Acara komuniti ini menyediakan pelbagai pemeriksaan kesihatan dan ceramah kesihatan percuma kepada orang ramai
Kuala Lumpur, 5 Disember 2022 – Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) baru-baru ini telah mengadakan sebuah karnival berfokuskan kesihatan warga emas yang dinamakan “Wellness Sunday Carnival” dan bertemakan “Live Well, Be Well” untuk komuniti sekeliling di Taman Connaught, Cheras.
Karnival separuh hari ini diadakan pada 4 Disember dan dibuka kepada penyertaan orang ramai dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan warga emas serta berkongsi lebih banyak ilmu pengetahuan mengenai masalah kesihatan spesifik yang sering dialami oleh warga emas.
Dr Khoo Chow Huat, Pengarah Urusan Kumpulan (Operasi Hospital dan Penjagaan Kesihatan) daripada Kumpulan Perubatan Sunway (SHG) berkongsi bahawa SMCV berdedikasi untuk menyokong kesejahteraan komuniti di sekeliling mereka, dan kesihatan warga emas akan sentiasa menjadi keutamaan. “Penuaan adalah sebuah proses semula jadi dalam kehidupan, dan warga emas serta keluarga mereka berhak untuk mendapatkan ilmu tentang cara menangani keadaan yang tidak diingini daripada pihak penjagaan kesihatan seperti kami. Itulah sebabnya kami mengadakan acara komuniti seperti ini untuk mengetahui apakah keperluan dan kebimbangan orang ramai mengenai kesihatan mereka dan seterusnya kami dapat menyokong di mana mereka amat memerlukannya”
Turut hadir di hari karnival ini ialah Tan Sri Lee Lam Thye, Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat dan Puan Margaret Aik, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Connaught.
Ketika menyampaikan ucapan perasmian, Tan Sri Lee Lam Thye mengucapkan tahniah kepada SMCV atas inisiatifnya untuk menganjurkan “Wellness Sunday Carnival” ini untuk masyarakat sekeliling. “Sebagai sebuah hospital yang mengambil berat tentang keperluan pesakitnya, SMCV telah banyak melakukan pelbagai inisiatif untuk memastikan pesakit mereka mempunyai akses untuk mendapatkan rawatan yang diperlukan. Tujuan utama pihak penjagaan kesihatan adalah untuk meningkatkan tahap kesihatan pesakitnya, dan perkara ini telah direalisasikan apabila kita dapat melihat betapa banyak nyawa yang telah diselamatkan oleh SMCV serta bagaimana hospital ini akan terus menyumbang secara positif terhadap kesejahteraan masyarakat sekeliling di masa akan datang.”
Karnival yang dihadiri oleh orang ramai daripada Cheras dan komuniti sekelilingnya ini memberi peluang kepada semua peserta untuk mendengar dan bercakap dengan doktor pakar dan staf kesihatan daripada SMCV mengenai pelbagai penyakit yang menjadi kerisauan mereka. SMCV juga menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma termasuk ujian pendengaran, konsultasi ubat-ubatan dan konsultasi pemakanan bersama pakar diet, pemeriksaan oleh pasukan rehabilitasi SMCV, pemeriksaan mata, pemeriksaan kaki bagi pesakit diabetes dan pelbagai saringan kesihatan asas yang lain. Para warga emas dan ahli keluarga mereka turut menikmati sesi urutan percuma oleh Pertubuhan Orang Buta Malaysia.
Doktor-doktor pakar dari SMCV juga memberikan beberapa ceramah kesihatan yang berkaitan dengan kesihatan jantung, sistem pencernaan, ENT, perubatan kecemasan serta topik berkaitan kesihatan tulang dan otot. Karnival mesra keluarga ini menyediakan pelbagai gerai makanan dan sudut khas kanak-kanak yang dilengkapi dengan permainan seni lukisan muka, seni tanah liat dan pembuat belon supaya mereka dapat dihiburkan semasa ahli keluarga yang lain menyertai pelbagai acara yang diadakan sepanjang karnival berlangsung.
Bagi individu yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai cara penjagaan kesihatan warga emas, anda dinasihatkan untuk melawat hospital pilihan yang boleh memberikan diagnosis yang lebih tepat tentang keadaan kesihatan semasa pesakit serta dapat memberitahu apakah langkah seterusnya untuk menguruskan pesakit dengan sewajarnya.
Pusat Perubatan Sunway Velocity terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Sebarang maklumat, sila hubungi +603 9772 9191 atau email kami di [email protected]. Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan dengan Sunway Medical Centre Velocity, sila layari www.sunmedvelocity.com.my (Facebook: Sunway Medical Velocity).