Bertempat di DoubleTree by Hilton Shah Alam i-City baharu, acara “Hilton MICE Series” yang pertama membincangkan topik kelestarian dengan panel peneraju industri.
Shah Alam, Selangor, 25 Ogos 2022 – Dengan pelancaran besar DoubleTree by Hilton di Shah Alam i-City baru-baru ini, hotel itu kini memperkenalkan tawaran terbaharu mereka: Siri MICE Kelestarian, iaitu usaha terbaru Hilton untuk membawa jenama itu ke arah masa hadapan yang lebih hijau dan lebih lestari.
Pada tahun 2021, Hilton telah menerima pengiktirafan untuk Kepimpinan Kelestarian oleh Indeks Kelestarian Dow Jones buat kali kelima berturut-turut. Demi meneruskan usahanya, Hilton kini mengejar masa hadapan yang mesra alam melalui inisiatif karbon neutral. Acara yang pertama dalam siri ini, Hilton merancang untuk melaksanakannya pada setiap suku tahun bagi menunjukkan bagaimana kelestarian boleh disepadukan dengan cara yang kreatif dan mencipta impak sosial yang diperlukan untuk memenuhi inisiatif Travel with Purpose 2030 mereka.
Pada hari Khamis, 25 Ogos 2022, acara yang julung kali diadakan ini telah dilaksanakan dengan kelestarian makanan sebagai tema utamanya. Hilton bekerjasama dengan vendor makanan utama untuk mengetengahkan kisah makanan yang dihidangkan, menyerlahkan asal-usulnya, keaslian serta ciri-ciri penyembuhan dalam hidangan yang sedang dimakan.
“Bagi kami di DoubleTree, sekadar menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada tetamu tidak memadai. Perkhidmatan yang kami sediakan mesti memenuhi matlamat yang lebih besar daripada diri kami sendiri. Itulah sebabnya sokongan kami untuk kelestarian adalah penting untuk hospitaliti kami. Kami mahu anda semua kembali lagi dan ini bermakna kami perlu memastikan supaya seluruh alam sekitar dapat dikekalkan,” kata Gagan Talwar, Pengurus Besar cawangan i-City Shah Alam.
Acara itu menampilkan bengkel yang dikendalikan oleh barisan rakan vendor DoubleTree by Hilton, termasuk Benns Ethicoa, pembuat coklat artisan tempatan yang memperolehi ramuannya daripada petani serantau, sekaligus memberi peluang kepada para hadirin untuk merasai kualiti coklat buatan Malaysia.
Selain Benns Ethicoa, para hadirin turut menyertai sesi merasa makanan Chef’s Table di Makan Kitchen yang merangkumi makanan lestari seperti Tindle, produk ayam berasaskan tumbuhan oleh Next Gen Foods yang berpangkalan di Singapura, dan tanaman bernilai tinggi oleh Green World Genetics, sebuah syarikat Malaysia berasaskan R&D yang mengkhusus dalam menghasilkan benih hibrid tropika bukan GMO berkualiti tinggi.
Para hadirin juga diperkenalkan dengan hasil tanaman tempatan daripada BoomGrow, rangkaian petani tempatan yang menggunakan data bagi mewujudkan persekitaran yang memberikan hasil dengan kualiti yang konsisten sepanjang tahun, dan Secai Marche, sebuah syarikat Jepun berpangkalan di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan terus ke ladang yang menggalakkan kelestarian untuk petani.
“Kami di Next Gen Foods berdedikasi untuk membina sistem pemakanan yang lebih bernas dan menghasilkan makanan berasaskan tumbuhan yang lazat dan lagi selamat bagi bumi ini berbanding makanan berasaskan haiwan yang mereka gantikan,” kata Marc Jolly, Naib Presiden, Pembangunan Perniagaan (APME) di Next Gen Foods. “Sambil kami mengembangkan dan meningkatkan kehadiran produk pertama kami, TiNDLE, kami sentiasa mencari rakan kongsi yang berfikiran sama untuk menyertai dalam perjalanan kami ini – dan teruja untuk bekerjasama dengan Hilton hari ini.”
Satu panel diadakan dibarisi oleh Linda Giebing, Penjuang Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Hilton untuk Asia Tenggara, Logeetha Balakrishnan, Pengurus Usaha Baharu BoomGrow, Thila Chandran, Pengurus Pemasaran untuk Secai Marche, dan Marc Jolly, Naib Presiden Pembangunan Perniagaan Next Gen Foods. Sesi panel ini dikendalikan oleh Freda Liu, Penyampai Penyiaran Perniagaan dan topik perbincangan berkisar tentang trend masa hadapan makanan, bermula daripada penyumberan hingga ke penafsiran makanan sedia ada dengan penggunaan bahan alternatif.