Nikmati Pengalaman Yang Tidak Dapat Dilupakan Tatkala Musim Menuai Teh,Minuman Paling Digemari di Türkiye

Kuala Lumpur, 27 Ogos 2024 – Di mana jua anda berada di Türkiye, anda mungkin akan menemui hidangan secawan teh Turki. Teh menjadi satu kelaziman dalam budaya Turki sehinggakan hampir mustahil untuk bertahan seharian tanpa hidangan ini. Daripada sarapan hingga makan malam, teh merupakan unsur penting dalam kehidupan Turki. Namun Türkiye bukan sekadar terdiri daripada pengguna teh yang begitu ramai; negara ini juga adalah kuasa teh global yang menghasilkan 1.5 juta tan teh setiap tahun. Teh merupakan komponen budaya yang begitu penting dan berakar umbi sehingga teh Turki dimasukkan dalam Senarai Perwakilan UNESCO Warisan Budaya Kemanusiaan Tidak Ketara pada tahun 2022 menerusi permohonan bersama oleh Türkiye dan Azerbaijan. 

Nikmati Pengalaman Yang Tidak Dapat Dilupakan Tatkala Musim Menuai Teh,Minuman Paling Digemari di Türkiye

Teh Turki

Musim penuaian atau memetik daun teh di Türkiye dilakukan sebanyak tiga kali setahun: iaitu mulai Mei hingga Jun, Julai hingga Ogos, dan September hingga Oktober. Ia merupakan sebahagian budaya yang penting di wilayah Laut Hitam Timur Türkiye. Hari ini, 70% daripada teh di Türkiye dihasilkan di wilayah Rize, diikuti dengan wilayah Laut Hitam Timur di Artvin, Trabzon dan Ordu, serta kawasan khusus di Giresun. Adakalanya dikenali sebagai “emas hijau” di rantau ini, teh Rize juga terkenal sebagai “teh yang paling semula jadi” di dunia— ia satu-satunya kawasan di mana salji turun pada dedaun teh. Teh berkenaan adalah antara produk yang diketengahkan secara geografi di Türkiye serta mempunyai aroma dan rasa menyerlah yang melengkapi warna merah terangnya.

Pengunjung yang melancong ke Rize untuk menikmati alam semula jadi berlatarkan kehijauan zamrud di dataran tinggi Laut Hitam Timur seperti Pokut, Ayder dan Anzer juga boleh menyaksikan atau menyertai aktiviti memetik daun teh di ladang wilayah berkenaan. Aktiviti popular ialah menyertai acara penuaian itu dengan menggunakan gunting teh diikuti dengan mengambil gambar sambil menggayakan pakaian tradisional. Dalam perjalanan ke Rize pula, anda boleh menikmati secawan teh Rize dengan simit ala Rize, satu lagi produk Rize yang diketengahkan secara geografi. Sebelum meninggalkan wilayah ini, anda boleh mendapatkan teh untuk diri anda sendiri, rakan dan keluarga.

Nikmati Pengalaman Yang Tidak Dapat Dilupakan Tatkala Musim Menuai Teh,Minuman Paling Digemari di Türkiye

Penuaian Teh

Türkiye amat mengambil berat soal teh seperti yang ditunjukkan menerusi penyediaan minuman ini yang dilakukan secara teliti. Secara tradisinya, teh dibancuh menggunakan sepasang teko bertindan yang diperbuat daripada tembaga, loyang atau logam lain. Air dimasak dalam teko di bahagian bawah dan kemudian dimasukkan ke teko atas berserta dengan daun teh.  Teko di bahagian bawah dipenuhi air mendidih manakala teh itu dibancuh secara perlahan di dalam teko atas.

Nikmati Pengalaman Yang Tidak Dapat Dilupakan Tatkala Musim Menuai Teh,Minuman Paling Digemari di Türkiye

Teko Turki

Teh yang sudah dibancuh itu kebiasaannya dihidangkan dalam cawan kaca kecil berbentuk tulip. Teh yang kuat dari teko atas dituang terlebih dahulu, manakala air mendidih dari teko bawah digunakan untuk mencairkan teh mengikut citarasa peminum. Gula biasanya disediakan bersama gelas teh yang mana, disebabkan bentuk dan bahannya, ia mengekalkan kehangatan teh ketika teh itu menyerlahkan warnanya.

© 2024 BlackButterfly DesignArts