6 Cara Menjadikan Syawal 2021 Anda Lebih Bermakna

Lebaran Mungkin Berbeza Tahun Ini Namun Tetap Membawa Makna Tersendiri

Memandangkan penularan wabak Covid-19 masih berleluasa, Kerajaan Malaysia baru-baru ini telah mengumumkan tentang larangan aktiviti rentas negeri dan daerah sehingga 7 Jun ini. Maka dengan itu, rata-rata umat Islam tidak dapat menyambut Syawal di kampung halaman mereka. Agak suram seperti tahun sebelumnya, namun anda masih boleh menyambut lebaran bersama ahli keluarga dan kawan-kawan yang tinggal berdekatan dengan anda. Di sini, Tourism Selangor menyenaraikan 6 cara menjadikan perayaan Syawal tahun ini lebih bermakna seperti tahun-tahun terdahulu di samping orang tersayang:

  1. Laungan Takbir

Ketibaan Syawal yang penuh berkat harus disambut dengan penuh kesyukuran oleh umat islam. Dikala tempoh pandemik, laungan takbir Aidilfitri boleh dilaksanakan bersama ahli keluarga yang berdekatan dan diketuai oleh ketua keluarga di kediaman masing-masing. Dengan hanya melaungkan takbir raya di rumah, ia juga menggambarkan kesyukuran atas kemenangan dalam menjalani ibadah di bulan Ramadan.

  • Solat Sunat Aidilfitri bersama Keluarga

Sering kali kita lihat kemeriahan lebaran di mana umat Islam berpusu-pusu ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri dengan berbaju raya, namun ianya berbeza tahun ini. Walaupun sesetengah masjid dibuka tetapi tidak semua berpeluang untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri dek kerana kekangan SOP hari raya. Usah sedih kerana anda masih boleh melaksanakan amalan sunah ini di kediaman anda bersama orang tersayang serta rakan-rakan yang berdekatan. Niat untuk menunaikan ibadah sunah ini adalah lebih utama.

  • Bergaya dengan Baju Raya

Sudah menjadi kebiasaan untuk seluruh umat Islam menyarung baju tradisional berbagai gaya pada pagi raya. Walaupun ziarah Hari Raya adalah dilarang semasa tempoh PKP, ianya tidak menghalang anda untuk memperagakan baju raya bagi meraikan kemenangan Ramadan. Di samping itu, pohonlah kemaafan sesama ahli keluarga secara fizikal mahupun maya dan duit raya usah dilupa!

  • Nikmati Hidangan Aidilfitri

Menikmati hidangan yang pelbagai serta kuih raya merupakan aktiviti yang sentiasa dinanti-nantikan sewaktu Aidilfitri. Lemang, ketupat dan rendang merupakan menu utama untuk dijamah semasa Hari Raya. Tidak lupa juga, variasi kuih raya mampu memeriahkan lagi suasana Syawal. Selain itu, anda juga boleh menikmati hidangan tradisional Negeri Selangor seperti Nasi Ambeng, Sate dan Pecal. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai makanan tradisional Negeri Selangor, anda boleh layari https://selangor.travel/the-state-of-selangor-a-home-to-gastronomical-delights/.

  • Snap Snap” Gambar Raya bersama Keluarga

Sudah cantik dan segak berbaju raya, jangan ketinggalan untuk mengambil gambar. Jadikan raya tahun ini sebagai kenangan kerana ia juga merupakan sambutan raya yang berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya. Cari sudut-sudut terbaik di kawasan rumah anda untuk sesi fotografi raya bersama keluarga, atau jangan lupa ambil paparan skrin telefon bimbit semasa anda membuat panggilan video di pagi Syawal!

  • Dream Now, Travel Later

Larangan rentas daerah dan negeri mungkin menjadikan suasana lebaran terasa agak suram pada sesetengah orang. Namun begitu, ini lah masa nya untuk anda  “Dream Now, Travel Later”. Manfaatkan waktu terluang anda dengan menonton video-video terkini di laman YouTube rasmi Tourism Selangor seperti video-video promosi Kempen #PusingSelangorDulu, serta video-video VR dan Aerial View Experience melibatkan 9 buah daerah di Negeri Selangor. Anda juga boleh layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di www.selangor.travel bagi mendapatkan inspirasi untuk anda rangka perjalanan anda ke Negeri Selangor pada suatu masa kelak. Selamat menonton!

Tourism Selangor berharap, 6 cara ini mampu menceriakan suasana Hari Raya anda di rumah meskipun ada yang jauh dari kampung halaman. Syawal 2021 mungkin berbeza, tetapi ia pasti tetap memberikan sebuah pengalaman yang tidak akan dilupakan. Gunakan inisiatif atas talian untuk berhubung dengan saudara-mara dan rakan taulan tahun ini.

Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.

© 2023 BlackButterfly DesignArts