IJM Land memperkenalkan program KITARecycle kepada pelajar SJK (C) Tung Hua dengan mendidik dan memberi kesedaran tentang kepentingan kitar semula
SEREMBAN, 7 NOVEMBER 2022 – Pencemaran alam sekitar semakin menjadi kebimbangan global kerana pencemaran yang tidak diatasi menimbulkan pelbagai isu yang memudaratkan. Untuk menangani masalah ini, IJM Land Berhad (IJM Land) bersama SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) bertekad untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemeliharaan alam sekitar sambil menggalakkan tabiat kitar semula dalam kalangan generasi muda dengan bekerjasama dengan SJK (C) Tung Hua, S2 Heights.
Dengan misi untuk menyediakan persekitaran hidup yang lebih hijau dan kondusif untuk semua, program KITARecycle IJM Land menyaksikan penglibatan seramai 1,028 orang pelajar dari SJK (C) Tung Hua. Sebelum permulaan program tersebut, para pelajar sekolah rendah ini telah melengkapkan tugasan untuk dua pertandingan: Projek Seni Kitar Semula (pertandingan individu) dan Kempen Wira Kitar Semula (pertandingan kelas).
Pertandingan individu bertujuan untuk menyemai dan membimbing pelajar supaya mengitar semula dan memupuk cara inovatif untuk menggunakan semula bahan buangan bagi menghasilkan karya seni unik yang berbentuk haiwan. Di samping itu, para pelajar juga ditugaskan untuk mengumpul bahan kitar semula untuk pertandingan kelas. Mereka yang dapat mengumpul bahan kitar semula yang paling banyak telah dihadiahkan kelalang termos.
Encik Chai Kian Soon, Pengurus Besar Kanan IJM Land Berhad berkata bahawa pemaju hartanah terkemuka ini tekad berdedikasi untuk melindungi alam sekitar. IJM Land mengambil kesempatan ini untuk menyemai tabiat kitar semula dalam kalangan masyarakat dengan memastikan semua pihak memainkan peranan masing-masing untuk memelihara persekitaran supaya menjadi lebih hijau.
“Kami ingin menekankan tabiat kitar semula di sekolah bagi memastikan generasi muda memahami kesan pembuangan sisa yang tidak betul dan sambil menggalakkan penyertaan mereka dalam kempen ini. Kami berazam untuk membawa perubahan positif kepada alam semula jadi, dan dengan setiap langkah usaha kami untuk meningkatkan kehijauan alam sekitar, kami berharap untuk mendapatkan penglibatan komuniti kami,” kata Encik Chai.
Selain pertandingan dan majlis penyampaian hadiah, pihak SWM Environment turut mengadakan Ceramah Kesedaran Alam Sekitar untuk menyampaikan maklumat kepada para pelajar mengenai pengitaran semula dan pengurusan sisa yang betul, pada masa yang sama, IJM Land juga menyerahkan satu unit ‘rumah KITARecycle’ kepada SJK (C) Tung Hua untuk terus memupuk amalan kelestarian dalam kalangan pelajar sekolah.
“Kami amat gembira kerana dapat bekerjasama dengan IJM Land dalam kempen ini kerana ia dapat membantu golongan kanak-kanak meningkatkan pengetahuan dan lebih peka kepada isu-isu alam sekitar. Kita semua bertanggungjawab tentang pemeliharaan alam sekitar dan tabiat hijau perlu dipupuk dalam kalangan anak-anak kita sejak kecil lagi. Mereka mewakili masa depan, dan merekalah yang akan kita harapkan untuk membawa perubahan positif demi manfaat semua,” kata Encik Choo Leong Ei, Guru Besar SJKC Tung Hua.
Usaha berterusan program KITARecycle IJM Land telah dimulakan pada Januari 2022 untuk membudayakan amalan kitar semula dalam masyarakat Seremban 2. Selain menggalakkan 3R (reduce, reuse, recycle) dalam kalangan pelajar sekolah, inisiatif kerjasama alam sekitar antara IJM Land dan SWM Environment diharap dapat mengaplikasikan tabiat kitar semula di dalam kehidupan para penduduk sehari-hari.
Setelah menyumbangkan 12 buah ‘rumah KITARecycle’ yang dibuat khas sebagai tong kitar semula di kawasan perumahan berpagar dan berpengawal di Seremban 2, IJM Land akan menyumbang dua buah lagi ‘rumah KITARecycle’ (tong kitar semula) kepada Persatuan Penduduk Serena & Safiya dan Pearl 132 masing-masing pada bulan akhir November.
“Kami berharap untuk mengamalkan tabiat kitar semula bersama-sama dengan komuniti kami dengan menyediakan lebih banyak kemudahan khas untuk menggalakkan penduduk menyesuaikan diri dengan pengasingan dan pengitaran semula sisa domestik atau sisa pepejal isi rumah mereka supaya mengurangkan pembuangan sisa pepejal ke tapak pelupusan,” kata Encik Chai.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif di atas, sila layari http://seremban2.ijmland.com/.