Oleh Kuhan Pathy, Presiden Persatuan Pembangunan Usahawan Sosial
Ahli Pengasas Dewan Pembangunan Usahawan Sosial Malaysia
Pengasas Bersama Pepper Labs
Kuala Lumpur, 4 Oktober 2024- Dalam tempoh lima tahun yang lalu, perusahaan sosial telah bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk menangani kemiskinan mutlak di Malaysia, di mana peratusan kemiskinan telah menurun dari 8.2% pada tahun 2021 kepada 6.2% pada tahun 2022.
Inisiatif kerajaan termasuk geran dan program seperti MRANTI Impact Challenge Accelerator (MICA), Sijil Pentauliahan Perusahaan Sosial, serta pinjaman tanpa faedah daripada Hasanah Social Enterprise Fund (HSEF) dan inisiatif perolehan sosial – adalah antara instrumen utama yang telah membantu perusahaan sosial berkembang dan memperkukuh perkhidmatan mereka untuk membantu golongan yang memerlukan.
Sebagai contoh, sejak 2019, perusahaan sosial bertauliah seperti Pepper Labs telah diberi kepercayaan untuk melaksanakan beberapa projek rintis komuniti B40 – yang telah menghasilkan impak yang ketara dan boleh diukur. Sehingga kini, Pepper Labs telah melaburkan semula lebih daripada RM 7 juta dalam projek sosial, memberi impak kepada lebih 4,000 penerima manfaat. Sehingga ke hari ini, kami telah berkembang menjadi rakan kongsi yang dipercayai, pelaksana yang efektif, dan inovator sosial yang kreatif, merapatkan jurang antara dasar dan pemerkasaan ekonomi akar umbi.
Dapur Digital: Program Perintis Cloud Kitchen Sedia untuk Diperluas ke Peringkat Kebangsaan
Baru-baru ini, kami melancarkan inisiatif unik yang dipanggil Dapur Digital – projek kerjasama diantara masyarakat awam-swasta-filantropi yang pertama di Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kewangan, Jabatan Wilayah Persekutuan, DBKL, dan Yayasan Hasanah.
Program perintis Dapur Digital melibatkan beberapa aspek pemerkasaan ekonomi. Selain menaik taraf lima ruang yang kurang digunakan di PPR dalam kawasan Kuala Lumpur menjadi dapur digital dalam tempoh enam bulan, 50 individu telah dilatih dengan Program Pensijilan Profesional Teknologi Dapur Digital tentang cara mengendalikan perniagaan dapur digital. Setiap lima lokasi Dapur Digital, mempunyai penduduk miskin bandar yang tinggi, telah diberikan sasaran jualan sebanyak RM10,000 sebulan. Dalam tempoh seminggu selepas pelancaran, peserta Dapur Digital di Kampung Limau telah mencatatkan jualan sebanyak RM3,000. Produk mereka dipromosikan dan dihantar melalui tiga platform teknologi makanan – menjadikan program ini sebagai program yang unik bagi mengubah punca pendapatan.
Oleh itu, dengan Belanjawan 2025, kami ingin mengemukakan senarai hajat kepada kerajaan, dengan mempertimbangkan potensi Dapur Digital untuk membantu menutup jurang kemiskinan di seluruh negara:
Kerajaan boleh memasukkan perusahaan sosial bertauliah dalam pangkalan data dan senarai e-perolehan, terutamanya apabila Malaysia mengambil alih jawatan Presiden ASEAN pada tahun 2025, dengan jangkaan peningkatan aktiviti komersial, pelancongan, dan sosial. Banyak perusahaan sosial berkhidmat dalam bidang ini untuk melengkapkan dan memperkasakan komuniti yang kurang bernasib baik.
Kerjasama diantara awam-swasta-filantropi yang lebih kuat dan kolaborasi antara kementerian dan agensi kerajaan boleh menjadikan aspirasi MADANI dan matlamat RMK-12 menjadi kenyataan bagi rakyat. Kami telah menunjukkan bahawa ini boleh dicapai, boleh diukur, tepat pada masanya – dan sedia untuk diperluas.