ASIA NAVIGATOR 2024 MENYATUKAN PAKAR KECEMASAN GLOBAL, MEMPERKASA EVOLUSI SISTEM TALIAN KECEMASAN 999

Persidangan Utama bagi Perubatan, Bomba, dan Polis serta Penilaian Jururawat Sekunder

ASIA NAVIGATOR 2024 MENYATUKAN PAKAR KECEMASAN GLOBAL, MEMPERKASA EVOLUSI SISTEM TALIAN KECEMASAN 999

Kuala Lumpur, 30 Januari 2024 – Asia Navigator 2024 mengumpulkan sejumlah 350 peserta dan 19 penceramah ternama dari seluruh dunia dalam persidangan dua hari bermula 30 hingga 31 Januari 2024 di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur, bermula hari ini.

Sebuah acara tahunan yang dipimpin oleh International Academies of Emergency Dispatch  (IAED), sebuah organisasi bukan untung berpangkalan di Salt Lake City, USA dan diselaraskan bersama Priority Dispatch Corp (PDC), TM One, dan GFIS (M) Sdn. Bhd, persidangan ini mengumpulkan para profesional kecemasan global untuk menghadiri sesi diskusi, dan berkongsi pengalaman mengenai kemajuan industri yang terlibat.

Agensi-agensi perkhidmatan kecemasan tempatan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia adalah antara agensi-agensi peneraju yang terlibat dalam sistem kecemasan Malaysia.

Datuk Rodzi Bin Md Saad, Ketua Setiausaha Kementerian Digital Malaysia berkata, “Kementerian Digital yang baru ditubuhkan juga melihat kepada cara untuk menambah baik sistem MERS 999 yang sedia ada. Sejajar dengan matlamat negara untuk mengaplikasi teknologi terkini seperti Artificial Intelligence (AI), ia juga dilihat sebagai salah satu cara untuk memperkasakan lagi sistem MERS 999 negara. Oleh yang demikian, saya menggalakkan setiap individu untuk turut serta dalam memberi maklum balas dan mencadangkan penambahbaikan protokol MERS 999.”

Persidangan Asia Navigator 2024 ini berfungsi sebagai platform untuk melihat evolusi Talian Kecemasan 999 (MERS 999) sejak penubuhannya pada 2012. Persidangan ini memberi peluang kepada pakar industri, pakar dasar, dan pihak berkepentingan untuk meneliti perjalanan transformasi MERS 999 dan impaknya terhadap peningkatan keselamatan awam dan projek kritikal kebangsaan.

MERS 999 juga telah mengalami evolusi yang ketara untuk menyesuaikan dengan perubahan landskap teknologi dan keperluan tindak balas kecemasan. Peserta persidangan dapat melihat pelbagai fasa evolusi ini, dari penggabungan teknologi terkini hingga pembangunan dan integrasi pelbagai produk dan perkhidmatan.

Selain itu, persidangan ini akan mempamerkan pencapaian terkini sistem kecemasan Malaysia, serta aspirasi untuk menuju ke arah digital. Penceramah-penceramah ternama juga akan menekankan peranan penting perkhidmatan tindak balas kecemasan, dan mengatasi cabaran yang timbul di era digital kini.

Persidangan Asia Navigator 2024 ini akan berfungsi sebagai platform kolaboratif bagi pertukaran idea MERS 999. Dengan memupuk perbincangan dalam kalangan pakar dan pihak berkepentingan, persidangan ini bertujuan untuk memajukan talian kecemasan negara dengan harapan memberi sumbangan kepada peningkatan keselamatan awam dan keselamatan negara.

Selain terlibat dalam perbincangan dan forum yang membincangkan isu-isu yang relevan, peserta dialu-alukan untuk melihat sendiri pameran berkaitan perkembangan terkini polis, bomba, perubatan, dan penilaian jururawat, serta sistem yang berkaitan.

Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini mengenai Asia Navigator, sila klik di sini.

© 2024 BlackButterfly DesignArts