Pelbagai aktiviti menarik dan hadiah bernilai lebih daripada RM500,000 untuk dimenangi di Minggu Saham Digital
KUALA LUMPUR, 22 Oktober 2020 — Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan sukacitanya memperkenalkan Minggu Saham Digital, adaptasi Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM). Setiap tahun selama dua dekad, PNB telah menyediakan platform secara bersemuka untuk masyarakat Malaysia mengenali PNB dan syarikat pelaburannya. Ia juga untuk memberi peluang kepada pemegang unit PNB mendapat gambaran bagaimana pelaburan mereka menyumbang kepada kekuatan ekonomi Malaysia.
Selaras dengan perkembangan transformasi digital, PNB akan menganjurkan Minggu Saham Digital(MSD) buat pertama kali dari 18 hingga 24 November 2020 melalui Facebook dan YouTube. Acara digital tujuh hari ini akan disiarkan secara langsung setiap hari di antara pukul 12.30 tengah hari hingga 10.30 malam.
Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz berkata, “PNB telah berjaya meletakkan Minggu Saham Amanah Malaysia sebagai acara tahunan yang sentiasa dinanti-nantikan dengan pelbagai aktiviti pendidikan yang mesra keluarga selama dua dekad. Minggu Saham Digital adalah bukti bagaimana PNB terus berkembang serta mendukung cara baharu dan menarik untuk mendekati pemegang unit kami dan rakyat Malaysia secara umumnya, dengan matlamat untuk memperkasakan literasi kewangan melalui platform digital yang mudah untuk dilayari.”
“Acara digital ini merupakan satu langkah penting ke arah perjalanan transformasi organisasi PNB yang lebih luas. Dengan menganjurkan acara tahunan kami secara dalam talian, semua lapisan masyarakat Malaysia daripada pelbagai peringkat umur boleh menikmati pelbagai kandungan aktiviti menarik dari keselesaan kediaman mereka sendiri atau di mana sahaja mereka berada, kerana semuanya kini mudah diakses hanya di hujung jari,” tambah beliau.
Rakan korporat PNB untuk MSD terdiri daripada tiga peringkat. Dalam kategori Rakan Premier adalah Maybank Berhad, Sime Darby Plantation Berhad dan UMW Holdings Berhad; Rakan Utama adalah Sime Darby Berhad, Sime Darby Property Berhad, S P Setia Berhad, MIDF Berhad dan Perusahaan Otomobil Kedua Sendirian Berhad (Perodua); manakala MNRB Holdings Berhad, CCM Berhad, Duopharma Biotech Berhad, Velesto Energy Berhad, Sapura Energy Berhad, dan Projek Lintasan Kota Holdings (Prolintas) adalah di dalam kategori Rakan.
Sepanjang tujuh hari ini, rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat dapat menyaksikan pelbagai aktiviti, daripada siri forum dan webinar pendidikan, kepada segmen-segmen yang menghiburkan seperti konsert maya. Menerusi acara digital yang lain daripada yang lain ini, peserta juga boleh menyertai acara permainan, rancangan memasak, eksperimen sains yang unik, pertandingan pencarian harta karun maya, ‘Eh, Mana Kod?’ serta pertandingan lakaran pelitup muka, #LakaranJuara.
Peserta berpeluang memenangi hadiah-hadiah bernilai lebih RM500,000 termasuk sebuah Ford Ranger 2.0L XLT 4WD (10AT), sebuah Toyota Vios 1.5G (AT), sebuah Perodua Aruz 1.5AV (AT), sebuah Honda CBR250, 8 buah Honda Dash 125S dan e-baucar Lazada bernilai lebih RM180,000. Peraturan, terma dan syarat-syarat penyertaan boleh didapati di laman mikro MSD.
PNB akan mengumumkan tetamu dan personaliti jemputan serta jadual program pada minggu akan datang. Untuk maklumat lanjut, layari www.minggusahamdigital.com.my atau @minggusahamdigital di Instagram dan Facebook.