Rakyat Malaysia boleh membantu warga komuniti menerusi inisiatif e-Dagang oleh MySkills Foundation

Organisasi bukan bermotifkan untung ini telah bekerjasama dengan 3M untuk memperbaiki kehidupan belia berisiko dengan membantu mereka membina kemahiran vokasional dan keusahawanan

Kuala Lumpur, 21 Oktober 2021 – Sempena Hari Pembasmian Kemiskinan Antarabangsa yang jatuh pada tanggal 17 Oktober, MySkills Foundation menerusi usaha sama dengan 3M telah melancarkan kedai e-Dagang miliknya secara rasmi di Lazada dan Shopee, berhasrat untuk menjana pendapatan yang stabil bagi organisasinya yang bukan berasaskan keuntungan. 100% daripada hasil jualan akan memberi manfaat kepada MySkills Foundation yang terdiri daripada golongan belia berisiko.

Sebuah analisis[1] yang dijalankan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menunjukkan bahawa 19% kanak-kanak (1.77 juta) di Malaysia hidup dalam kemiskinan relatif. Devasharma Gangadaran, Ketua Pegawai Eksekutif MySkills Foundation berkata, “Kekurangan peluang pekerjaan dan kenaikan harga makanan ketika pandemik telah menimbulkan kekhuatiran mengenai kehidupan seharian komuniti B40 di dalam negara. Para benefisiari kami tergolong dalam kategori ini, dan kami telah menyaksikan ramai daripada kalangan mereka yang tidak mempunyai akses ke atas keperluan asas seperti makanan dan pendidikan. Kekangan ini berpotensi untuk meningkatkan risiko mereka dari segi fizikal, mental, emosi, dan sosioekonomi.”

“Atas sebab inilah kami telah melancarkan usaha niaga e-dagang kami yang terbaharu, ia memberi kami peluang untuk memanfaatkan program Sustainable Farming for Future Sustainability yang telah mendapat ihsan pembiayaan 3M menerusi 3Mgives Education Grant. Kini, kami ingin mewar-warkan kepada warga Malaysia yang prihatin bagaimana mereka dapat menyumbang sambil beramal dengan membeli Vegetable Grow Kit dan baja organik yang merupakan produk keluaran para penuntut MySkills Foundation. Dengan setiap kit yang terjual, ia dapat membantu meneruskan misi kami mentransformasikan kehidupan para benefisiari menerusi Latihan Kemahiran Transformasi Holistik yang telah membantu lebih daripada 900 orang belia mengintegrasi ke dalam masyarakat sejak 10 tahun yang lalu,” ujar Devasharma. 

Mengenai program Sustainable Farming for Future Sustainability

Program pendidikan dan latihan ini bermatlamat untuk mempromosikan kegiatan pertanian yang lestari di samping peningkatan kemahiran vokasional dan keusahawanan serta ilmu pengetahuan dalam kalangan belia agar mereka dapat berdikari dari segi ekonomi dan menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab.

“Di MySkills Foundation, kami menggunakan pendekatan didikan secara holistik yang melibatkan pelbagai komponen seperti pementoran, kemahiran sosial dan vokasional, serta pengurusan kehidupan, bagi memperbaiki kehidupan golongan belia yang berisiko. Berbekalkan geran bernilai USD 50,000 (RM 201,685.00) yang disumbangkan oleh 3Mgives, kami ingin mencetus impak positif bagi golongan belia berisiko, di samping cabaran persepsi negatif yang sering menghantui komuniti B40, serta mengurangkan kitar hidup kemiskinan. Program Sustainable Farming for Future Sustainability ini bukan sahaja berfungsi sebagai sebuah inisiatif yang mengisi kurikulum golongan belia berisiko di MySkills Foundation, malah ia juga menyemai harapan dalam diri mereka biar apa jua situasi; mampu membina karakter dan identiti tanpa dipengaruhi oleh persepsi masyarakat. Selain bertani, kami percaya para belia ini juga mampu membina kemahiran dan hubungan untuk masa depan yang lebih cerah bagi mereka dan keluarga. Oleh itu, kami berterima kasih diatas sokongan yang diberikan oleh syarikat seperti 3M yang berkongsi matlamat yang sama, yakni menambah baik kehidupan semua insan dengan melengkapi diri mereka dengan kemahiran dan ilmu yang asas,” tambah beliau. 

Dengan memanfaatkan bidang tanah yang sedia ada di MySkills Campus yang terletak di Kg. Baru Sejantung, Kalumpang, MySkills Foundation telah mengusahakan tanaman untuk mendidik para belia benefisiari mengenai pertanian berbilang tanaman serta pengomposan sisa makanan kepada baja organik.

