Graduan Program Elevate Melihat Pasaran Modal sebagai Saluran Pemerolehan Dana untuk Memacu Pertumbuhan

Syarikat berprestasi tinggi dalam Program Elevate terus mempertimbangkan pasaran modal untuk memacu pertumbuhan, menyasarkan IPO

Graduan Program Elevate Melihat Pasaran Modal sebagai Saluran Pemerolehan Dana untuk Memacu Pertumbuhan
Dari tengah: Datin Azalina Adham, Pengarah Urusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Navina Balasingam, Pengurus Besar CMM dan Bikesh Lakhmichand, Rakan Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif 1337 Ventures bersama kepimpinan eksekutif syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dalam Program Elevate.

Kuala Lumpur, 23 Ogos 2024 — Capital Markets Malaysia (“CMM”), sebuah entiti gabungan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (“SC”), hari ini telah menamatkan sesi yang pertama bagi Program Elevate (“Program”) 2024 anjurannya. Program ini menyasarkan badan kepimpinan eksekutif dalam perusahaan kecil dan sederhana (“PKS”) serta syarikat peringkat pertengahan (“SPP”) berprestasi tinggi yang ingin memacu pertumbuhan syarikat masing-masing, menawarkan kepada mereka peluang untuk meningkatkan pengetahuan dan kepakaran bagi menavigasi serta memanfaatkan alternatif pemerolehan dana melalui pasaran modal dengan lebih cekap.

Program Elevate yang dianjurkan selama 10 hari dengan usahasama SC serta Bursa Malaysia sebagai rakan strategik telah dirangka oleh CMM bagi membantu PKS dan SPP mempertingkatkan daya saing serta kemahiran mereka, untuk memenuhi pelbagai keperluan terperinci dalam perihal pemerolehan dana pasaran modal, sama ada melalui penyenaraian IPO atau pelaburan ekuiti swasta. Khususnya, matlamat Program ini adalah untuk membolehkan barisan kepimpinan eksekutif menterjemahkan visi pertumbuhan syarikat mereka, yakni dengan membina keyakinan pelabur terhadap keupayaan syarikat untuk meluaskan skala.

Navina Balasingam, Pengurus Besar CMM berkata, “PKS dan SPP adalah penting bagi ekonomi negara, dan ia menjadi keutamaan kita untuk memudahkan haluan bagi pemerolehan dana, yang kritikal untuk syarikat-syarikat ini membesarkan skala. Justeru, Program Elevate CMM dirumus untuk tujuan yang khusus ini. Melalui platform tersebut, kami ingin memberi sokongan kepada syarikat yang bersedia untuk mara ke peringkat yang seterusnya. Dengan perlaksanaan yang tepat, inisiatif ini akan memainkan peranan yang besar dalam melahirkan syarikat-syarikat berdaya maju serta dinamik yang bersedia untuk memanfaatkan pelaburan daripada penyenaraian ataupun ekuiti swasta, sambil menonjolkan pasaran modal Malaysia sebagai destinasi yang menarik bagi pemerolehan dana dan juga pelaburan.”

Usaha ini mendukung aspirasi negara, seperti yang digaris melalui pelan hala tuju yang dirungkaikan oleh SC baru-baru ini, diberi nama “Memangkin Akses PMKS dan MTC kepada Pasaran Modal: Pelan Hala Tuju Lima Tahun (2024-2028)”. Ia dirangka meningkatkan pemerolehan dana pasaran modal oleh PMKS dan SPP sebanyak lebih lima kali ganda, daripada RM6.3 bilion pada tahun 2023 kepada RM40 bilion pada tahun 2028.

Antara graduan yang menjadi tumpuan daripada sesi Program Elevate yang lalu termasuk SNS Network Technologies, yang telah menyaksikan pertumbuhan pesat sejak menghadiri program ini, disenaraikan di Pasaran ACE pada September 2022 lalu telah menyempurnakan pemindahannya ke Pasaran Utama pada bulan Jun tahun ini, di samping YX Precious Metals Bhd yang disenaraikan di Pasaran ACE pada tahun 2022 dan telah memulakan proses pemindahannya ke Pasaran Utama.

Graduasi dan Hari Demo Pelabur

Sesi Program Elevate yang terkini telah disimpulkan pada hari ini dengan ‘Hari Demo’ di mana para peserta membuat pembentangan untuk meyakinkan bakal pelabur, iaitu dengan mengamalkan apa yang mereka telah pelajari daripada program tersebut selama empat bulan. Selain bersemuka dengan para pelabur, syarikat-syarikat ini juga telah memperoleh maklum balas yang relevan dan berguna, memberi mereka peluang untuk memperbaiki pelan dan strategi masing-masing untuk memudahkan perniagaan mereka menarik pelaburan.

Syarikat-syarikat yang telah menyempurnakan program tersebut tergolong dalam pelbagai jenis industri, termasuk pembuatan, perkhidmatan kesihatan, peruncitan, teknologi, dan lain-lain, dan kesemua mereka bermatlamat untuk memacu pertumbuhan dan capaian mereka dalam pasaran.

Syarikat-syarikat yang mengambil bahagian termasuk Fipper Marketing Sdn Bhd, Gourmet Ingredients Sdn Bhd, Great Pyramid Sdn Bhd, i-Chem Solutions Sdn Bhd, Kasut U Sdn Bhd, Imetal (M) Sdn Bhd, Tera Va Sdn Bhd, dan lain-lain (lihat apendiks untuk senarai penuh syarikat).

Sesi Program Elevate yang seterusnya, dijadual bermula pada bulan September 2024 juga akan menghimpunkan barisan kepimpinan PKS dan SPP berprestasi tinggi daripada pelbagai latar belakang. Syarikat yang berminat untuk menyertai sesi yang akan datang boleh melayari https://www.capitalmarketsmalaysia.com/elevate-programme/ untuk maklumat lanjut mengenai program ini.

© 2024 BlackButterfly DesignArts