomi digital Malaysia.

Persidangan MDX 2024 Memperkasa Kepimpinan Digital dan Pertumbuhan Ekonomi Malaysia

Persidangan MDX 2024 menegaskan komitmen MDEC yang berterusan dalam memupuk inovasi dan meletakkan Malaysia sebagai peneraju proaktif dalam teknologi generasi baharu. Persidangan ini bukan sahaja bertujuan untuk persediaan semata-mata, tetapi juga untuk secara aktif membentuk masa depan digital Malaysia.

Persidangan tahun ini turut menampilkan barisan penceramah utama yang terkenal di peringkat antarabangsa. Fleur Pellerin, bekas Menteri Perancis untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Inovasi, dan Ekonomi Digital, akan berkongsi pandangan mengenai dasar-dasar yang memacu inovasi, manakala Mike Walsh, Ketua Pegawai Eksekutif Tomorrow, sebuah firma perunding global, akan berkongsi visinya mengenai pembangunan masa depan yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI).

Sebagai Penaja Berlian, BlackBerry akan memainkan peranan penting di Persidangan MDX 2024 dengan menampilkan Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber. Christine Gadsby, Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat (CISO) BlackBerry, akan mengetuai sesi perbincangan mengenai evolusi peranan manusia dalam keselamatan siber yang dipacu oleh AI serta perkembangan dalam kepercayaan data, yang mengukuhkan kepimpinan Malaysia dalam membina masa depan digital yang selamat dan berdaya tahan.

Persidangan MDX 2024 merupakan inisiatif utama di bawah rangka kerja Malaysia Digital (MD), yang menyediakan platform strategik untuk memperkukuh kedudukan digital Malaysia di peringkat global. Dengan memupuk kerjasama antara perniagaan tempatan dan antarabangsa, mempamerkan aset digital Malaysia, serta menarik pelaburan bernilai tinggi, persidangan ini dijangka akan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital negara.

Synapze, Rakan Strategik untuk Persidangan MDX 2024, memainkan peranan penting dalam memastikan pengalaman acara yang berkesan dan lancar.

Untuk maklumat lanjut mengenai Persidangan MDX 2024, sila layari https://mdec.my/mdx.

Persidangan MDX 2024 Memperkasa Kepimpinan Digital dan Pertumbuhan Ekonomi Malaysia – RAMARAMA
© 2024 BlackButterfly DesignArts