5 Destinasi Pelancongan Agro Yang Menarik Di Negeri Selangor

Pelancongan Agro, Konsep Baharu Destinasi Pelancongan

Pelancongan agro kini semakin membangun dalam industri pelancongan. Terdapat banyak taman agro yang boleh dikunjungi di Negeri Selangor bukan sahaja untuk lawatan namun pengunjung juga boleh mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang disediakan. Cadangan di bawah merupakan 5 destinasi pelancongan agro terbaik yang boleh dilawati di Negeri Selangor selepas PKPB berakhir:

1) MAEPS AGRO TOURISM PARK, SERDANG

MAEPS Agro Tourism Park merupakan taman agro yang sesuai untuk bercuti bersama keluarga yang menampilkan keindahan alam semula jadi. MAEPS, Serdang menyediakan pelbagai aktiviti yang menarik bagi mereka yang ingin merasai pengalaman di kawasan perladangan dan pertanian. Antaranya ialah “House of Kambing” yang menempatkan haiwan seperti kambing dan menawarkan menu makanan nasi kukus kambing bakar. Selain itu, terdapat juga pelbagai taman pertanian yang membolehkan pengunjung menimba ilmu seperti laman herba, laman padi, laman nenas, laman perikanan, G2G Animal Garden di mana mereka boleh memberi makanan kepada haiwan dan banyak lagi. Pengunjung juga boleh menginap di Nafas Cube di sini yang berkonsepkan binaan kabin dan tiub.

Bayaran masuk: RM65 tanpa MyKad, RM45 dengan Mykad, RM35 pelajar

Waktu operasi: Isnin hingga Jumaat (8.30 pagi hingga 5.30 petang)

2) TAMAN BOTANI NEGARA, SHAH ALAM

Taman Botani Negara merupakan taman pelancongan agro yang dibangunkan untuk tujuan riadah serta penyelidikan. Taman Botani Negara menampilkan pemandangan alam semula jadi yang hijau, nyaman dan menyegarkan. Taman ini mempunyai tarikan yang menarik khas buat pengunjung, iaitu Rumah Iklim Empat Musim yang terkenal di mana pengunjung akan merasai cuaca musim salji, musim bunga, musim panas dan musim luruh. Namun rumah empat musim hanya akan dibuka semula kepada umum pada suku pertama tahun 2021. Selain itu, terdapat juga taman kaktus, orkid, rempah-ratus, buah-buahan, taman haiwan dan banyak lagi.

RM3 (12-54 tahun) RM1 (kanak-kanak 6-11 tahun), RM1 (55 tahun keatas), OKU percuma

Waktu operasi: Selasa hingga Ahad (7.30 pagi hingga 4.30 petang)

3) SELANGOR FRUIT VALLEY, KUALA SELANGOR

Jika anda merancang untuk bercuti di taman buah-buahan, Selangor Fruit Valley merupakan destinasi yang tepat untuk anda kerana taman ini mempunyai pelbagai jenis ladang buah-buahan tempatan serta anda juga menikmati buah-buahan dengan percuma. Bukan itu sahaja, terdapat juga tarikan dan aktiviti yang disediakan seperti petting zoo mini, aktiviti berkayak, ladang rusa, rumah tradisional, ternakan madu kelulut dan banyak lagi. Malah, terdapat juga tanaman buah belimbing, jambu, betik, rambutan dan sebagainya. Selain itu, terdapat kemudahan trem yang boleh dinaiki dan anda akan dibawa ke sekitar kawasan taman ini sambil menghirup udara segar. Anda juga boleh singgah ke gerai menjual air kelapa untuk beristirahat dan menghilangkan dahaga dengan menikmati air kelapa yang segar.

RM8 (dewasa), RM4 (60 tahun keatas), Rm4 (Oku) dan kanak-kanak (5-12 tahun), percuma (5 tahun ke bawah)

Waktu operasi: Setiap hari kecuali Jumaat (9.00 pagi hingga 4.00 petang)

4) FOREST RESEARCH INSTITUTE MALAYSIA, KEPONG (FRIM)

Antara tempat menarik untuk melakukan aktiviti dengan gabungan alam semula jadi adalah di Forest Research Institute Malaysia (FRIM), Kepong. Dengan keluasan 600 hektar, ia dikelilingi oleh Hutan Simpan Bukit Lagong di mana tempat ini menyediakan pelbagai aktiviti kepada pengunjung yang datang. Salah satu tarikan terbaharu di sini ialah ‘Sky Walk’, manakala antara aktiviti yang boleh dilakukan di FRIM adalah seperti berjoging di Rover Track, berjalan kaki di kanopi, berkelah dan berkhemah bersama keluarga, hiking, berbasikal malah berpeluang mempelajari tentang keunikan alam semula jadi. Terdapat juga tanaman seperti Rubiaceae (famili kopi), Fabaceace (famili kacang), Euphorbiaceae (famil getah), pokok Keladan yang berumur 116 tahun, pokok Melaka dan banyak lagi. Tambahan RM5 akan dikenakan jika pengunjung membawa kamera untuk mengambil gambar.

Satu fakta menarik – FRIM, Kepong ini pada mulanya merupakan tempat perlombongan, kemudian menjadi kawasan kebun sayur dan kini ianya merupakan sebuah kawasan hutan dengan suasana yang nyaman dan tenang yang boleh dilawati pengunjung.

Bayaran masuk:

Tanpa Mykad (RM5, dewasa), (RM1, kanak-kanak tanpa seragam), (Percuma, OKU dan kanak-kanak berseragam)

Mykad (RM1, dewasa), (RM1, 13 tahun keatas), (Percuma, OKU dan kanak kanak pakaian berseragam)

Waktu operasi: Isnin hingga Jumaat (8.00 pagi hingga 5.00 petang)

5) KUAN WELLNESS ECO PARK, KUALA LANGAT

Taman Eko Kuan Wellness merupakan salah sebuah destinasi yang menarik untuk dilawati di Negeri Selangor. Pengunjung akan menikmati persekitaran taman yang segar dengan tema pelancongan ekologi semula jadi disertakan dengan aktiviti yang ada di taman ini. Jika melawat ke sini, aktiviti yang boleh dilakukan adalah memberi makanankepada haiwan di mini zoo seperti arnab, itik dan burung. Selain itu, pengunjung juga boleh melawat ke ladang buah tropika, menyaksikan aktiviti pemprosesan sarang burung untuk dijadikan produk kesihatan dan landskap yang cantik untuk bergambar.

Bayaran masuk: RM3 untuk ruang pameran sarang burung, RM5 untuk mini zoo

Operasi: 9.00 pagi – 5.00 petang (Setiap Hari)

PENUTUP

Akhir kata, Negeri Selangor sememangnya mempunyai banyak destinasi pelancongan agro yang menarik untuk dikunjungi. Dalam menikmati percutian anda ke tempat-tempat pelancongan agro seperti yang telah dicadangkan oleh pihak Tourism Selangor, jangan lupa untuk patuh kepada operasi prosedur standard (SOP) dan sentiasa menjaga penjarakan sejauh 1 meter antara satu sama lain bagi mengelakkan jangkitan virus Covid-19 dari terus menular.Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.

© 2023 BlackButterfly DesignArts