Kempen seluruh negara anjuran Biji Biji Initiative dan Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) menjemput belia Malaysia untuk memimpin usaha menangani perubahan iklim
Kuching, 15 Jun 2022 – Buat kali pertama, satu kempen unik yang diadakan khusus untuk mengalakkan golongan muda di Malaysia untuk berdiri teguh menangani isu perubahan iklim telah dimulakan di American Corner, Pustaka Negeri Sarawak pada hari ini.
Dikenali sebagai kempen Planet Us, ia telah dibangunkan dan dianjurkan menerusi usaha sama sebuah perusahaan sosial, Biji Biji Initiative, dan Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Malaysia. Memaparkan satu siri pameran dan pelbagai program menarik, kempen ini berlangsung sehingga September 2022 dengan pameran akhir akan diadakan di Kuala Lumpur.
Penganjuran Planet Us bertujuan untuk memperkasakan golongan belia negara untuk membuat perubahan di persekitaran mereka serta alam sekitar sebagai langkah untuk mengatasi isu perubahan iklim. Bagi kempen ini, tiada usaha yang dilihat terlalu kecil mahupun terlewat, malah setiap perubahan adalah amat penting.
Menerusi penglibatan dalam kempen ini, golongan belia berupaya mendapat akses terhadap kandungan pendidikan secara digital serta bersemuka menerusi sesi-sesi interaktif, menyeronokkan dan menarik perhatian.
Kempen ini juga menggalakkan masyarakat umum untuk merenung dan berfikir semula tentang tabiat dan amalan kelestarian mereka, serta impak tindakan yang diambil terhadap kesejahteraan alam sekitar. Usaha ini berhasrat untuk mencetuskan perbincangan dan perubahan pemikiran terhadap kesedaran kepentingan penjagaan alam sekitar.
Pameran yang dijadualkan di bawah kempen ini akan dianjurkan di beberapa negeri di Malaysia termasuk Kedah, Kelantan, Penang, Sabah dan Kuala Lumpur. Para pengunjung tentu akan gembira dengan menyertai pelbagai aktiviti fizikal yang dirancang seperti bengkel membuat kompos, penghasilan barangan kraf dan sesi bicara perniagaan, di samping pameran tetap yang kaya dengan maklumat dan poster infografik menarik.
Kempen ini juga melibatkan aktiviti-aktiviti yang diadakan secara maya termasuk pertandingan kitar tinggi (upcycle), peraduan dalam talian dan penyediaan laman web untuk mendidik orang ramai tentang pelbagai kaedah yang boleh dilakukan untuk membantu alam sekitar dan mengetahui tentang kesan perubahan iklim.
Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak turut menyatakan sokongannya terhadap kempen yang menggalakkan golongan belia untuk memacu perubahan dan mencipta impak positif menerusi langkah-langkah yang nyata ini.
“Kami berharap kempen-kempen pendidikan seperti Planet Us akan dapat menginspirasikan lebih ramai golongan belia untuk bertindak dan mengilhamkan solusi-solusi kreatif untuk menangani pelbagai masalah alam sekitar yang kita hadapi masa ini. Di samping itu, adalah amat penting bagi kta menyemai inisiatif mengambil berat terhadap alam sekitar daripada usia muda. Inisiatif-inisiatif seperti Planet Us adalah cara yang amat baik untuk menyemarakkan lagi usaha kelestarian, pada masa sama membantu belia memahami keperluan untuk mengubah minda hari ini demi masa depan yang lebih sejahtera,” kata seorang jurucakap kementerian berkenaan.
Kedutaan Besar AS di Malaysia berbangga untuk menjadi rakan penganjur kempen yang bermatlamat untuk mencapai masa depan yang lestari bagi bumi ini.
Pegawai Kuasa Usaha (Chargé d’ Affaires) Kedutaan Besar AS, Michael Newbill berkata, “Adalah amat bertepatan bahawa pelancaran Planet US dianjurkan di Sarawak yang merupakan sebuah negeri yang kaya dengan kehidupan liar, biodiversiti dan sumber semula jadi, selain mempelopori usaha-usaha pemeliharaan alam sekitar di Malaysia. Menerusi Planet Us, kami bermatlamat untuk menginspirasi belia negara untuk bertindak menangani krisis iklim serta mengiktiraf setiap langkah yang diambil mereka boleh memberikan impak yang berpanjangan dalam melindungan alam sekitar.”
Pengerusi Pustaka Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Dr. Hamid Bugo, memuji kempen ini kerana siri aktiviti dalam dan luar talian menarik yang diadakan bagi menjana minat dan pertanyaan dalam kalangan belia dan masyarakat umum.
“Kami amat gembira dan berbesar hati kerana dipilih sebagai negeri pertama di Malaysia menjadi tuan rumah pameran Planet Us. Salah satu peranan utama kami sebagai sebuah perpustakaan negeri adalah untuk menyediakan persekitaran berilmu kepada komuniti dengan mengadakan pameran dan program-program yang membuka mata seperti Planet Us. Seiring dengan usaha kami untuk menjadi pusat sumber maklumat pilihan di negeri ini, kami berharap kempen yang dianjurkan akan disambut baik dan mengalakkan lebih ramai golongan muda untuk tampil dan memainkan peranan yang lebih besar dalam melindungi alam sekitar kita,” ujar Amar.
Untuk maklumat lanjut berkenaan kempen ini, layari laman web Planet Us (biji-biji.org) yang turut mengandungi pelbagai bahan yang boleh dimuat turun termasuk senarai program, pameran, bengkel dan poster infografik berkenaan alam sekitar, kelestarian dan perubahan iklim. Ikuti laman Instagram untuk berita-berita terkini mengenai kempen ini.