Selain digunakan untuk pembinaan kemahiran dan latihan bagi golongan belia ini, geran bernilai USD 50,000 (RM 201,685.00) daripada 3M juga telah digunakan untuk membeli mesin dan peralatan yang diperlukan bagi pengkomersialan baja organik tersebut, termasuk bahan mentah yang diperlukan bagi ladang tanaman dan produk Vegetable Grow Kit.

Sebagai rakan penaung sejak 2017, ini merupakan program yang keempat menyaksikan MySkills Foundation dan 3M Malaysia berganding bahu.

Pengarah Urusan 3M Malaysia, GT Lim telah berkongsi, “Setiap kali saya bersua dengan para penuntut MySkills Foundation, saya dapat melihat potensi dalam diri mereka. Di 3M, kami percaya bahawa untuk menggilap bakat seorang insan, ia tidak boleh dilakukan dalam sekelip mata sahaja, sebaliknya ia akan melibatkan sebuah proses jangka panjang. Kami berbangga dapat menjadi sebahagian dari proses menyemai minat dan kesedaran dalam Kerja Berkemahiran bersama-sama dengan belia MySkills Foundation. Kami berharap melalui program ini, para penuntut MySkills Foundation akan dapat merealisasikan potensi sebenar mereka dan memanfaatkan kemahiran yang telah diperolehi daripada program tersebut untuk membina masa depan yang lebih cerah.”

“Banyak organisasi bukan berasaskan keuntungan sedang bergelut untuk mencari sumber pendapatan yang stabil terutamanya ketika pandemik. Sehubungan itu, kami telah berkolaborasi dengan MySkills Foundation untuk merangka sebuah program yang dapat membolehkan mereka menjana pendapatan bagi organisasi mereka secara berterusan. Dengan kuasa e-dagang, kami berharap rakyat Malaysia akan bersatu hati dan menyokong program ini,” tambah GT.

Bagaimana rakyat Malaysia boleh menyokong program ini

Semasa pandemik ini, ramai warga Malaysia yang mula berjinak dengan tanaman hijau untuk dijadikan bahan makanan mahupun sumber udara segar bagi kediaman mereka. Baja organik dan Vegetable Grow Kit yang didatangkan dengan manual membolehkan sesiapa sahaja mengusahakan kebun kecil mereka sendiri di rumah atau di pejabat, sambil membantu 150 orang belia yang berisiko di bawah MySkills Foundation. Produk-produk dalam lingkungan harga RM89.00 hingga RM179.00 kini dijual di kedai Lazada dan Shopee milik MySkills Foundation. Produk-produk yang dijual termasuk:

  1. Beginner’s Grow Kit- RM 89.00
Rakyat Malaysia boleh membantu warga komuniti menerusi inisiatif e-Dagang oleh MySkills Foundation

Merangkumi:

  • Pasu penyiram kendiri 10 liter
  • 1 pasu segi empat
  • 1 pasang sarung tangan
  • 1 set alatan
  • 2 paket benih-benih terpilih
  • Media penanaman 10kg
  • Baja 5kg
  • Cuka kayu 250ml
  • Intermediate Grow Kit- RM 129.00
Rakyat Malaysia boleh membantu warga komuniti menerusi inisiatif e-Dagang oleh MySkills Foundation

Merangkumi:

  • Pasu penyiram kendiri 15 liter
  • 2 pasu segi empat
  • 1 pasang sarung tangan
  • 1 set alatan
  • 3 paket benih-benih terpilih
  • Media penanaman 20kg
  • Baja 5kg
  • Cuka kayu 250ml
  • Advanced Grow Kit- RM 179.00
Rakyat Malaysia boleh membantu warga komuniti menerusi inisiatif e-Dagang oleh MySkills Foundation

Merangkumi:

  • Pasu penyiram kendiri 10 liter & 15 liter
  • 2 pasu segi empat
  • 1 pasang sarung tangan
  • 1 set alatan
  • 4 paket benih-benih terpilih
  • Media penanaman 25kg
  • Baja 10kg
  • Cuka kayu 500ml

Untuk maklumat lanjut mengenai MySkills Foundation, sila layari https://myskills.org.my.


[1] My Say: Child poverty in Malaysia: a persistent challenge that demands decisive action

Rakyat Malaysia boleh membantu warga komuniti menerusi inisiatif e-Dagang oleh MySkills Foundation – RAMARAMA
© 2024 BlackButterfly DesignArts