54% Rakyat Malaysia Tidak Bersedia Hadapi Risiko Iklim, Menurut Kajian Daya Tahan Iklim Zurich Malaysia

  • Soal selidik ke atas 1,100 rakyat Malaysia mendedahkan jurang pendidikan, kesedaran, dan kesiapsiagaan terhadap risiko iklim
  • Banjir, gelombang haba, dan tanah runtuh adalah kebimbangan utama, dan kebimbangan terhadap risiko infrastruktur bandar turut meningkat
54% Rakyat Malaysia Tidak Bersedia Hadapi Risiko Iklim, Menurut Kajian Daya Tahan Iklim Zurich Malaysia

Kuala Lumpur, 23 Oktober 2024Kajian Daya Tahan Iklim oleh Zurich Malaysia mendapati bahawa 86% rakyat Malaysia bimbang mengenai kesan perubahan iklim, dengan golongan yang lebih muda (berusia 18-29 tahun) menunjukkan tahap kebimbangan tertinggi (sehingga 90%). Kekangan kewangan merupakan penghalang utama kesiapsiagaan bagi 38% responden, dengan 54% merasa tidak bersedia menghadapi bencana iklim seperti banjir, gelombang haba, dan tanah runtuh.

Kajian Daya Tahan Iklim Zurich Malaysia dilancarkan sebagai sokongan kepada Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2024, yang bertemakan “Malaysia Madani, Siaga Bencana”. Kajian ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesiapsiagaan bencana melalui kerjasama antara komuniti tempatan dan kerajaan.

Junior Cho, Ketua Negara/Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Malaysia, berkata, “Kajian Daya Tahan Iklim kami bertujuan untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai persepsi, kesiapsiagaan, dan pengalaman orang ramai mengenai kesan perubahan iklim. Dengan memahami persepsi komuniti terhadap risiko iklim dan tahap kesiapsiagaan mereka, kami dapat merangka strategi yang sesuai bagi mengukuhkan daya tahan iklim, meningkatkan usaha adaptasi tempatan, dan menggalakkan amalan lestari di kawasan bandar.”

Tahap kesedaran dan kebimbangan tinggi, namun sokongan yang lebih mantap diperlukan

Secara keseluruhan, 53% rakyat Malaysia sangat bimbang tentang kesan perubahan iklim terhadap generasi akan datang. Walau bagaimanapun, tahap kebimbangan yang tinggi ini menurun dengan peningkatan usia, daripada 56% dalam kumpulan usia 18-29 tahun kepada 25% dalam kumpulan usia 65 tahun ke atas. Ini menunjukkan tumpuan yang lebih besar terhadap pendidikan dan penglibatan dalam isu perubahan iklim perlu diberi kepada rakyat Malaysia yang lebih muda, yang lebih berkemungkinan menghadapi kesan jangka panjang dari peningkatan bencana iklim.

Banjir (75%), gelombang haba (74%), dan tanah runtuh (70%) terus menjadi kebimbangan utama, dengan kebimbangan yang semakin meningkat (67%) terhadap risiko infrastruktur bandar (contohnya, pokok tumbang, lubang benam) ekoran beberapa insiden baru-baru ini di pusat bandar Kuala Lumpur. Corak yang sama turut didapati mengikut kumpulan usia, dengan keseluruhan tahap kebimbangan semakin berkurang mengikut peningkatan usia.

Dalam tempoh 12 bulan yang lalu, hampir satu pertiga responden (32%) melaporkan terjejas secara langsung oleh bencana iklim yang buruk, dengan 38% menyatakan bahawa keluarga mereka turut menjadi mangsa. Di peringkat komuniti, 58% melaporkan bahawa komuniti setempat mereka terjejas teruk akibat bencana iklim yang buruk. Ini menunjukkan wujud kebimbangan yang lebih meluas mengenai bencana iklim yang bukan sahaja dialami oleh individu.

Kajian ini mendapati wujud korelasi songsang antara tahap pendapatan isi rumah bulanan dan kesiapsiagaan. Sebanyak 49% responden dari kumpulan B40 melaporkan mempunyai peruntukan, simpanan, pelan pemindahan, dan sokongan kecemasan yang mencukupi bagi isi rumah mereka untuk menghadapi kemungkinan bencana iklim. Walau bagaimanapun, angka tersebut menurun kepada 44% bagi isi rumah M40 dan 39% bagi isi rumah T20. Ini menunjukkan bahawa isi rumah berpendapatan tinggi mungkin mempunyai jangkaan yang lebih tinggi untuk kesiapsiagaan, justeru memberi persepsi bahawa mereka kurang bersedia.

Kajian ini turut menunjukkan sokongan dan penerimaan tinggi terhadap amalan lestari, yang mengambil inisiatif ke arah gaya hidup lebih hijau. Mereka mengutamakan pengurusan sisa lestari (63%), membeli produk mesra alam (60%), dan mengurangkan penggunaan tenaga (60%). Trend ini mencadangkan penekanan terhadap tindakan bermakna yang boleh diintegrasikan dengan mudah ke dalam kehidupan harian.

Meneruskan komitmen kemampanan yang sedia ada

Kajian Daya Tahan Iklim Zurich Malaysia adalah kesinambungan daripada Program Daya Tahan Iklim Bandar (UCRP) yang dilancarkan oleh Yayasan Z Zurich bagi menyokong komuniti bandar di sembilan negara di seluruh dunia. UCRP memperluaskan inisiatif perubahan iklim Yayasan Z Zurich yang sedang berjalan seperti ‘Zurich Climate Resilience Alliance’, yang memberi tumpuan utama kepada kawasan luar bandar, dengan mengembangkan usaha ini ke kawasan dan populasi bandar.

Zurich Malaysia berjaya melancarkan UCRP di peringkat tempatan, bermula dengan Kampung Morten dan Pantai Peringgit di Melaka pada November 2023, melalui kerjasama pelbagai pihak antara Zurich Malaysia, Yayasan Z Zurich, Resilient Cities Network (R-Cities), serta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB). Pada Mac 2024, Zurich Malaysia dan Yayasan Z Zurich bekerjasama dengan C40 Cities dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengembangkan UCRP ke PPR Beringin dan Kampung Pasir di ibu negara.

Pada awal tahun ini, Laporan Risiko Global 2024 yang dibentangkan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) dengan kerjasama Marsh McLennan dan Zurich Insurance, mendapati bahawa dua pertiga daripada responden meletakkan cuaca melampau sebagai risiko utama. Hasil Kajian Daya Tahan Iklim Zurich Malaysia selari dengan realiti global ini dan akan digunakan untuk mengukuhkan lagi daya tahan komuniti menghadapi bencana iklim, sebagai sebahagian daripada misi berterusan Zurich Malaysia dalam melindungi perkara yang paling bermakna demi kesejahteraan bumi kita.

Kajian Daya Tahan Iklim Zurich Malaysia telah dijalankan pada September 2024, melibatkan 1,100 rakyat Malaysia dalam kajian ini. Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pendekatan holistik Zurich Malaysia ke arah membina masa depan yang lebih cerah, sila layari https://www.zurich.com.my/.

54% Rakyat Malaysia Tidak Bersedia Hadapi Risiko Iklim, Menurut Kajian Daya Tahan Iklim Zurich Malaysia – RAMARAMA
© 2024 BlackButterfly DesignArts