UiTM Puncak Alam dan Minyak Masak Cap Buruh Agih Bubur Lambuk

Puncak Alam, 10 Jun 2016 – Sempena bulan Ramadan yang mulia, UiTM Puncak Alam, menerusi Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan bersama Minyak Masak Cap Buruh hari ini mengagihkan lebih 8,000 mangkuk Bubur Lambuk Cap Buruh kepada para pelajar dan kakitangan kampus UiTM Puncak Alam serta UiTM Puncak Perdana.

Program agihan bubur lambuk besar-besaran itu adalah sebahagian daripada sambutan ulang tahun UiTM yang ke-60 dan program Ihya Ramadhan. Ia dikatakan antara program agihan bubur lambuk paling besar yang pernah diadakan oleh universiti terbabit.

Universiti awam terkemuka di Malaysia itu bekerjasama dengan Minyak Masak Cap Buruh, jenama isi rumah yang sudah berusia 63 tahun di Malaysia. Dua jenama ini berkongsi sejarah yang panjang dalam memberi khidmat kepada rakyat Malaysia selama lebih enam dekad.

Bubur lambuk ialah sejenis bubur berempah yang turut mengandungi daging lembu dan biasanya diagihkan oleh masjid-masjid sepanjang bulan Ramadhan. Bubur itu dimasak di dalam kawah-kawah yang besar dan menjadi antara aktiviti gotong-royong masyarakat setempat. Persiapan dan memasak bubur lambuk boleh mengambil masa sehingga empat jam.

Bubur Lambuk Cap Buruh cukup istimewa kerana ia mengandungi rempah ratus dan ramuan aromatik seperti udang kering. Semua ramuan dan rempah ratus tersebut ditumis menggunakan minyak masak Cap Buruh untuk menaikkan lagi baunya. Bubur lambuk dengan resepi rahsia ini pernah dihidangkan dan diakui kesedapannya oleh keluarga diraja Malaysia, termasuklah Yang DiPertuan Agong.

Antara rempah yang digunakan ialah cengkih, kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, halba dan lada hitam. Tidak ketinggalan, bahan-bahan lain seperti daging, udang kering, bawang goreng, kacang tanah, ketumbar serta daun sup untuk hidangan permulaan iftar yang sedap.

Rektor UiTM Selangor, YBhg Prof. Dr. Haji Zaini Abdullah secara simboliknya melancarkan program tersebut dengan sama-sama menyertai Dekan-Dekan dari 8 fakulti di UiTM Selangor Kampus Puncak Alam mengacau Bubur Lambuk Cap Buruh di dalam kawah.

“Ramadhan ialah bulan untuk muhasabah diri, berkongsi dan berkasih sayang di antara satu sama lain. UiTM berbesar hati kerana dapat berkongsi rahmat bulan yang mulia ini dengan para pelajar dan kakitangannya. Apatah lagi organisasi ini meraikan ulang tahun yang ke-60. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Cap Buruh atas sumbangan mereka yang membolehkan kami menjangkau lebih ramai orang,” YBhg Prof. Dr. Haji Zaini Abdullah.

Bubur Lambuk Cap Buruh merupakan buah fikiran Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan UiTM, En Mohd Shazali Mohd Sharif. Beliau telah mencipta dan menambah baik resepi ini selama lebih satu dekad. En Mohd Shazali, melalui Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan UiTM  juga telah menghidangkan bubur lambuk ini kepada Yang DirPertuan Agong dan Sultan Selangor dalam banyak majlis.

“Ketika merancang program ini, kami mahu memberikan yang terbaik kepada para pelajar dan kakitangan. Resepi ini telah diterima baik oleh keluarga diraja di Malaysia. Jadi kami ingin berkongsi dengan semua. Dengan tajaan minyak masak Buruh, kami dapat menawarkan rasa sama dengan apa yang kami hidangkan kepada keluarga diraja sebelum ini,” kata En Shazali.

Cap Buruh telah bekerjasama dengan En Shazali untuk mempertingkatkan lagi rasa resepi bubur lambuk ini yang mempunyai sejarah tersendiri agar teksturnya lebih sedap dan aromanya menjadi lebih wangi.

Minyak Masak Cap Buruh diperbuat daripada 100% olein kelapa sawit gred tinggi. Ia kaya dengan Vitamin E tanpa kolesterol. Salah satu ciri tersendiri Minyak Masak Buruh ialah formulasinya yang unik. Ia terbukti di makmal memiliki tahap pengekalan antioksidan semula jadi yang tinggi dan melindungi minyak daripada penurunan oksidaan selepas setiap kali digunakan. Apa yang penting, antioksidan ini meningkatkan ketahanan Minyak Masak Buruh, sekali gus membolehkannya digunakan sebanyak tiga kali.

Seorang jurucakap daripada Minyak Masak Buruh menyatakan bahawa pihaknya berbesar hari kerana berpeluang membantu mempertingkatkan resepi bubur lambuk dan menawarkan juadah berbuka puasa yang diingati oleh para pelajar dan kakitangan UiTM pada Ramadan kali ini.

By | 2016-11-04T22:27:41+00:00 June 10th, 2016|Siaran Media|Comments Off on UiTM Puncak Alam dan Minyak Masak Cap Buruh Agih Bubur Lambuk